top of page

SMN Al-Attas: Penetap Falsafah Pensejarahan Melayu Islam

Updated: 12 Feb 2023




Bermula abad ke-20, banyak lembaga pendidikan tinggi tumbuh dan cuba menjadi pentafsir utama sejarah, kebudayaan dan peradaban Melayu. Walau bagaimanapun, lembaga pendidikan tinggi ini dibina dan digagaskan berteraskan falsafah, dasar dan kerangka fikir Barat.


Cara gaya pemikiran Barat ini dibawa oleh para orientalis, iaitulah sarjana Barat yang mengkaji dan mentafsir sejarah, kebudayaan dan peradaban Melayu. Falsafah, dasar dan kerangka fikir orientalis ini, jika diteliti, seolah-olah tidak memaparkan haqiqat sejadi dan sejati peradaban Melayu yang berteraskan ketamadunan Islam. Daripada kesimpulan penyelidikan orientalis ini, sumbangan dan peranan besar Islam membentuk peradaban Melayu seringkali diketepikan. Kesimpulan penyelidikan orientalis inilah kemudiannya diajar kepada angkatan baharu penuntut ‘ilmu yang melanjutkan pelajaran ke lembaga pendidikan tinggi ini.


Dalam abad ke-20, lembaga pendidikan tinggi bersendengkan pemikiran Barat ini akhirnya telah merampas sandaran kewibawaan ke‘ilmuan sejarah, kebudayaan dan peradaban Melayu. ‘Aqibat kesendengan ini turut menular hingga melahirkan angkatan baharu cerdik-pandai Melayu yang kemudian mengeshakk haqiqat sumbangan Islam dalam peradaban mereka sendiri dan akhirnya menyebabkan bahasa dan ke‘ilmuan Jawi itu tersisih dalam pendidikan masakini.


Mengetahui gejala punca kerosakan ke‘ilmuan sejarah Melayu ini, maka seorang ‘ilmuwan tanah air telah bingkas bangkit ke tengah gelanggang ke‘ilmuan pendidikan tinggi untuk menyanggah cara gaya pendidikan orientalis itu, ya‘ni dengan menjuruskan hujah-hujah sumbangan-sumbangan besar Islam dalam akar teras peradaban Melayu. Apakah hujah-hujah yang dipersembahkan beliau dan bagaimana ia kemudian menjadi kerangka untuk memahami dan mengetahui haqiqat peradaban Melayu berpasakkan Islam? Bagaimanakah dengan kerangka fikir itu kita dapat mempertahankan tradisi ke‘ilmuan Bahasa Jawi dalam zaman serba mencabar ini? Karangan ini cuba mengupas dengan ringkas.


Mengenali Syed Muhammad Naquib al-Attas

Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas. Gambar semasa Saturday Night Lecture anjuran Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), ihsan Facebook RZS-CASIS.


Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dilahirkan pada tahun 1931 di Bogor, Jawa Barat. Beliau diasuh dalam tradisi ke‘ilmuan keluarga ‘alim ‘ulama dan dibesarkan dalam keluarga bangsawan negeri Johor. Semenjak kecil lagi, beliau telah didedahkan dengan kekayaan khazanah persuratan Melayu-Jawi di perpustakaan peribadi Dato’ Onn Ja’far. Beliau mendapat pendidikan formal di Universiti Malaya di peringkat sarjana muda, kemudian sarjana di McGill University, Kanada dan doktor falsafah di School of Oriental and African Studies (SOAS) di University of London.


Pada tahun 1972, beliau menubuhkan telah menubuhkan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (IBKKM). Sebagai profesor Bahasa dan Kesusasteraan Melayu yang menubuhkan IBKKM, beliau telah menyampaikan sharahan pengukuhan terkenal beliau yang berjudul:


Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu Suatu Mukaddimah mengenai Peranan Islam dalam Peradaban Sejarah Melayu-Indonesia, dan kesannya dalam sejarah pemikiran, bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Sharahan ini menjadi rujukan terpenting dalam memahami teras falsafah dan kerangka fikir untuk memahami haqiqat pensejarahan peradaban Melayu. Bahkan, sharahan inilah yang menunjukkan hujah ‘ilmiyyah bagaimana Islam telah merevolusikan peradaban Melayu ke tahap yang paling cemerlang.


