top of page

Tentang Karang, Za‘ba


Kenapakah istilah "karang" digunakan untuk kerja tulis-menulis dalam persuratan Melayu? Apakah tujuan kerja "karang" ini dan apakah yang pembahagian "karang"an dalam Bahasa Melayu? Terokai pandangan ‘ilmuwan besar bahasa Melayu, al-marḥūm Zayn al-‘Ābidīn bin Aḥmad (Za‘bā) untuk mengenali teras tradisi ke‘ilmuan Bahasa Melayu kita - iaitulah tradisi "karang-mengarang" – Penerbit.
Sebagai perhatian, istilah "Karang" kini digunakan untuk menamakan Majalah Jawi Digital Akademi Malaysia – majalah masakini yang menampilkan kandungan ke‘ilmuan, kebudayaan dan persuratan Jawi dalam bentuk pelbagai media – karangan, gambar, video dan salinan naskhah nadir.

Petikan daripada buku:
Za‘bā, ‘Ilmu Mengarang Melayu (علم مڠارڠ ملايو) diterbitkan oleh Malaya Publishing House, Singapura, 1951.

Perumian oleh:
Muhammad Hasan Shahrin, Pegawai Penerbitan Akademi Jawi Malaysia

Permulaan

1. Mengarang itu ertinya membuat beberapa āyat yang berhubung-hubung dengan betul menceritakan dariḥāl satu-satu perkara. Tiap-tiap satu āyat itu dijadikan daripada beberapa perkataan yang tersusun dengan betul pula hingga cukup memberi faham akan maqṣūd yang disebutkan itu.


Menyusun perkataan hendak membuat satu-satu āyat ini pun dinamakan mengarang juga; tetapi yang dikatakan “karangan” sebenar-benarnya ialah yang tersusun daripada beberapa āyat dengan betul.


2. Perkataan “karang” itu terpakai pada barang apa yang berbunga-bunga dengan indah susunannya dan aturnya serta berpatutan cabang-cabangnya dan pecahan-pecahannya antara satu dengan satu; seperti batu karang di laut.


Dari situ dibawa kepada pekerjaan menggubah bunga, atau mereka ukiran, atau membuat barang sesuatu yang cantik, dikeluarkan dari dalam hati sendiri serta baharu; ya‘nī bukan meniru yang telah dibuat orang.


Dari situ pula dipinjamlah dibawa kepada pekerjaan menyusunkan perkataan dengan susunan yang elok kerana mengḥālkan atau merupakan sesuatu fikiran hati atau sesuatu qiṣṣah cerita supaya dapat difahamkan oleh orang-orang lain apabila didengar atau dibaca mereka susunan itu.


3. Perkataan-perkataan yang telah disusunkan beberapa lanjutnya demikian itu dinamakan “karangan”. Maka itulah dia ma‘nā yang khāṣ terletak pada perkataan karang, mengarang, karangan dan lain-lain pecahannya itu jika pada medan menggunakan bahasa dan sūrat-menyūrat.


Tujuan Mengarang

4. Tujuan mengarang itu yang sebenarnya ialah hendakkan supaya orang yang membaca faham dan tahu akan fikiran dalam hati pengarang. Jikalau orang tiada faham membacanya oleh sebab pengarang itu leka meraga-ragakan yang ia tahu memakai beberapa perkataan yang payah-payah sahaja, atau susunan āyat yang berbelit-belit, atau jikalau karangannya mengikut resaman bahasa dagang, maka tiadalah gunanya mengarang kerana tentu tiada akan ḥāṣil tujuan yang dikehendakkan itu.


5. Demikian pula jika pengarang itu memakai rangkaian perkataan yang tiada membetuli seperti yang hendak dikatakannya, atau jika ia tiada terang mengeluarkan maqṣūdnya itu.


Bahasa itu ālat mengeluarkan fikiran supaya dapat diketahui orang dengan mendengar atau membacanya. Maka jika bahasa yang dipakai itu tidak menepati betul-betul seperti maqṣūd yang di dalam hati, tentulah orang tersalah faham atau tiada dapat oleh mereka tujuan yang dikehendakkan itu.


Sebab itu bila mengarang wājiblah dihati-hatikan benar apa ertinya perkataan-perkataan yang dipakai di dalamnya, atau bagaimana rangkaian perkataan yang boleh mengeluarkan sebenar-benar maqṣūd yang di dalam hati itu.


Pangkat-pangkat Karangan

6. Karangan itu berpangkat-pangkat, ada yang senang ada yang susah. Mana yang tidak banyak berkehendakkan fikiran sendiri tentang memberi isinya, hanya dikehendakkan seqadar mengatur dan menyusunkan perkataannya sahaja dengan betul—isinya telah sedia atau tidak susah mencarinya—dihitungkan karangan yang senang.


Mana yang terpaksa kita berfikir mencari isi pula lain daripada mengaturkan perkataannya sahaja maka dibilangkan jenis karangan yang susah atau karangan tinggi.


