top of page

Menyingkap Sejarah Hari Raya daripada Majalah Qalam


Kami berbesar hati ingin menampilkan sebuah karangan Jawi yang telah dirumikan yang memperihalkan mengenai sejarah hari raya di Timur Tengah. Adapun karangan ini asalnya diterbitkan dalam Majalah Qalam, pada bulan Julai-Ogos tahun 1951, di Singapura.


Karangan ini telah dirumikan oleh Akademi Jawi Malaysia (pada waqtu itu dikenali dengan Klasika Media), untuk sebuah projek pengarkiban digital bersama Center for Area Studies (kini Center for South East Asia Studies), Kyoto University, Jepun pada tahun 2011-2016. Arkib digital ini boleh diakses secara percuma di www.majalahqalam.kyoto.jp.


Kami telah menyunting susunan karangan ini supaya ia mudah untuk pembacaan digital masakini.


Hari Raya Orang-orang ‘Arab di dalam Jahiliyyah dan Islam


Oleh: Mahir Affandi


Sebelum saya memulakan maqalah saya yang bertajuk di atas, terlebih dahulu saya suka memberi setinggi-tinggi ucapan tahni’ah kepada tuan penerbit majalah ini yang telah tekun berusaha dengan hati yang cekal, tinggi hemah, kuat iradat, luas cita-cita, tiada tahu penat dan lelah kerana menciptakan cita-citanya yang mulia itu hingga dapat diterbitkan majalah yang tunggal ini, yang akan diciptanya dengan alat cetaknya sendiri dengan mengambil sempena keluaran bilangan majalah yang pertama pada Hari Raya ‘Id al-Fi‏‏tri yang mulia, hari kesukaan, hari kerehatan, hari keshukuran umat Islam seluruh dunia. Mudah-mudahan dengan adanya majalah yang seumpama ini bertambah lampu suluh yang menerangi umat Islam Melayu khasnya yang sedang mengembara menuju kepada kemajuan, kepada ‘ilmu pengetahuan dan kema‘muran.

Tuan-tuan pembaca lebih ma‘lum bahawa sebarang umat atau bangsa di dalam dunya ini ada mempunyai hari kebesaran dan hari kesukaan yang dinamakan Hari Raya. Tuhan tidak menjadikan sesuatu bangsa melainkan ditaqdirkan beberapa hari dalam setahun untuk bangsa-bangsa itu berehat, bersuka ria, menghilangkan kepenatan dan kegelisahan hidup. Bangsa-bangsa yang mengerti cara hidup merekalah yang lebih menghargakan Hari Raya itu dan menggunakan pada tempatnya dan pada yang sewajibnya, kerana atas sekadar mereka mengambil kerehatan, mengambil nafas daripada udara yang jernih tenang-lenang, mengambil kesempatan akan ni‘mat Hari Raya itu sebegitulah mereka terlena daripada kepenatan berkerja, berjuang memikul tanggungan dan melaksanakannya dan dapatlah mereka bersedia persiapan untuk kehidupan masa akan datang apakala telah pulih semula kekuatan tubuh badan, kencang iradat, cergas gerak-geri, tajam fikiran, boleh menempuh dan menentang segala rintangan hidup melalui segala bahaya mara petaka terus maju mempelopori medan perjuangan yang tiada bersempadan dan berhingga itu.


Hari Raya di Padang Pasir



Dari sebab itu orang-orang ‘Arab yang mendiami padang pasir, susah pencarian hidup, terpaksa menggunakan sebesar-besar tenaga dan kerap kali menempuh perjuangan kerana hendak hidup mereka sangat-sangat mengambil berat kepada Hari Raya, sentiasa ternanti-nanti dan menghitung-hitung bilakah Hari Raya itu tiba?! Sama ada golongan bangsawan, hartawan dan rendah, lagi-lagi perempuan, tua muda semuanya sangat cinta kepada Hari Raya dan tertunggu-tunggu.