Mengenalpasti Permas‘alahan


Intipati utama permas‘alahan sejarah yang dikenalpasti oleh Profesor al-Attas iaitulah falsafah sejarah dan peradaban Melayu telah dibentuk dan dirangkakan tidak sejati dan sejadi dengan haqiqat sebenar perjalanannya. Menurut beliau, ‘ilmu sejarah Melayu yang dipupuk di gelanggang pendidikan sekolah dan universiti dibentuk oleh pandangan Barat – iaitu bergaluran daripada kerja-kerja ‘ilmiyyah orientalis Inggeris dan Belanda yang giat berpencak di pentas ke‘ilmuan sejarah dan kebudayaan Melayu.


Adapun masalah utama pandangan Barat ini ialah pengabaian besar akan peri pentingnya haqiqat Islam dalam membentuk dan mencirikan peradaban Melayu. Pengabaian ini meng‘aqibatkan kesimpulan-kesimpulan dalam pensejarahan Melayu itu tersasar, sungguhpun terdapat begitu banyak sekali bukti yang dapat dikemukakan bagi menunjukkan sumbangan agung Islam dalam peradaban Melayu ini. Hal ini seringkali diabaikan kerana kononnya peradaban Melayu-Islam, jika hendak dibandingkan peradaban-peradaban dunia yang lain, tidak mewarithkan apa-apa pusaka artifak fizikal sebagai bukti keluhuran tinggi peradabannya.


Maka peranan Islam dalam memupuk sejarah dan budaya luhur Melayu digelapkan daripada kelih mata ke‘ilmuan. Sebaliknya ahli-ahli ‘ilmu sejarah jenuh giat mencari bukti-bukti sejarah sebelum zaman kedatangan Islam – kononnya lebih tampak asli dan sejati menayangkan ketinggian peradaban Melayu. Lalu, bukti-bukti sejarah sebelum Islam itu diperbesar-besar dan diangkat-angkat menjadi tompang utama bagi membina kerangka pensejarahan dan peradaban Melayu.


Daripada tilikan fikiran Prof. al-Attas, beliau mengusulkan bahawa itu sebenarnya tidak tepat bagi menggambarkan haqiqat sebenar keluhuran peradaban Melayu. Shahdan, suatu usul penting yang beliau tabuhkan ialah untuk para ahli ‘ilmu agar benar-benar meninjau aspek batin bangsa Melayu–––iaitulah pemikiran dan ‘aqal-fikrinya–––bagi benar-benar memahami peranan penting Islam dalam menggubah dan merangka, seterusnya menjadi teras-pasak peradaban.


Tinjauan ‘Aqal-Fikri


Para pengkaji sejarah dan kebudayaan Melayu yang terdiri daripada mahaguru orientalis jenuh giat mencari 'anasir kesenian sebagai bukti ketinggian peradaban Melayu. Pun begitu, seni sebagai ukuran peradaban tidak semestinya benar-benar menggambarkan keluhuran mutu insan dalam sesuatu peradaban. Meskipun Acropolis Yunani, Persepolis Iran, dan Piramida Mesir ternampak gah dan hebat dari pandang pusaka seni rupa yang kekal merentasi zaman, tetapi haqiqat sebenarnyalah senirupa itu dihasilkan kala waqtu rosotnya budi dan akhlaq insan peradaban itu.