7. Maka bolehlah diaturkan pangkat-pangkat itu lebih kurang demikian:

  • Mengarangkan āyat-āyat tunggal satu-satu hingga menjadi cerita pendek-pendek dengan tidak disambung-sambungkan āyat-āyat itu ikut layaknya.

  • Mengarangkan sesuatu cerita dariḥāl yang telah dibaca atau didengar perkataannya (dibacakan oleh guru) ataupun telah diterima ajarannya. Orang yang mengarang itu hanya menyusunkan perkataan-perkataannya sahaja dengan ingatan sendiri.

  • Mengarangkan sesuatu dariḥāl apa-apa yang telah dipandang sendiri jadinya atau didengar sendiri bunyinya (menggunakan pancaindera); seumpama dariḥāl lembu, kerbau, kambing, dariḥāl perlawanan bola sepak atau dariḥāl pertunjukan yang baharu dilihat pada sesuatu tempat dan sebagainya.

  • Mengarang yang berkehendakkan banyak memerhati dan membaca kitāb-kitāb ‘ilmu dan tawārikh dan sebagainya seperti mengarangkan dariḥāl menanam getah, dariḥāl pokok tebu, dariḥāl menanam padi, iaitu terkandung dalam bahagian ‘ilmu tanam-tanaman. Demikian juga karangan-karangan seperti dariḥāl perbezaan orang Melayu dengan orang Cina, dariḥāl hari raya Melayu, dariḥāl rumah sakit, dariḥāl jalan raya, dariḥāl sungai dan sebagainya.

  • Mengarangkan dariḥāl satu-satu perkara yang tinggi isinya dan tujuannya, atau dariḥāl pengajaran yang terkandung dalam sesuatu perumpamaan atau bidalan. Pada karangan yang demikian pengarang itu terpaksa memerah otaknya sendiri, mencari isi yang layak dengan berfikir sendiri dan bergantung kepada pendapatan sendiri.

  • Mengarangkan sesuatu dariḥāl yang didapati dengan pengetahuan sendiri atau dengan siyāsat dan cubaan sendiri. Yang demikian termasuk dalam hitungan mengadakan barang yang belum diadakan orang. Umpamanya mengarang dariḥāl siyāsat-siyāsat tawārikh atau bahasa atau lainya yang belum pernah dikeluarkan orang seperti itu. Pendeknya barang apa jua karangan yang bersendiri isinya tiada meniru orang termasuklah dalam pangkat ini dan ialah di antara setinggi-tinggi pangkat karangan.

Dari sini nyatalah pangkat yang pertama dan yang kedua itu sudah tentu jenis karangan yang senang atau karangan rendah; pangkat yang ketiga dan keempat itu jenis pertengahan hendak membawa kepada tinggi; dan dua pangkat yang ākhir itu ialah karangan susah atau karangan tinggi.


Karangan Tinggi atau Rencana

8. Karangan-karangan yang susah itu kerap disebut “rencana”, atau “maqālah” iaitu jenis mengarang yang tinggi isinya dan tujuannya berkenaan dengan apa-apa yang dilihat atau diperhatikan sendiri atau sesuatu buah fikiran yang berguna. Jadi termasuklah di dalamnya karangan dari pangkat yang ketiga di atas tadi membawa ke atas.


Karangan-karangan demikian kerap dikeluarkan orang dalam majallah-majallah dan sūrat-sūrat khabar.


9. Pada pengertiannya yang biasa bagi budak-budak sekolah, “rencana” itu ialah sesuatu potong karangan yang diteriakkan suruh tulis kepada orang lain atau apa-apa perkara yang dituliskan daripada teriak orang lain. Tetapi pada perbahasaan karang-mengarang apabila dikata “rencana” maka dimaqṣūdkan ialah karangan juga.


Seqadarkan bezanya: “karangan” termasuk segala jenisnya baik yang senang atau yang susah, yang rendah seperti mengarangkan āyat-āyat tunggal atau yang tinggi seperti mengarang daripada perumpamaan dan daripada kepala-kepala karangan yang tinggi isinya. “Rencana” itu biasanya tertentu bagi karangan jenis yang tinggi sahaja; yang rendah-rendah dan senang-senang karangannya tidaklah dikatakan “rencana”.


Dan lagi “karangan” itu terlintas padanya ma‘nā menggubah, mengukir, membunga-bungakan, mereka dan mengeluarkan sesuatu yang cantik dengan susunan yang baharu yang belum pernah diadakan orang. “Rencana” itu hanya bermaqṣūd dikeluarkan perkataannya atau bunyi ceritanya supaya didengar dan diketahui orang.