Orang-orang ‘Arab dalam Jahiliyyah ada mempunyai dua macam Hari Raya di dalam setahun iaitu Hari Raya Agama dan Hari Raya Kebangsaan. Adapun Hari Raya Agama ada bermacam-macam menurut bermacam-macamnya ‘aqidah agama dan madhhab mereka. Orang-orang ‘Arab sebagaimana sudah terma‘lum adalah suatu bangsa yang mempunyai khayal yang luas lagi subur, maka khayal itu telah mena‘luq ‘aqal fikiran mereka dari sebab itu terjadilah beberapa ‘aqidah, beberapa madhhab yang bermacam-macam, mereka itu ada yang menyembah berhala, ada yang beragama Majusi sebagaimana orang-orang Parsi menyembah api dan binatang, dan ada yang menyembah pokok kurma dan pohon-pohon kayu, dan beragama Yahudi dan Naṣrani, ada yang keluar daripada segala madhhab dan agama itu zindiq dan menceroboh segala ‘aqidah-‘aqidah. Sedikit benar daripada mereka yang beri‘tiqad meng-Esa-kan Tuhan, dari sebab itu jadilah Hari Raya orang-orang ‘Arab itu bermacam-macam dan berlain-lain rupa keadaannya.

Orang-orang ‘Arab yang menyembah beberapa berhala, tiap-tiap satu berhala itu satu pula Hari Rayanya. Mereka pada hari itu berkumpul di tempat berhala-berhala itu, di sana mereka sepanjang hari sampai malam makan minum, dan di situ diadakan permainan-permainan dan keramaian-keramaian daripada permainan-permainan dan keramaian-keramaian yang diutamakan mereka ialah keramaian bermain lumba kuda dan tarinya, keramaian perhimpunan pujangga dan jaguh-jaguh ahli bersha‘ir, berqasidah-qasidah dan berpidato. Keramaian bermain judi dan mengurniakan keuntungan judi kepada orang susah dan sengsara.

Hal mereka itu apabila hendak mengadakan keramaian mainan judi itu mereka membeli seekor unta tetapi harga unta itu tiada dibayar ketika itu melainkan apabila telah habis permainan. Unta itu disembelih dan dibahagi kepada sepuluh bahagian kemudian dibawa sepuluh qidah (sepuluh batang kayu seperti tongkat penarik kira-kira sejengkal yang diperbuat daripada dahan kayu) tujuh daripadanya ber‘alamat dan tiga tiada ber‘alamat.

Tujuh qidah yang ber‘alamat itu ada yang

  1. ‘alamatnya satu dinamakan (Fadhdhu) dan

  2. ‘alamat dua dinamakan (Taw’amu)

  3. yang ber‘alamat tiga dinamakan (Raqibu)

  4. yang ber‘alamat empat dinamakan (Hilsu)

  5. yang ber‘alamat lima dinamakan (Nafisu)

  6. yang ber‘alamat enam dinamakan (Musbilu)

  7. yang ber‘alamat tujuh dinamakan (Mu‘alla) dan

  8. yang ketiga lagi tiada ber‘alamat hanya untuk mencukupkan bilangan sepuluh.


Menang kalah permainan itu menurut qadar bilangan ‘alamat itu, misalnya jika menang atau kalah dengan (Fadhdhu) dapat satu atau rugi, demikianlah seterusnya hingga sampai kepada (Mu‘alla) iaitu jika menang atau kalah dapat tujuh bahagian atau rugi tujuh bahagian mithalan seperti di bawah ini:-

Tampil ke hadapan tujuh orang ahli pemain dan seorang pengadil yang amanah, kemudian diberikan kepada pengadil itu sepuluh qidah di dalam suatu tabung daripada kulit yang tiada boleh kelihatan ‘alamat qidah itu, kemudian tiap-tiap seorang ahli pemain itu memilih satu qidah yang diundinya dengan mengaku jika menang atau kalah atas pilihannya dengan tiada berhenti mengeluarkan qidah daripada dalam tabung itu lepas satu, satu dengan menyebutkan nama orang yang memilihnya dengan tiada berhak mengeluarkan qidah yang menang sehingga habis sepuluh bahagian daging unta tadi. Apabila telah habis maka qidah yang belum dicabut itu dikira kalah dan kekalahannya atas kadar banyak alamat qidah itu.

