Peta Jawi Semenanjung Tanah Melayu: Nama Negeri dan Da‘irah dalam Jawi Tradisi

Peta Jawi Semenanjung Tanah Melayu ialah peta lukisan tangan terbitan Akademi Jawi Malaysia yang memetakan seluruh muka bumi Semenanjung, dari Singapura di selatan hingga sebahagian negeri Terang dan Merdelong di utara. Setiap nama negeri, da‘irah, sungai, pulau dan gunung padanya disuratkan dengan qa‘idah Jawi Tradisi, dan disertakan pula ruminya.
Peta ini bersaiz A1 (594 x 841 mm) dan dicetak dengan tiga tinta. Nama-nama tempat yang tercatat padanya ialah nama semasa ketika peta ini dilukis, iaitu pada tahun 2023 hingga 2024.
Mengapakah nama tempat disuratkan dalam Jawi?
Nama tempat bukanlah sekadar label pada peta, tetapi ingatan sesuatu bangsa tentang tanah airnya; dan selama berabad-abad ingatan itu disuratkan dalam Jawi. Sejak Batu Bersurat Terengganu dipahat pada 4 Rajab 702 Hijrah (22 Februari 1303 Masihi), persuratan Melayu di Semenanjung ditulis dengan huruf Jawi, termasuklah nama-nama negeri dan jajahannya.
Oleh sebab kebanyakan peta yang kita lihat hari ini disuratkan dalam Rumi sahaja, maka peta ini mengembalikan nama-nama tempat di Semenanjung kepada huruf yang pernah menyuratkannya, sambil mengekalkan ruminya supaya mudah dibaca oleh sesiapa jua.
Apakah yang terkandung dalam peta ini?
Selain bentuk muka bumi Semenanjung itu sendiri, peta ini memuatkan butir-butir berikut:
Nama negeri, dicetak dengan tinta emas.
Nama semua da‘irah, jajahan atau luak, dicetak dengan tinta coklat.
Ibu negeri dan ibu da‘irah, dicetak dengan tinta merah.
Sungai-sungai utama, tasik atau empangan, serta pulau-pulau besar di sekeliling Semenanjung, masing-masing dengan namanya.
Banjaran gunung-ganang yang menjadi tulang belakang Semenanjung, dengan nama dan ketinggian gunung-gunung utamanya.
Petunjuk peta, nilai garis lintang dan bujur, 16 mata angin Melayu, nisbah peta (skala) dan penerangan ringkas.
Kesemua butir itu disuratkan dalam Jawi Tradisi dan disertakan ruminya.
Bagaimanakah nama-nama asing diberi nama Melayu?
Sebahagian nama tempat di Semenanjung hari ini berasal daripada bahasa asing, seperti bahasa Inggeris dan bahasa Thai. Bagi nama-nama demikian, kebanyakannya diberi nama Melayu dengan meruju‘ pelbagai sumber sejarah, sebagaimana negeri Terang dan Merdelong di utara yang dicatat dengan nama Melayunya. Dengan demikian, peta ini bukan sahaja menunjukkan letak sesuatu tempat, tetapi juga memelihara nama-nama Melayunya dalam persuratan.
Gaya khat pada peta
Nama-nama da‘irah dan penerangan peta disuratkan dalam salah satu gaya khat Melayu yang lazim didapati pada naskhah-naskhah tangan (manuskrip) Jawi, manakala tulisan selebihnya memakai gaya khat Naskh. Paduan dua gaya ini menjadikan peta tersebut alat rujukan dan juga hiasan dinding yang menampilkan wajah persuratan Jawi.
Peta sebagai alat belajar membaca Jawi
Oleh sebab setiap nama disertakan ruminya, peta ini dapat dipakai sebagai alat belajar membaca Jawi. Pembaca yang sudah mengenal nama sesuatu tempat dalam Rumi boleh membandingkannya terus dengan ejaan Jawinya, lalu mengenal pola ejaan Jawi Tradisi daripada nama-nama yang sudah biasa didengarnya. Bagi guru, pelajar dan keluarga, inilah cara yang mudah untuk mendekatkan Jawi dengan tanah air sendiri.
Soalan lazim
Apakah saiz Peta Jawi Semenanjung Tanah Melayu?
Peta ini bersaiz A1, iaitu 594 x 841 mm.
Adakah nama-nama pada peta ini disertakan rumi?
Ya. Setiap nama dan penerangan disuratkan dalam Jawi Tradisi dan disertakan ruminya.
Kawasan manakah yang dipetakan?
Seluruh Semenanjung Tanah Melayu, dari Singapura di selatan hingga sebahagian negeri Terang dan Merdelong di utara, termasuk sungai utama, tasik, pulau-pulau besar dan banjaran gunung.
Berapakah harganya dan di manakah boleh dibeli?
Harganya RM30.00 sekeping. Peta ini boleh dibeli di Kedai AJM dalam talian atau di pejabat Akademi Jawi Malaysia di Bandar Puteri Bangi, Kajang.
Bacaan berkaitan
Tentang Akademi Jawi Malaysia
Akademi Jawi Malaysia (AJM) ialah pusat ke‘ilmuan, kebudayaan dan persuratan Jawi yang di‘itirafi di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Berpangkalan di Bandar Puteri Bangi, Kajang, Selangor, AJM telah menerbitkan lebih 100 judul kitab, buku, peta dan majalah Jawi sejak 2011, di samping menawarkan khidmat penjawian, reka letak teks Jawi dan percetakan.
Alamat: 8, Jalan Puteri 2A/6, Bandar Puteri Bangi, 43000 Kajang, Selangor. Telefon: 03-8928 9899. E-mel: ibu.pejabat@akademijawi.my.




Komen