10. Mengarang “rencana” itu jika hendakkan elok hendaklah pengarangnya telah biasa berfikir sendiri serta mengerti rahsia-rahsia yang lāzim pada ‘ilmu mengarang dan bagaimana jalan-jalan mengarang yang elok dan betul. Pendeknya, hendaklah ia telah cukup māhir pada jenis-jenis karangan yang senang-senang dahulu, dan telah biasa melajakkan fikirannya sendiri mencari isi-isi yang layak dan menyusunkan atas jalan-jalan yang berpatutan.


Dengan perkataan lain hendaklah ia orang ahli fikiran serta telah māhir menggambarkan fikirannya itu dengan lukisan bahasa.


11. Karangan “rencana” itu boleh pendek dan boleh panjang, tetapi tidak terlampau panjang sehingga seperti kitāb. Dan lagi isinya dibentangkan terus dengan sekali jalan, tidak dibahagi-bahagikan kepada faṣal atau bāb.


Adapun kalau terlampau panjang dan isinya diaturkan berfaṣal-faṣal dan berbāb-bāb tidaklah dinamakan “rencana” lagi.


Belajar Mengarang

12. Belajar mengarang itu baikpun karangan senang atau karangan susah, tidaklah sekali-kali dikehendakkan mesti dimulai daripada naḥu, melainkan hendaklah dengan jalan dibuat dan dibiasakan selalu serta memerhati karangan orang yang pandai-pandai mengarang.


Budak-budak belajar berjalan umpamanya tidaklah mesti ia tahu lebih dahulu nama bahagian-bahagian kaki atau nama urat-urat paha dan sebagainya serta guna masing-masing itu waqtu berjalan; atau kaki mana hendak dilangkahkan dahulu dan bagaimana melangkahkannya dan sepanjang mana dilangkahkan. Ia belajar berjalan ialah dengan membuatnya selalu-selalu: bila jatuh bangkit, berjalan lagi. Jatuh lagi, bangkit lagi, berjalan lagi. Demikianlah hingga lama-lama kakinya tegap dan ia pandai berjalan.


Begitu pula orang yang belajar berenang atau belajar menunggang lereng (basikal) atau lain-lain seumpama itu hendaklah dengan dibuat dan dibiasakan selalu-selalu.

Maka belajar hendak pandai mengarang pun demikianlah juga. Tidak mesti seseorang itu mengenal lebih dahulu yang mana kata nama, yang mana kata perbuatan, yang mana kata ganti nama, yang mana kata ṣifat nama, mana pembuat, mana yang kena buat, mana benda, mana cerita, mana perbuatan melampau dan mana perbuatan tiada melampau dan sebagainya. Ia hendaklah mengarang terus dan membuatnya selalu-selalu. Ia akan membuat silap dan salah, tetapi hendaklah ia belajar daripada silap dan salahnya itu sendiri.


13. Istimewa pula demikian bagi orang yang punya bahasa itu sendiri. Mithālnya orang Melayu hendak belajar mengarang Melayu. Mereka memang telah sedia pandai bahasa Melayu dan tahu memakai masing-masing perkataan pada tempatnya; tahu yang mana betul Melayunya dan yang mana tidak, kerana dari dalam ayunan lagi mereka telah belajar bahasa itu dengan mendengar orang-orang di kelilingnya.


Yang mereka tiada tahu hanyalah menyusunkan āyat-āyat percakapannya itu dengan secara bahasa karangan yang elok—kemas, betul, terang, serta berpatutan tertīb isinya dan penyambung-penyambung āyatnya. Jadinya itulah pula hendak dibiasakannya membuat sehingga pandai.


Orang Melayu pandai bercakap Melayu dari kecil itu bukanlah sebab belajar naḥu Melayu—kebanyakan mereka sepatah naḥu pun tiada tahu; tetapi ialah dengan mendengar dan membuat sendiri selalu-selalu seperti yang didengarnya itu. Maka jika mereka hendak pandai mengarang pun begitulah juga.


14. Sebenarnya ‘ilmu naḥu atau jalan bahasa itu sangat berguna; tetapi iaitu di belakang datangnya akan menyaksikan dan mengukuhkan apa-apa yang mereka telah tahu dariḥāl guna-guna perkataan, kuasa-kuasa perkataan, dan susunan perkataan itu; dan jadi pedoman pada tempat-tempat yang halus siyāsatnya.


Dan lagi ‘ilmu naḥu itu akan memimpin mereka memeriksa dan memahamkan qā‘idah yang jadi tapak atau akar umbi kepada pengetahuan mereka dalam bahasa itu.


Lainlah jika belajar bahasa asing, maka bergunalah diutamakan qā‘idah naḥunya supaya jangan terikut qā‘idah naḥu bahasa sendiri. Tetapi sebelum apa-apa faṣal naḥu wājiblah juga dahulu diketahui beberapa banyak perkataan-perkataan bahasa asing itu dengan erti-ertinya dan dimāhirkan memakainya dengan bercakap cara bahasa itu. Setelah itu baharulah berguna naḥunya.



Buku Za‘ba, terbitan Akademi Jawi Malaysia:


230 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page