Mithalnya apabila dicabut keluar Mu‘alla ya‘ni tujuh ‘alamatnya, kemudian dicabut lagi keluar Raqib ya‘ni tiga ‘alamatnya maka orang yang pertama itu menang tujuh bahagian dan yang kedua menang tiga bahagian jumlahnya sepuluh bahagian iaitulah jumlah bahagian daging unta. Maka orang yang belum mencabut qidah dikira kalah kerana bahagian sudah habis. Tiap-tiap seorang mencabut qidah yang kalah memberi harga unta atas qadar alamat qidahnya. Sekiranya harga unta itu sepuluh dinar maka kenalah orang yang mempunyai (Fadhdhu) satu dinar (Taw’amu) dua dinar (Hilsu) empat dinar (Nafisu) lima dinar (Musbilu) enam dinar, segala keuntungan dan kerugian itu diberikan kepada orang-orang miskin dan sengsara. Jika seseorang memberi qawm keluarganya daripada keuntungan judi itu adalah sebesar-besar ‘ayb, dan lagi suatu kepayahan kepada mereka atas orang yang menonton permainan itu tiada mengikut bersama main.

Inilah setengah keramaian Hari Raya orang-orang ‘Arab yang menyembah berhala.


Hari Raya di Parsi



Adapun orang-orang ‘Arab yang lain seperti ‘Arab Majusi yang mengikut orang Parsi, sebesar-besar Hari Raya mereka iaitu Hari Raya Neruz dan Mahrajan. Neruz maknanya hari baru iaitu Hari Raya awal tahun bagi orang Parsi iaitu pada awal musim bunga lamanya tujuh hari tidak ada selebih-lebih ramai dan riuh-rendah di seluruh negeri Parsi dan ‘Iraq lain daripada Hari Raya Neruz itu.

‘Adat orang-orang Parsi pada malam pertama Hari Raya Neruz itu datang seorang lelaki-lelaki cantik rumaja baik nama, mulia gelaran, berpakaian dan perhiasan yang molek berdiri di pintu istana raja, apabila waktu ṣubuh ia masuk ke dalam Mijas raja itu dengan tidak minta idhin terlebih dahulu ketika raja sedang duduk di tengah majlis yang hebat dan indah maka raja itu bertitah kepada lelaki itu, Engkau siapa, dari mana engkau datang, apa hajat engkau, kenapa engkau datang, apa ada pada engkau? Lelaki itu menjawab, patik Manṣur (orang yang menang yang ditolong) nama patik Mubarak (yang diberkati) datang daripada pihak Tuhan, mendapatkan raja yang berbahagia berkeselamatan tenang lenang bersama-sama patik tahun baru. Kemudian itu ia duduk, lepas daripada itu datang pula seorang lelaki membawa dulang daripada perak di dalamnya benih gandum beras, dan bermacam-macam biji-bijian daripada tiap-tiap satu jenis, tujuh tangkai dan tujuh biji, seketul gula, satu dinar dan satu dirham duit baru lalu disembahkan kepada raja. Kemudian daripada itu disembahkan kepada baginda hadiyah-hadiyah dan kemudian dibenarkan orang-orang mengadap menurut tatatertib pangkat jawatan dan gelaran masing-masing. Kemudian disembahkan satu roti besar yang diperbuat daripada biji-bijian tadi lalu dijamah oleh baginda memberi makan kepada orang-orang yang hadir di Mijas itu seraya bertitah: Ini hari baru daripada bulan baru, tahun dan masa baru, kita berhajat kepada membaharui segala yang ada di dalam lingkungan zaman, kemudian raja itu mengurniakan hadiyah-hadiyah yang disembahkan kepada baginda tadi kepada orang-orang yang hadir.

