Muqaddimah
4 Rajab 702 Hijrah atau 22 Februari 1303 Masihi wajar diingati sebagai sebuah tarikh bersejarah yang penting untuk tanah air kita. Pada tarikh ini, sebuah batu telah dipahat dan kemudian menjadi artifak bersejarah yang menandakan peranan besar Islam dalam membentuk peradaban di rantau Melayu-Indonesia. Batu ini dipahat dengan huruf Jawi, iaitulah huruf ‘Arab yang disesuaikan untuk persuratan Melayu dan ditegakkan di sebuah negeri di pantai timur Semenanjung, iaitulah Terengganu.
Huruf dan Persuratan Jawi
Sebongkah batu yang berpahat pada keempat-empat mukanya ini ialah catatan tertua Jawi yang diketahui hingga kini. Walaupun pada zahirnya tulisan pada batu ini tampak seperti tulisan ‘Arab, tetapi ialah lambang yang unik untuk Bahasa Jawi. Buktinya pada huruf ڽ – melambangkan bunyi “nya”, yang tiada untuk bunyi bahasa ‘Arab, yang terdapat pada perkataan دانداڽ, yang tersurat pada muka C.
Dengan adanya huruf istimewa Melayu ini, ia menunjukkan bahawa dalam gerak daya pengislaman di kepulauan Melayu-Indonesia, para penda‘wah terdahulu telah cuba mengislahkan unsur-unsur kebudayaan Melayu, khususnya bahasanya, untuk mempunyai satu bentuk persuratan yang sebaris dengan bahasa-bahasa Islam yang utama, iaitulah ‘Arab, Parsi, Turki-‘Uthmani dan Urdu.
Sesungguhnya, Batu Bersurat Terengganu yang disurat dengan Jawi ini mencerminkan latar pemikiran tinggi dan saintifik penduduk setempat pada waktu itu. Meskipun persuratan Jawi memakai huruf ‘Arab, ia tidak menjadikan bahasa tempatan itu hilang segak dan kacaknya, tetapi semakin bergalak-lagak untuk menyurat-karang bermacam ‘ilmu pengetahuan pada abad-abad ke depannya.
Shahdan, ia telah mengangkat kaum Muslimin di rantau ini menjadi bangsa moden berbudaya ‘ilmu dan menggabungkan ‘ilmuwan tempatannya dengan ke‘ilmuwan sejagat.
‘Ilmu Sejagat
Daripada hari, bulan dan tahun yang terpahat pada Batu Bersurat ini, terzahirlah pengetahuan ‘ilmu langit atau kini dikenali dengan bidang sains astronomi. Tarikh Bersurat ini dipahat pada hari Juma‘at, bulan Rajab, tahun 702 Hijrah dan ditentusahkan dengan kedudukan bulan pada lingkungan buruj Sharaṭān (Aries).
Bayangkanlah pada waktu itu––tanpa perisian dan alatan yang canggih––betapakah caranya si tukang pahat dapat menentukan cerapan yang tepat untuk kedudukan bulan di langit malam, jika tiada kecanggihan ‘ilmu pengetahuan sains astronomi itu?
Penyelidikan Masakini
Profesor Diraja Terpuji, Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, beliau telah menyimpulkan dengan pasti mengenai tarikh sebenar Batu Bersurat Terengganu ini. Bersilangkan kepakaran beliau dalam ‘ilmu huruf dan khat Jawi serta langkah mengira balik bilakah jatuhnya hari Jumaat pertama bulan Rajab untuk tahun 702 Hijrah, beliau telah menyelesaikan ketidakpastian para orientalis sebelumnya yang meragui bilakah tarikh tepat Batu Bersurat itu.
Laporan qa‘idah saintifik penelitian Prof al-Attas mengenai penentuan tarikh ini telah diterbitkan dalam buku berjudul “The Correct Date of Terengganu Inscription” pada tahun 1970 oleh Muzium Negara.
Ia kemudian disusuli dengan penyelidikan lanjut oleh sarjana pelbagai latar belakang, baik dari bidang falsafah, bahasa, astronomi, kaji bumi, dan pengajian Islam melalui buku “Batu Bersurat of Terengganu: Its Correct Date, Religio-Cultural, and Scientific Dimensions,” suntingan Profesor Dr. Muhammad Zainiy Uthman (terbit 2012, Jabatan Warisan Negara).
Dalam buku ini, Profesor Dr. Muhammad Zainiy Uthman dan Azlan Hashim telah mentahqiq bacaan dan kiraan Prof. al-Attas dengan perisian astronomi Stellarium dan berkesimpulan bahawa benarlah bulan berada pada lingkungan buruj Sharatan, pada tarikh 4 Rajab 702 Hijrah atau 22 Februari 1303 Masihi, sepertimana yang telah ditentukan oleh Prof. al-Attas itu.
Penyelidikan dan penemuan Prof. al-Attas serta tahqiq Prof. Muhammad Zainiy Uthman dan Azlan Hashim ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan judul “Tarikh Sebenar Batu Bersurat Terengganu” (terbit 2015, CASIS-HAKIM).
Artifak Penting
Daripada dapatan pelbagai sarjana ini, dapat disimpulkan bahawa Batu Bersurat Terengganu telah memaktubkan permulaan penting persuratan Jawi dan menjadi artifak utama untuk memahami perkembangan ‘ilmu dan pemikiran Kaum Muslimin di rantau Melayu-Indonesia pada abad ke-14.
Dengan ketetapan tarikh ini, dapatlah pensejarahan Kepulauan Melayu-Indonesia dibandingkan dengan peristiwa-peristiwa besar dunya yang lain yang sezaman dengannya. Contohnya pengislaman di Terengganu telah berlaku 150 tahun lebih awal sebelum pembukaan Konstantinople of Sultan Muhammad al-Fatih pada 1452-1453 Masihi.
Pendekatan qa‘idah tinjauan Jawi bersilangkan pengetahuan-pengetahuan lain ––seperti ‘ilmu huruf dan penulisan Jawi serta sains astronomi –– yang digagaskan oleh Prof. al-Attas ini telah menjadi panduan kepada para penyelidik seterusnya untuk menganalisa artifak sejarah Islam berpandukan kerangka fikir yang tepat. Bahkan, disebabkan kepentingan sejarah dan kedudukannya sebagai artifak bernilai tinggi ini, Batu Bersurat Terengganu telah terpilih sebagai Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2009.
Kesimpulan
Sesungguhnya, dengan mengetahui mengenai hakikat dan makna artifak penting ini, sewajarnya tarikh yang terpahat pada Batu Bersurat Terengganu ini dijadikan sambutan penting di tanah air kita. Tarikh Batu Bersurat Terengganu pada 4 Rajab atau 22 Februari wajar dijadikan sebagai tarikh ulangtahun memperingati bahawa di tanah air kita telah menyaksikan kepesatan perkembangan persuratan yang berteraskan tamadun Islam.
Comments