top of page

Cara Belajar Tulisan Jawi dengan Berkesan: 7 Langkah Praktikal

14 Okt
2 min membaca

Updated: 19 Okt

Belajar Jawi lebih mudah daripada yang disangka, terutamanya bagi orang yang sudah berbahasa Melayu, kerana yang dipelajari itu bukanlah bahasa baharu, tetapi cara baharu menulis bahasa yang sudah difahami. Kuncinya ialah belajar mengikut urutan dan berlatih sedikit setiap hari.


1. Kenal huruf Jawi dan bentuknya


Mulakan dengan huruf-huruf Jawi, termasuk huruf tambahan Melayu: چ (ca), ڠ (nga), ڤ (pa), ݢ (ga), ڽ (nya) dan ۏ (va). Fahami bahawa setiap huruf boleh berubah bentuk mengikut kedudukannya: awal, tengah, akhir atau tunggal.


2. Fahami peranan alif, wau dan ya


Ketiga-tiga huruf ini berfungsi sebagai penanda vokal. Contohnya, "baca" ditulis باچ dan "sekolah" ditulis سکوله. Apabila pola ini sudah difahami, membaca pun menjadi jauh lebih lancar.


3. Baca perkataan yang sudah dikenal


Latih mata dengan perkataan harian: nama sendiri, nama tempat, papan tanda, tajuk buku. Otak lebih cepat mengecam bentuk perkataan yang ma‘nanya sudah diketahui.


4. Menulis dengan tangan setiap hari


Tulis sekurang-kurangnya lima hingga sepuluh minit sehari. Salin ayat pendek, doa atau pantun ke dalam Jawi. Menulis dengan tangan menguatkan ingatan terhadap bentuk dan sambungan huruf.


5. Belajar ejaan daripada sumber yang betul


Ejaan Jawi ada kaedahnya. Rujuk pedoman ejaan Jawi yang muktabar dan, jika boleh, belajar dengan guru yang dapat membetulkan kesilapan kita. Tradisi ‘ilmu Jawi sangat menekankan belajar bersanad dengan guru.


6. Gunakan alat digital dengan bijak


Pasang papan kekunci Jawi pada telefon dan cubalah menaip pesanan ringkas. Alat digital boleh membantu menyemak ejaan, tetapi janganlah bergantung sepenuhnya kepadanya, kerana kaedah ejaannya tetap perlu difahami.


7. Naik ke bacaan sebenar


Apabila sudah selesa, baca bahan Jawi yang sebenar: buku kanak-kanak, majalah, kemudian kitab dan teks klasik. Mulakan dengan teks yang ada versi Rumi supaya bacaan dapat disemak sendiri.


Sumber belajar Jawi daripada Akademi Jawi Malaysia


  • Ḥalaqah Jāwī 01–08: siri kuliah video percuma oleh Muhammad Syukri Rosli tentang pengajian bahasa Jawi. Tonton di halaman Belajar.

  • Siri Tradisi Ke‘ilmuan Bahasa Jawi: empat episod ringkas tentang permulaan tradisi Jawi, Wan Ahmad al-Fatani, Raja ‘Ali Haji dan Za‘ba.

  • Kemahiran Kerjaya Bahasa Jawi: video cara memasang dan menggunakan papan kekunci Jawi.

  • Kursus Jawi: ma‘lumat terkini tentang kursus Jawi AJM dimuatkan di halaman Belajar.

  • Kelas berkumpulan: hubungi AJM untuk bertanya tentang kuliah, bengkel dan kelas Jawi.

  • Bahan bacaan Jawi: buku, kitab dan peta di Kedai AJM.


Soalan lazim


Penutur bahasa Melayu biasanya boleh mengenal semua huruf dalam beberapa minggu dengan latihan harian. Kefasihan membaca teks panjang memerlukan latihan yang lebih lama dan berterusan.

Belajar mengikut urutan (huruf, vokal, perkataan, ayat), menulis setiap hari, merujuk pedoman ejaan yang betul, dan membaca bahan Jawi sebenar dengan bimbingan guru.

Akademi Jawi Malaysia menyediakan siri kuliah dan video Jawi percuma di akademijawi.my/belajar dan di saluran YouTube AJM.


Tentang Akademi Jawi Malaysia


Akademi Jawi Malaysia (AJM) ialah penerbit, pencetak dan pusat ke‘ilmuan Jawi yang berpangkalan di Bandar Puteri Bangi, Kajang, Selangor. Bermula pada 2011 sebagai Klasika Media dan didaftarkan sebagai Akademi Jawi Malaysia Sdn. Bhd. pada 2016, AJM telah menerbitkan lebih 100 judul buku, kitab, peta dan majalah Jawi, di samping menawarkan khidmat penjawian, perumian, suntingan, reka bentuk dan cetakan buku, serta kuliah, bengkel dan kelas Jawi.


Alamat: 8, Jalan Puteri 2A/6, Bandar Puteri Bangi, 43000 Kajang, Selangor. Telefon: +603-8928 9899. WhatsApp: 019-439 8519. E-mel: ibu.pejabat@akademijawi.my.


bottom of page