Pada malam Hari Raya itu orang-orang ramai sibuk menyalakan api dan lampu di tanah-tanah lembah, di atas gunung- ganang di hadapan rumah sehingga terkhayal kepada barangsiapa melihat negeri Parsi dari jauh nampak akan cahaya api terang-benderang menerangi onak negeri Parsi dan sekelilingnya. Apabila waqtu Ṣubuh nyala api itu padam maka orang ramai itu merenjis tanah mereka dengan air dan orang-orang kaya merenjis dengan air bercampur air mawar. Apabila telah selesai mereka pun menghabiskan Hari Raya itu bersuka ria mengadakan keramaian makan minum bersenang-senang dan lainnya.

Adapun Hari Raya Mahrajan waktunya pada pertengahan musim autumn (musim lepas musim panas) lamanya enam hari juga. Orang-orang Parsi pada malam Hari Raya Mahrajan itu menyapu badan mereka dengan minyak al-ban (minyak yang dikeluarkan daripada buah kayu baunya wangi) kerana mengambil berkat, sama ada raja, bangsawan, dan orang-orang kebanyakan semuanya menyapu badan mereka dengan minyak itu. Apabila waqtu Ṣubuh masuklah ketua agama mereka mengadap baginda raja, membawa dulang didalamnya buah Atarjah (warnanya kemerah-merahan, sedap rasanya, wangi baunya) buah jambu, buah anggur, epal, seketul gula. Kemudian daripada itu baharu dipersilakan pegawai-pegawai orang besar-besar mengadap menurut darjat pangkat masing-masing membawa dulang seperti yang disebutkan tadi. Pada Hari Raya Neruz dan Mahrajan orang-orang Parsi hadiyah-menghadiyahi barang-barang dan bau-bauan seperti ambar, kasturi zafran, dan kapur dan lain-lain.

Inilah saya gambarkan dengan ringkas akan Hari Raya agama orang-orang ‘Arab Jahiliyyah dan Parsi. Adapun Hari Raya Kebangsaan orang-orang Arab kebanyakan dijadikan daripada hari kerana memperingati kemenangan dalam perjuangan atau sesuatu hari yang berperistiwa, pada hari itu mereka menyembahkan barang-barang makanan, minuman-minuman dan alat perhiasan kepada berhala-berhala dan dekat berhala itu mereka menyembelih unta berjamu makan minum ucap-mengucap tahni’ah di antara satu sama lain.


Hari Raya Sebelum dan Selepas Islam



Maka tempat Ka‘bah berdiri dan di kawasannya yang penuh di sekeliling Ka‘bah itu dengan berhala qabilah-qabilah ‘Arab adalah menarik perhatian orang-orang ‘Arab maka apabila telah selesai orang-orang ‘Arab itu daripada mengerjakan haji mereka pergi ke Ka‘bah tempat berhala itu menunaikan qorban iaitulah kemegahan mereka.

Tiap-tiap satu berhala itu khadam penunggunya, pada hari itu riuh rendah mereka dengan kesukaan dan keriangan, negeri Makkah dalam sepanjang bulan Dhu’l-Qa‘idah dan Dhu’l-Hijjah bolehlah dikatakan Hari Raya – Hari Raya lelaki perempuan daripada orang-orang qabilah ‘Arab memakai pakaian dan perhiasan baharu belaka. Demikianlah keadaan orang-orang ‘Arab di Makkah. Adapun orang-orang ‘Arab di negeri Yaman di sana ada jua rumah berhala yang dinamakan Ka‘bah Yaman yang di dalamnya ada berhala maka apabila sampai Hari Raya mereka hiasi rumah berhala itu dengan bunga-bunga dan perhiasan-perhiasan dan menaruhkan telur-telur burung unta, membawa lembu unta mereka sembelih di situ. Orang-orang ‘Arab negeri Najran di Yaman menyembah pokok kurma pada Hari Raya mereka hiasi pokok itu dengan perhiasan-perhiasan yang bercahaya-cahaya dan keluarlah perempuan-perempuan bersorak menyanyi sambil menari dan kanak-kanak berduyun-duyun menderu ke tempat-tempat permainan dan keramaian menyanyikan nasyid-nasyid dan bergendang. Pemuda-pemuda lelaki berqaṣidah berlawan-lawan mengeluarkan kepandaian masing-masing.