Bahkan, tinjauan sejarah yang semata-mata menumpukan pusaka seni rupa, seni bina dan seni hias sebagai ukuran keluhuran sesuatu peradaban itulah cara gaya dan kerangka fikir Barat dalam menyelidik dan mengkaji sesuatu peradaban. Oleh itu, bagi Prof. al-Attas, penyelidikan dan pengkajian sesuatu peradaban perlulah melangkaui sempadan sempit pusaka seni-seni tampak itu untuk pergi lebih jauh meninjau saujana ‘alam ‘aqal-fikri. Jika dikembarai luasnya semesta ‘aqal-fikri itu, nescaya lebih megah kacak ia menyatakan rupa wajah haqiqi sesuatu bangsa – khususnya untuk bangsa Melayu-Islam.


Pada himmah Prof. al-Attas, ‘anasir falsafah Hindu-Buddha yang terdapat dalam lipatan peradaban Melayu telah melalui banyak lapisan dan tapisan, hinggakan banyak sifat ‘aqliyyah dan rasionalnya telah terkorban. Maka ‘anasir falsafah Hindu-Buddha itu hanya tertinggal bayangan bekasnya dalam bentuk seni-seni tampak itu semata-mata. Hasil seni Hindu-Buddha yang telah hapus terkikis ‘anasir ‘aqliyyah dan rasional itulah yang kemudian cuba dihadap-hadapkan oleh para sarjana Barat sebagai peribadi sebenar peradaban Melayu, berbanding akar-pasak Islam yang lebih haqiqi membentuk rupa wajah Melayu.


Haqiqat Insan dan Bahasa


Dalam memulakan hujahnya mengenai tinjauan peri haqiqat pensejarahan peradaban Melayu, Prof. al-Attas menegaskan bahawa pertama sekali haqiqat insan itulah yang perlu dipersetujui dan difahami terlebih dahulu. Insan, menurut beliau,

Insan diciptakan sebagai hasil tertinggi ciptaan raya – bahawa pada gelang kehidupan semesta insanlah umpama khatim permata jauharnya. Sifat asasi insan itu ialah akalnya, dan unsur akliah inilah yang menjadi perhubungan antara dia dan Hakikat semesta. (ms. 20)

Dengan ‘aqal dan ‘ilmu, nilai-taraf seseorang itu dapat diukur. Malah ketinggian ‘aqal dan ‘ilmu ini boleh dicapai meskipun untuk orang biasa, yang bukan berjawat menteri dan raja. Taraf dan nilai seseorang berteraskan ‘aqal dan ‘ilmu inilah menghapuskan kasta dan darjat-pangkat palsu yang merajai kebudayaan Melayu sebelum Islam itu. Keutamaan ‘aqal ini menunjukkan bahawa peri pentingnya kecenderungan rasional dan saintifik sebagai menjadi prasharat ketinggian dan keluhuran sesebuah peradaban.



Wilayah cakupan Bahasa Islam. Penjelasan lanjutnya boleh dilihat dalam buku Pemikiran dan Tamadun oleh Profesor Dr Muhammad Zainiy Uthman (Kuantan: Al-Asar, 2022).


Shahdan, Prof. al-Attas meletakkan bahasa sebagai tanda perubahan pemikiran sesuatu peradaban. Bahkan dengan memerhatikan perihal bahasa sebagai tanda perubahan pemikiran inilah, dapat diperhatikan peranan besar Islam dalam membentuk dan mendasari peradaban Melayu baharu. Kata beliau:

Dari itu maka ciri-ciri kesan Islam pada sejarah sesuatu bangsa harus dicari bukan pada perkara-perkara atau sesuatu yang zahir mudah ternampak oleh mata kepala, akan tetapi lebih pada perkara-perkara yang terselip tersembunyi dari pandangan biasa, seperti pemikiran sesuatu bangsa yang biasa terkandung dalam bahasa. (ms. 23)

