Oleh Muhammad Syukri Rosli
Sangat jarang kita memperkatakan betapa eratnya bahasa Jāwī dengan baginda Nabī ṣallā Allāhu ‘alayhi wa sallam. Bagaimana kita tahu bahawasanya bahasa Jāwī kita bergaluran dengan baginda?
1. Huruf Jāwī haqiqatnya ialah huruf ‘Arab. Sebelum ini, sejagat bangsa-bangsa Islām memanfa‘atkan huruf ‘Arab untuk menyuratkan bahasa mereka masing-masing. Suatu ketika dahulu, bahasa ‘Arablah bahasa dunyā, bahasa yang paling canggih keʼilmuannya, dan paling mendalam perbahathannya. Kedudukan bahasa ‘Arab yang tinggi begini kerana sifat-sifatnya bukan sahaja dibanggai oleh orang ‘Arab, bahkan di'iṭirāfi oleh ‘ilmuwan dari Timur dan Barat.
2. Kecanggihan bahasa ‘Arab tidak lain tidak bukan kerana ia berpunca daripada pemilihannya sebagai bahasa al-Qur'ān oleh Allah Subḥānahu wa Ta‘ālā. Dengan pentanzīlan al-Qur'ān, bahasa ‘Arab yang dahulunya hanya digunakan sebagai bahasa padang pasir, kemudian berubah menjadi bahasa utama ke‘ilmuan Islām. Al-Qur'ān telah menempa, menggubah dan memaktubkan perkataan-perkataan penting dalam bahasa ‘Arab supaya ma‘nanya menuruti faham-faham keislaman, seperti contoh perkataan:
Allāh, Nabī, Ṣaḥābat, Kitāb, ‘Ilmu, ‘Ādil, Iḥsān, Aḥad, Taqwa
Seperti yang dijelaskan Prof. Syed Naquib al-Attas, bahasa ‘Arab telah melalui gerak daya pengislaman bahasa dan menjadikannya bahasa Islam yang pertama. Bahkan, bahasa ‘Arab sendiri mempunyai beberapa kelebihan sebagai bahasa waḥyu - antaranya mempunyai sistem akar yang kukuh memelihara medan ma‘na dan mempunyai rekod-rekod yang lumayan yang menetapkan penggunaan dan pema‘nannya. Ini membolehkan bahasa ‘Arab segera berkembang menjadi sebuah bahasa ke‘ilmuan untuk pelbagai bidang ‘ilmu, seperti bidang tafsīr, ḥadīth, kalām, falsafah dan lain-lain lagi.
3. Al-Qur'ān meng'iṭiraf baginda Nabī ṣallā Allāhu ‘alayhi wa sallam sebagai sefaṣīḥ-faṣīḥ lisān dan setiap tutur katanya bukan daripada hawa nafsu, melainkan apa yang diwahyukan kepadanya. Baginda tidak pernah sesekali berdusta dan akhlāq baginda ialah al-Qur'ān itu sendiri. Bahkan laras bahasa baginda menjadi laras pertuturan bahasa ‘Arab yang paling faṣīḥ. Kewibawaan baginda sebagai makhlūq teragung dan insān tertinggi ini terpancar kepada para ṣaḥābāt baginda yang kemudian meneruskan pendidikan baginda. Mereka inilah (raḍiya Allāhu ‘anhum) membangunkan ke‘ilmuan bahasa ‘Arab yang kemudiannya mempengaruhi bahasa-bahasa umat Islām yang lain.