Apabila zahir agama Islam yang dibawa oleh junjungan kita Nabi Muhammad salla’Llahu ‘alayhi wa sallam maka pada ketika Rasulu’Llah salla’Llahu ‘alayhi wa sallam sampai ke Madinah, baginda dapati orang-orang ada melakukan shi‘ar-shi‘ar Hari Raya Neruz dan Mahrajan. Sabda baginda kepada mereka itu, “Apa ini dua Hari Raya?” “Kami bermain bersuka ria pada dua hari raya itu pada zaman Jahiliyyah,” jawab mereka. Sabda Rasulu’Llah,

“Allah Ta‘ala telah menggantikan bagi kamu lebih baik daripada dua hari raya itu, Hari Raya Fitrah dan Hari Raya ‘Id al-Adha.

Rasulu’Llah salla’Llahu ‘alayhi wa sallam mengatur orang-orang Islam lelaki perempuan tua muda pada pagi Hari Raya itu pergi ke Masjid Haram dengan tiada tertinggal seorang lelaki atau perempuan, tua dan muda serta sekalian kanak-kanak berarak dengan teratur berjalan menuju ke Masjid Haram kerana sembahyang Hari Raya kemudian balik lepas sembahyang melalui jalan lain supaya dilihat orang lain akan kequwwatan persatuan orang Islam dan orang-orang Islam pada hari itu diperintah membersihkan diri, pakaian, memakai bau-bau dan berma‘af-ma‘afan, berjumpa satu sama lain dengan bersih hati dan badan.


Tentang Zakat


Sembahyang Hari Raya Fitrah berjama‘ah kemudian telah sebulan orang Islam puasa adalah sangat besar hikmahnya yang membawa orang-orang Islam kepada muhibbah persatuan. Zakat fitrah pada Hari Raya itu dikurniakan kepada orang-orang faqir miskin maka hilanglah dahaga kelaparan orang-orang faqir miskin itu dengan yang demikian lenyaplah keluh kesah hati faqir miskin menghulurkan tangannya berjabat salam dengan saudara-saudaranya orang-orang Islam seolah-olah antara kedua orang serumah, sebapa seibu. Pada Hari Raya Fitrah itu beruntunglah orang-orang Islam mendapat pahala puasa dan pahala kemurahan, melepaskan orang-orang faqir miskin daripada kuku kesusahan dan kesengsaraan melihat anak-anaknya berpakaian cobak-cabik dan telanjang bogel yang memutuskan jantung hati ibu bapa yang miskin melihat anak-anak jirannya memakai perhiasan-perhiasan dan permainan-permainan keenakan makan angin ke sana sini dengan suka ria maka dengan mengeluarkan zakat fitrah, dibahagikan kepada faqir miskin pada hari itu sangatlah besar fa’idahnya iaitu sebagai sagu hati dan penawar kesusahan dan kesedihan yang dideritai oleh faqir miskin. Dengan zakat fitrah itu tertambatlah hati faqir miskin kepada orang-orang kaya dan orang-orang yang mampu di sekeliling mereka dengan sebab dapatlah mengubahkan perangai orang-orang ‘Arab Jahiliyyah yang sentiasa berperang sesama sendiri melenyapkan beribu-ribu jiwa, merosakkan harta benda yang pada ghalibnya dengan sabab kepapaan, kelaparan dan orang lain kaya melangit.