Sebenarnya, kesan Islam terhadap ‘aqal-fikri, pemikiran dan kemudian bahasa akan peradaban Melayu ini berakar daripada intipati wahyu al-Qur’an. Prof. al-Attas meneliti bahawa, sifat bawaan al-Qur’an itu menuntut kepada kejelasan dan ketepatan dalam mengungkap sesuatu ma‘na dan bahasa. Oleh itu, al-Qur’an layak menjadi puncak jemala ‘ilmu bahasa ‘Arab dan menduduki satu-satunya tempat wibawa sebagai penentuan jalan bahasa ‘Arab itu. Al-Qur’an telah mencetus dan menyemarak suatu budaya bahasa baharu untuk bangsa ‘Arab – iaitulah daripada budaya bahasa lisan menjadi budaya bahasa karang-mengarang. Budaya bahasa karang-mengarang inilah kemudiannya menjadi wadah kepada kegiatan ke‘ilmuan yang menyumbang kepada peningkatan taraf peradaban insan seluruh dunia.


Natijah daripada perkembangan pesat ‘ilmu dan budaya bahasa ‘Arab ini, maka bahasa bangsa-bangsa lain mulai memakai huruf ‘Arab-al-Qur’an untuk bahasa mereka sendiri masing-masing - sebagai suatu bentuk pengislahan ‘ilmu karang-mengarang bahasa mereka. Pemakaian huruf ‘Arab-al-Qur’an yang digubah untuk bahasa tempatan ini juga memangkin kegiatan ke‘ilmuan tempatan dan melahirkan angkatan baharu yang celik huruf serta para ‘alim bijaksana yang menjadi jurupandu kemajuan bangsa. Angkatan baharu inilah terlibat dalam perkembangan ke‘ilmuan sejagat dan bertanggungjawab membina insan-insan yang mulia yang menjadi batu-bata bagi kota peradaban yang ma‘mur dan luhur.


Bahasa Melayu-Jawi


Daya rengkah al-Attas dalam ‘ilmu pensejarahan dapat diperhatikan melalui usul beliau untuk benar-benar memerhatikan bahasa sebagai petanda keluhuran peradaban Melayu. Kata beliau:

Mereka sepatutnya harus meninjau bahasa Kepulauan ini, yang kebetulan terjadi dari bahasa Melayu yang telah diperislamkan itu, dengan tilikan mendalam. Di situ akan tampak oleh mereka perubahan-perubahan revolusioner yang telah berlaku pada masyarakat Melayu-Indonesia, kerana bahasa merupakan saksi sunyi yang perkataan-perkataan serta istilahnya masih menawan fikiran dan hasrat yang telah silam. (ms. 33.)

Perkembangan baharu dalam peradaban Melayu ini kemudian dapat diperhatikan dalam perkembangan budaya penulisannya, hasil daripada perubahan besar pemikiran dan bahasanya semenjak kedatangan Islam.

Galuran pengaruh Bahasa ‘Arab al-Qur‘an kepada bahasa-bahasa Islam. Penjelasan lanjutnya boleh dilihat dalam buku Pemikiran dan Tamadun oleh Profesor Dr Muhammad Zainiy Uthman (Kuantan: Al-Asar, 2022).


Kata Prof. Al-Attas, orang ‘Arab yang menyebarkan Islam ke wilayah sini sengaja memilih Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar da‘wah, kerana persamaan nasib antaranya dengan Bahasa ‘Arab. Bahasa Melayu sebelum Islam bukan bahasa utama dalam bidang agama Hindu-Buddha. Sungguhpun telah berperanan sebagai lingua franca, tetapi ia hanya terhad kepada urusan jual-beli dan tidaklah untuk urusan keagamaan itu. Berbeza dengan Bahasa Jawa yang pada kala itu menjadi bahasa keagamaan Hindu di rantau ini, Bahasa Melayu lebih segar dan jernih dalam memikul ma‘na baharu falsafah dan kerangka fikir Islam. Bahasa Melayu tidak sarat beban bahasa dan ma‘na untuk agama dan pemikiran lama. Sifatnya juga jelas dan tidak bengkang-bengkok, iaitulah mirip sepertimana Bahasa ‘Arab al-Qur’ān itu.