4. Semenjak abad ke-3 Hijrah lagi, bahasa ‘Arab telah menyaksikan kemunculan pelbagai karya ke‘ilmuannya. Menurut Prof Arparslan Acikgenc, ‘ilmu bahasa ‘Arab ialah bidang ‘ilmu terawal yang terbentuk secara sistematik dalam tamaddun Islām. Sebagai sebuah bidang ‘ilmu ini, bahasa ‘Arab mensistemkan 12 mata pelajaran, seperti yang dinaẓamkan oleh Shaykh ‘Aṭṭār,
ثمَّ اشْتِقاقٌ وَقَرْضُ الشِّعْرِ إِنْشَاءُ | * | نحوٌ وَصَرْفٌ عَرُوضٌ بَعْدَهُ لُغَةٌ |
تارِيخُ هَذا لِعِلْمِ العُرْبِ إِحْصاءُ | * | كَذَا المعاني بَيانُ الخطُّ قَافِيةٌ |
1. al-Naḥū (Tatabahasa, Syntax)
2. al-Ṣarf (‘ilmu pembentukan kata/morphology)
3. al-‘Arūḍ (‘Ilmu menimbang sha‘ir/Prosody)
4. al-Lughah (Jalan bahasa/Linguistics)
5. al-Ishtiqāq (Uṣūl perkataan/Etymology)
6. al-Shi‘r (Sha‘ir puisi/Poetry)
7. al-Inshā’ (‘ilmu karang-mengarang, Essay)
8. al-Ma‘ānī (Medān ma‘nā, Semantics)
9. al-Bayān (Retorik, Rethorics)
10. al-Khaṭṭ (Calligraphy)
11. al-Qāfiyah (Sajak/Rhyme)
12. al-Tārīkh (‘ilmu sejarah kesusasteraan ‘Arab)
5. Apabila bangsa-bangsa lain memeluk Islām, maka mereka melihat kecanggihan bahasa ‘Arab dan berkemahuan untuk mengiṣlāḥkan bahasa mereka sendiri. Adapun ḥāl ini diperhatikan dan dicatatkan oleh Raja ‘Alī Ḥāji yang menyebutkan dalam Kitāb Pengetahuan Bahasa:
“...indah makhrajnya atau kena mubālagah perkataannya, atau kerana mengambil pahala yang Maha Besar menyukakan bahasa ‘Arab itu, maka iaitu tiada janggal. Dan lagi, jadi ‘alāmat pula keteguhan īmān kerana Qur’ān al-‘Azīm diturunkan dengan bahasa ‘Arab jua dan Nabī. Segala orang yang berugama dengan Islām pun, Nabī daripada bangsa ‘Arab jua. Maka mengambil berkatlah segala bangsa-bangsa orang-orang Islām, berebut-rebutlah mereka itu mengambil belajar bahasa ‘Arab itu, seperti segala ‘ajam. Dan istimewa pula pihak sebelah Sham dan pihak Turkī hingga membuang mereka itu akan segala ḥuruf mereka itu yang asal kerana quwwat īmān mereka itu serta kasihnya akan ugamanya hingga terbanyaklah sudah bahasa ‘Arab yang dipakai pada bahasa mereka itu."
6. Bahasa Jāwī juga melalui pengalaman ini. Sewaqtu awal pengislaman bangsa Melayu, para ‘ālim ‘ulamā' menetapkan bahawa bahasa Melayu yang perlu dipilih sebagai perantara pengislaman bangsa Melayu. Ini disebabkan, berbeza dengan bahasa Jawa yang lebih menular pada waqtu itu, bahasa Melayu lebih "bebas" lingkup ma‘nanya daripada faham-faham kehinduan dan kebuddhaan. Bahasa Melayu juga lebih terbuka kepada kemasukan iṣṭilāḥ-iṣṭilāḥ baharu yang boleh menempa pemikiran orang Melayu, justeru dimasukkanlah sejumlah iṣṭilāḥ-iṣṭilāḥ ‘Arab-Qur'ān ke dalam bahasa pertuturan orang Melayu. Antaranya ialah yang telah kita sebutkan di atas. Malah, telah terbit hampir 70 tahun dahulu, sebuah qāmūs yang menyenaraikan lebih kurang 2000 iṣṭilāḥ ‘Arab dalam bahasa Melayu, yang dinamakan Qāmūs al-Ḥamīdī.