Jika kita halusi aṣal punca huru-hara dunia hari ini nescaya kita dapati ialah daripada perbezaan kehidupan yang terlampau diantara orang-orang kaya dengan orang-orang miskin umpamanya orang kaya mempunyai istana-istana mahligai-mahligai, mempunyai kuda lumba, anjing yang memakan makanan dan perbelanjaan berlipat ganda daripada kehidupan seorang miskin, kuda, anjing dapat layanan dan tempat kediaman yang bagus, bersih dan ubat doktor makan bagus, tetapi orang faqir bertikar tanah, berlampu bintang, copak-capik kain baju, perutnya keroncong tiada mendapat layanan yang cukup bahkan terkadang menerima penghinaan daripada mereka itu. Oleh sebab menjaga perhubungan baik antara orang kaya dan faqir miskin ini agama Islam mewajibkan atas orang kaya mengeluarkan zakat hartanya dan jika enggan menunaikannya mengharuskan dengan kekerasan pada pemungut zakat itu diuntukkan bahagian orang fakir miskin yang mendatangkan muṣlihat kepada diri orang-orang kaya dam muṣlihat am yang membawa kepada kesentosaan dan keamanan.

Agaknya setengah kerajaan Barat sekarang telah tertarik kepada hikmah zakat dan fa’idah-fa’idah yang besar itu lalu mereka mengadakan peraturan dan undang-undang cukai pendapatan supaya dapat setimbang di antara orang kaya dan faqir miskin. Pendek kata, Hari Raya dalam Islam ada mengandung hikmah dan maslahat umat Islam bukan hanya rehat bersuka ria dan keramaian sahaja tetapi lebih jauh daripada itu mengatur kehidupan manusia. Demikian jua hikmah hari raya Haji dalam Islam sangat besar faedahnya kepada persatuan umat Islam yang bermacam-macam bangsa di seluruh dunia berada di padang ‘Arafah mengadap kepada Tuhan yang satu, peraturan ibadah yang satu yang penuh dengan hikmah-hikmah yang besar yang lebih luas dan sempurna daripada perikatan dan persatuan bangsa-bangsa bersatu yang diperbuat oleh segala bangsa dunia sekarang.


Shor kepada Umat Melayu



Umat Melayu pada masa ini mengaku kelemahan di dalam serba serbi tetapi kelemahan itu dapat diperbaiki dengan tidak payah memusingkan kepala berfikir. Pembaca-pembaca tentu hayran dan bertanya kepada saya bagaimana jalannya saya menjawab dengan jalan agama. Iaitu saya shorkan pada Hari Raya Haji akan datang sekalian umat-umat Islam di dalam Semenanjung Tanah Melayu beriqrar menderma tiap-tiap seorang seringgit. Penduduk Semenanjung lebih daripada dua million setengah, apakah tidak dapat se-million orang yang boleh berderma tiap-tiap seorang seringgit. Jadikanlah derma tuan-tuan itu seolah-olah zakat fitrah tuan-tuan seumur hidup sekali, kebetulan wang itu dikawal oleh satu badan. Wang itu dinilaikan tanah rumah sewa, atau membuat perniagaan. Ini senang boleh dibuat aṣal ada perasaan dan kemahuan pada tiap-tiap seorang umat Melayu. Saya bersedia menderma seringgit jika dijalankan syor ini. Mudah-mudahan dengan ini dapatlah kita memerentas satu jalan buntu yang dihidangi oleh umat Melayu pada hari ini yang membawa kepada kemajuan dan kemulia’an bangsa Melayu.

Shor ini besar harapan saya akan dapat sambutan daripada umat Melayu wasalam. Selamat Hari Raya kepada sekalian pembaca, wasalam.


Set Sampul Raya 2026
MYR 10.00
Beli Sekarang

Komen

Dinilai 0 daripada 5 bintang.
Belum ada penilaian

Tambah penilaian
bottom of page