top of page

Kelebihan ‘Ilmu • كلبيهن علم

Updated: 14 Nov 2023

Zayn al-‘Ābidīn bin Aḥmad (Za‘bā)



​علم ايتوله ڬمالا سقتي

سينرڽ چره چهيا سجاتي

اصل ڤونچاڽ لامون ددڤاتي

سوكر برچري سهڠݢ ماتي

​‘Ilmu itulah gemala sakti

Sinarnya cerah cahaya sejati

Aṣal puncanya lamun didapati

Sukar bercerai sehingga mati

​هرڬاڽ تيدق داڤت ترنيليكن

سبواه دنيا بليڽ بوكن

كواساڽ بسر سوكت دڬوناكن

دلاءوت ددارت دريمبا دڤكن

​Harganya tidak dapat ternilaikan

Sebuah dunyā belinya bukan

Kuasanya besar sukat digunakan

Di laut di darat di rimba di pekan

​ماس سئورڠ اياله تاولن

تمن بربيک سولوه برجالن

ماس برهمڤون اي ڤڠنالن

هياس ڤڽات ڤولن سي ڤولن

​Masa seorang ialah taulan

Teman berbeka suluh berjalan

Masa berhimpun ia pengenalan

Hias penyata fulān si fulān

​باڬي يڠ دوک اي ڤڠهيبور

اي ڤنرڠ باڬي يڠ كابور

اياله قنديل ددالم قبور

لامون دڠنڽ برعمل سوبر

​Bagi yang duka ia penghibur

Ia penerang bagi yang kabur

Ialah qindīl di dalam qubūr

Lamun dengannya ber‘amal subur

​اي ڤنرڠ جالن كشرݢ

اي ڤمواس تكق يڠ دهݢ

اياله سوڠي اي تلاݢ

لاءوت يڠ لواس اياله جوݢ

​Ia penerang jalan ke shurga

Ia pemuas tekak yang dahaga

Ialah sungai ia telaga

Laut yang luas ialah juga

​اياله الت ساڠت برڬون

ايدامن اورڠ يڠ بيجقسان

همڤرڽ لواس اومت سوجان

تڤيڽ اجل سمڤادنڽ ڤان

​Ialah ālat sangat berguna

Idaman orang yang bijaksana

Hamparnya luas ummat saujana

Tepinya ajal sempadannya fāna

Sumber: Zayn al-‘Ābidīn bin Aḥmad, ‘Ilmu Mengarang Melayu, dikeluarkan oleh Pejabat Karang Mengarang Jabatan Pelajaran, cetakan pertama (Singapura: Malaya Publishing House, 1951), hlm. 147.

Penyalin (Jawi) dan Perumi:Nuha Nusaibah binti Muhammad Zawave


Sha‘ir Bahasa Jawi Digital  

Berita baik buat penggemar sha‘ir Melayu-Jawi!
Akademi Jawi Malaysia sedang mengorak langkah menyalin dan merumikan sha‘ir-sha‘ir Melayu-Jawi.

Adapun pendekatan projek ini ialah sedaya upaya menjaga keaslian naskhah dengan mengekalkan hejaan Jawi seperti asal pengarangan dan penerbitannya.   

Istimewanya, bayt-bayt sha‘irnya juga disusun beriringan dengan perumian bagi memudahkan pembaca moden.

Gerak kerja penyalinan sha‘ir ini dilakukan oleh pasukan perumi yang telah dilatih dalam siri bengkel kemahiran Bahasa Jawi tahun 2022.

Shahdan, kami berbesar hati mengundang para pembaca budiman untuk menghayati dan berkongsi keindahan karangan sha‘ir Bahasa Jawi.

366 lihatan1 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page