Adapun iṣṭilāḥ-iṣṭilāḥ yang sedia Melayu yang sudah ẓāhir dan baṭīnnya menepati konsep Islām, maka ia dikekalkan. Shaykh Aḥmad al-Faṭānī berfatwā tentang qā'idah bagaimana iṣṭilāḥ aṣlī Melayu boleh diterima sebagai iṣṭilāḥ penting Islām, sepertimana huraian beliau dalam penterjemahan Ṣifat Qidam (daripada Ṣifāt 20):
Dan jika berkata seseorang tatkala adalah Qidam itu, ma‘nanya Lama – maka mengapa orang Melayu terjemahkan dia dengan Sedia? Berkata hamba, tatkala adalah Sedia itu terlebih manis pada pendengaran dan perasaan daripada Lama, dengan nisbah kepada ḥadrat Tuhan dan Ṣifat- Nya––Jalla wa ‘Alā––kerana terlebih mesegerainya kepada mengerti akan maqṣūd, iaitu Adanya Subḥānahu wa Ta‘ālā pada Azal, ertinya pada sedia kala dengan ketiadaan permulaan. Maka terlebih sebenar bagi orang Melayu bahawa terjemah mereka itu akan Qidam itu dengan Sedia, bersalahan Lama.
6. Kelebihan bahasa Melayu sebagai perantara bahasa Islām menjadikannya bahasa kebangsaan yang unggul. Kemudian, atas jasa ‘ālīm ‘ulamā' ini, disatukanlah pula orang-orang Melayu yang terpencar-pencar tanah dan airnya di bawah satu agama dan satu bahasa. Dan bermunculanlah kerajaan-kerajaan baharu yang berteraskan dustur keislaman bentuknya. Perkembangan tamaddun Islām di ‘Ālam Melayu boleh diperhatikan pada perkembangan persūratannya - iaitu, bahasa Jāwī. Adapun ta‘rīf bahasa Jāwī, sepertimana yang dipakai oleh para ‘ulamā' kita ialah: bahasa Melayu yang disūratkan dengan ḥuruf ‘Arab yang telah dimelayukan.
7. Bagaimanakah bahasa Jāwī, ya‘nī persūratan Melayu, memanfa‘atkan bahasa ‘Arab? Bahasa Melayu mempunyai bunyi yang lebih daripada bahasa ‘Arab, seperti bunyi ch, ga, pa, nya dan nga, sedangkan bahasa ‘Arab tiada huruf yang boleh mewakili bunyi-bunyi ini. Maka, berpunca daripada disiplin ‘ilmu tajwīd (‘ilmu bunyi) maka digabung-gabungkanlah beberapa ḥuruf supaya menjadi bunyi seperti yang terdapat dalam bahasa Melayu. Contohnya:
ḥuruf ڽ dibentuk dengan gabungan 2 ḥuruf ن yang bunyinya "n" dan ي yang bunyinya "y". ن menjadi teras huruf dan dua titik daripada ي diambil untuk menggubah bunyi asal ن itu mendekati bunyi ي. Maka jadilah ḥuruf ڽ untuk memaqṣūdkan bunyi "nya".
Seterusnya, bahasa Jāwī juga memanfa‘atkan ḥurūf-ḥurūf ‘Arab untuk membentuk bunyi, iaitu 3 ḥurūf saksi dan 1 ḥurūf ghayb bagi mewakili 6 bunyi Melayu: a, i, u, e, o, ě. Dan jika diperhatikan dalam ‘ilmu qira‘at Qur'ān, ada dibicarakan dengan bentuk ḥurūf dan perbezaan pembunyiannya.
