
Syed Muhammad Naquib al-Attas

كوليقسي كراڠن جاوي
Koleksi Karangan Jawi
تنتڠ
تن سري ڤروفيسور السيد محمد النقيب العطاس

علموان بڠسا
بليوْ، سب اݢي سؤرڠ علموان بڠسا، تله منظاهِركن كويباوأن باࢨق دالم شرحن دان تنجوق اجرڽ؛ ڤڠارڠن دان بواه فكرڽ؛ سرت اختياراوسهاڽ دالم ممباڠون دان مميمڤين إنسان دان اينستيتوسي

سومباڠن بسر
بليوْ تله ممبري سومباڠن بسر دالم ڤلباݢيْ بيدڠ ڤميكيران سجاره دان ڤرأدابن إسلام، خصوصڽ انتوق عالم ملايو، دسمڤيڠ مڠنل ڤستي چباران ڤميكيران بارة يڠ داتڠ دالم بنتوق ڤنسيكولران

رنوڠن أصلي
بليوْ منموكن ايديا، ݢݢاسن دان قاعدة بهارو؛ مڠݢالي كمبالي ݢݢاسن ڤميكيران تراديسي يڠ دأبيْكن، دان دسالهفهمي؛ سرت تله منجلماكن سمولا كدالم بنتوق رنوڠن يڠ لبيه جلس دان أصلي

ڤنندا سجاره
بليوْله يڠ مڠحجّهكن دڠن رينچي تنتڠ جاس إسلام دالم مڠݢرقكن ريۏولوسي ڤرأدابن دان كبودايأن ملايو سرت مڠڠكة بهاس جاوي سباݢي ڤنندا اوتام ڤراوباهن برسجاره ڤميكيران أمة إسلام درنتوْ اين

Tentang
Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas

‘Ilmuwan Bangsa
Beliau, sebagai seorang ‘ilmuwan bangsa, telah menzahirkan kewibawaan baik dalam sharahan dan tunjuk ajarnya; pengarangan dan buah fikirnya; serta ikhtiyar-usahanya dalam membangun dan memimpin insan dan institusi.

Sumbangan Besar
Beliau telah memberi sumbangan besar dalam pelbagai bidang pemikiran sejarah dan peradaban Islam, khususnya untuk ‘Alam Melayu, di samping mengenal pasti cabaran pemikiran Barat yang datang dalam bentuk pensekularan.

Renungan Asli
Beliau menemukan idea, gagasan dan kaedah baharu; menggali kembali gagasan pemikiran tradisi yang diabaikan, dan disalahfahami; serta telah menjelmakannya semula ke dalam pelbagai bentuk renungan yang lebih jelas serta asli.

Penanda Sejarah
Beliaulah yang menghujahkan dengan rinci tentang jasa Islam dalam menggerakkan revolusi peradaban dan kebudayaan Melayu serta mengangkat Bahasa Jawi sebagai penanda utama perubahan bersejarah pemikiran umat Islam di rantau ini.
تيكد ڤنربيتن اين اياله سڤاي اي
منجادي ڤمڠكين كبڠكيتن بهاس جاوي
ڤد زمان اين دان ڤد ماس اكن داتڠ،
برڤاسقكن اكر تراديسي كعلموان،
كبودايأن دان كتمدنن
إسلام
Tekad penerbitan ini ialah supaya ia
menjadi pemangkin kebangkitan Bahasa Jawi
zaman ini dan pada masa akan datang,
berpasakkan akar tradisi ke‘ilmuan, kebudayaan dan ketamadunan
Islam.


رسالة انتوق قوم مسلمين
Risalah untuk Kaum Muslimin (Jawi)
رسالة اين يڠ ڤرتام مول مڠنل ڤستي دان مڠݢالور مسئلة كݢنتيڠن قوم مسلمين مساكيني، سرت مناوركن جالن ڤڽلساين ترهادڤ كملوة
ڤميكيران دان معنى ديري يڠ ددريتاࢨ كيني.
رسالة اين مرموزكن فهم٢ ڤنتيڠ إسلام يڠ دهوريكن دان دبنديڠكن ڤول دڠن فهم٢ اسيڠ بارة انتوق منمڤقكن كتراڽ ڤڽلودوڤن ككليروان دالم فكران قوم مسلمين مساكيني.
اداڤون ڤنربيتن سمولا رسالة اين دالم بهاس جاوي تراديسي اداله انتوق مرقم، منجلس دان مڠموكاكن اصطلاح داسر إسلام، ڤربحثن ڤميكيران دان رنوڠن مندالم علموان بسر كيت مساكيني دالم بنتوق ڤرسورتن أصلي بهاس إسلام
Risalah ini ialah yang pertama mula mengenal pasti dan menggalur masalah kegentingan Kaum Muslimin masakini, serta menawarkan jalan penyelesaian terhadap kemelut pemikiran dan ma‘na diri yang dideritai kita kini.
Risalah ini merumuskan faham-faham penting Islam yang dihuraikan dan dibandingkan pula dengan faham-faham asing Barat untuk menampakkan ketaranya penyeludupan kekeliruan dalam fikiran kaum Muslimin masakini.
Adapun penerbitan semula Risalah ini dalam Bahasa Jawi Tradisi adalah untuk meraqam, menjelas dan mengemukakan istilah dasar Islam, perbahathan pemikiran dan renungan mendalam ‘ilmuwan besar kita masakini dalam bentuk persuratan asli Bahasa Islam.
تينجاوان ريڠكس ڤري علم دان ڤنداڠن عالم
Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam (Jawi)
بوكو اين منجلسكن ڤنداڠن عالم إسلام ترهادڤ ببراڤ فهم٢ اوتام سڤرت علم، أدب، بهاس، أخلاق، ڤراوباهن دان كماجوان.
ڤڠارڠ منجلسكن ستيڤ فهم اين دان اصطلاح٢ كونچي يڠ بركاࢨتن دڠنڽ، سرت چباران كفهمن يڠ دهداڤي يڠ داتڠ درڤد ڤرأدبن بارة تراوتماڽ دري جوروسن فلسفة دان ساࢨن س.
كراڠن اين دكارڠ دڠن چارا ݢاي يڠ ريڠكس ڤادة دالم منجلسكن ڤربيذأن ڤنداڠن عالم إسلام دان ڤنداڠن عالم بارة. سكاليݢوس اي مننجوقكن كممڤوان بهاس جاوي سباݢي بهاس علم ڤميكيران سماس.
Buku ni menjelaskan pandangan ‘alam Islam terhadap beberapa faham-faham utama seperti ‘ilmu, adab, bahasa, akhlak, perubahan dan kemajuan.
Pengarang menjelaskan faham ini dan istilah-istilah kunci yang berkaitan dengannya, serta cabaran kefahaman yang dihadapinya yang datang daripada peradaban barat terutamanya dari jurusan falsafah dan sains.
Karangan ini dikarang dengan cara-gaya yang ringkas padat dalam menjelaskan perbezaan pandangan ‘alam Islam dan pandangan ‘alam Barat. Sekaligus ia menunjukkan kemampuan bahasa Jawi sebagai bahasa ‘ilmu pemikiran semasa


