Bahasa Melayu, menurut Prof. al-Attas telah menjadi bahasa yang baharu, yang diperkayakan dengan perkataan dan istilah yang baharu yang sumbernya daripada Bahasa ‘Arab dan juga Bahasa Farsi. Bahasa Melayu baharu ini memakai satu bentuk huruf yang baharu, iaitulah huruf ‘Arab yang digubah untuk melambangkan sebutan dan bunyi Melayu, melalui gabungan huruf-huruf yang sedia ada dalam huruf ‘Arab itu. Bahasa Melayu ini kemudian menjadi suatu bahasa karang-mengarang atau persuratan rasmi untuk seluruh kepulauan dan semenanjung Melayu dan menaungi bentuk ke‘ilmuan bahasa persuratan di rantau ini.


Menariknya, seperti yang diperhatikan oleh Prof. al-Attas, bahasa persuratan rasmi yang disuratkan dengan huruf ‘Arab yang dimelayukan ini, dinamakan oleh orang Melayu dengan nama ‘Bahasa Jawi’, seperti katanya:

... bahawa orang Melayu sendiri menamakan bahasanya bahasa Jawi, bagi menamakan tulisan Arab-Melayu – seolah-olah orang Melayu kala itu menamakan bahasanya berdasarkan pada tulisannya. (ms. 44)

Kesimpulan


Hanyasanya setelah kedatangan Islam dan dengan kebangkitan Bahasa Melayu sebagai bahasa baharu Islam di rantau ‘Alam Melayu, maka berlakulah percambahan persuratan dan ke‘ilmuan dengan begitu pesat. Kebangkitan ini dapat dilihat dengan terbit muncul pelbagai karya baharu Bahasa Melayu-Jawi dalam bentuk karangan asli atau sharah atau terjemahan – yang tidak pernah disaksikan dalam pensejarahan peradaban Melayu sebelum ini, lebih-lebih lagi pada zaman sebelum Islam. Bahkan, tradisi persuratan Bahasa Melayu-Jawi begitu luas tersebar, tidak hanya terhad dalam bidang ke‘ilmuan semata-mata, bahkan kerja karang-mengarang ini telah merangkum kesemua peri wajah dan kebudayaan kebangsaan Melayu; hatta daripada pentadbiran dan pengurusan kerajaan melanjut hinggalah kesenian dan hiburan.


Arakian dengan persuratan Bahasa Melayu-Jawi ini jugalah, masharakat ‘awwam turut sama terlibat dalam penghasilan karangan, kerana capaian kepada ‘ilmu persuratan kini tidak lagi terhad. Persuratan Bahasa Melayu-Jawi tidak terlingkung kepada segolongan pihak tertentu atau terlingkung dalam istana kraton semata-mata, tetapi menjadi lebih terbuka dan bebas, selagimana penuntutnya boleh membaca dan mengarang.


Berteraskan kefahaman sumbangan dan peranan besar Islam inilah, Prof. al-Attas telah memperkenalkan pusaka penting artifak dan manuskrip Bahasa Melayu-Jawi, seperti Batu Bersurat Terengganu, manuskrip Melayu tertua diketahui – terjemahan Melayu-Jawi ‘Aqa’id al-Nasafi, yang menjadi bukti zahir sinaran cahaya ‘aqal-fikri peradaban Melayu. Dengan jurus hujah gerak daya Islam dalam peradaban Melayu yang beliau gagaskan ini, maka pentafsiran sejarah dan peradaban Melayu kembali tegak mengakar kepada teras pasaknya yang haqiqi. Peranan beliau dalam menjelaskan semula falsafah dan kerangka fikir Islam dalam gagasan sejarah dan peradaban Melayu inilah menjadikan angkatan sekarang lebih dapat mengenali rupa-wajah sebenar peradaban Melayu.




870 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page