8. Bahasa Jāwī, bukan seqadar memanfa‘atkan bahasa ‘Arab pada ḥurūf dan pengejaannya sahaja, bahkan ia mengambil kesemua 12 bidang ke‘ilmuan bahasa ‘Arab itu. Buktinya, semenjak Batu Bersurat Terengganu dipahat pada tahun 1303 M, kita dapat memerhatikan bentuk ‘ilmu naḥu, ṣaraf dan disiplin persūratan digunakan. Mithālnya, pada muka A, kita dapat lihat ejaan perkataan ‘Arab seperti رسول الله dieja dengan ejaan aṣli ‘Arab tanpa diubah ke dalam bentuk pengejaan Melayu. Ini menunjukkan bahawasanya pemahatan Batu Bersurat Terengganu ini melibatkan ‘ālim yang tahu bukan sahaja bahasa Melayu semata-mata, tetapi bahasa ‘Arab. Bahkan, bingkai yang menggarisi muka A Batu Bersurat inipun mirip dengan qā'idah kolofon yang terdapat pada manuskrip-manuskrip dalam tradisi persūratan Islām - yang tujuannya menunjukkan tarikh sesuatu karya itu siap dikarang.
Jika kita memerhatikan karya-karya bahasa Jāwī, baik dalam bentuk kitab, warqah, cop mohor mahupun apa-apa hiasan yang menggunakan ḥuruf, nescaya kita akan mendapati ada qā'idah dan disiplin yang mana mirip serta berselari dengan qā'idah dan disiplin tradisi bahasa dan persūratan Islam baik di Timur Tengah, Turki, Hindi, Maghrib dan juga Andalusia. Sebab itulah, jika membaca kitāb-kitāb Jāwī, seseorang perlu menguasai ‘ilmu ḥuruf, ejaan, ṣaraf, naḥū, balaghah dan juga qā'idah persuratan supaya sampai kepada ma‘nā yang tersirat di sebalik persūratan pengarang. Dan ma‘nā itu lebih mudah dicapai jika dipimpin oleh guru yang benar.
9. Daripada zamān ke zamān, bahasa Jāwī berkembang menjadi bahasa ke‘ilmuan dan setiap satu zamān, bangsa Melayu tiada sunyi daripada mendapat manfa‘at daripada ‘ālim ‘ulamā yang ḥāḍir mengiṣlāḥkan bangsa Melayu. Bahasa inilah juga yang menjadi bahasa penyatuan: daripada Kesulṭānan Acheh di sebelah barat, ke Kesulṭānan Tidore di sebelah timur ‘Ālam Melayu dan Kerajaan Champa di Utara hinggalah ke Kerajaan Jawa di Selatan. Bahkan, bahasa Jāwī subur jua di luar wilayah Asia Tenggara ya‘nī ke Tanah Ḥarām iaitu di Makkah, yang di situlah para ‘ālim ‘ulamā' Jāwī kita bergiat dalam bidang ‘ilmu. Kitāb-kitāb Jāwī boleh ditemukan juga bukan sahaja di Makkah al-Mukarramah, bahkan di Meṣir, dan juga Turki. Warqah-warqah para Raja Melayu juga disūratkan dalam bahasa Jāwī yang indah dan dikirim kepada pembesar-pembesar di Eropah. Ini menunjukkan bahasa Jāwī telah mencapai tahap kesejagatan dan kebangsaan yang besar, dan digunakan bukan semata-mata untuk bangsa Melayu sendiri, bahkan kepada seluruh dunyā.
10. Adalah sayang jika ‘ilmu bahasa moden kita sekarang meminggir tentang galuran emas bahasa kita Rasūlu'Llāh ṣallā Allāhu ‘alayhi wa sallam, serta para ṣaḥābāt, ṭābi‘, ṭābi‘ ṭābi‘īn dan ‘ālim ‘ulamā' yang di‘iṭiraf menjadi pewarīth kewibawaan baginda, raḍiyā Allāhu ‘anhum. Shahdān, dalam semangat kita mengingati kelahiran seorang insān yang agung ini, marilah kita menyemak dan menghidupkan kembali galuran bahasa kita kepadanya.
Untuk ketahui dengan lebih lanjut, sila lihat di sini:
Comments