top of page

Apakah Ia?


Kurang lebih 1000 tahun nan lalu, sekumpulan lelaki budiman datang dari jauh ke pantai semenanjung negeri kita.


Mereka datang dengan baju labuh yang putih bersih, menghulurkan tangan menjabat salam.


Dengan wajah nan bercahaya, beliau memekarkan senyuman dan mengikatkan kemesraan - seolah-olah kita dan dia sudah telah lama kenal-mengenal dari dahulu lagi.


Meskipun kita menyambutnya di pelabuhan dengan segala barang yang didagang, tetapi ada sesuatu yang lebih bernilai yang beliau tawarkan.


Apakah ia?


***


Kita membawa mereka ke penghadapan balai ruang istana.


Seorang daripada mereka yang berusia, menarik perhatian para bangsawan kita semua.


Dialah ketua dalam rombongan itu.


Sehelai kertas bertera dibentangkan dan sebuah kotak besi bertakung da’wat diletakkan pada meja.


Dia mengeluarkan sebatang kayu yang kita tahu berasal daripada batang pokok bertam di tempat kita.


Pada kertas itu dia melukis lengkuk-lengkuk garis nipis berwarna hitam, membentuk rupa tubuh manusia.


Dibiarkannya tengahnya kosong dan tiada berisi.


Kita melihat apa yang terlukis itu, cuba mengerti apakah cerita manusia itu.

Kemudian, dia menalakan telunjuk pada bahagian kosong lukisan manusia itu.


Lalu, dia menunjukkan ke tengah dirinya, kemudian menggawang-gawangkan tangan seperti mengatakan dirinya seperti kita semua.


Lantas, dia menyuratkan serangkai perkataan pada ruang kosong dada lukisan itu.


***


Kita terfana. Kata-kata itu tidak pernah kita sedari.


Sungguhpun selama ini, kita memilikinya sejak kita wujud lagi.


Dia mengarang dengan huruf berangkai pada ruang di tengah lukisan manusia itu.


Huruf yang kita tahu menyuratkan kitab suci yang dibawanya dari tadi.


Lantas, kita mulai memahami, bahawa dalam tubuh yang terlukis itu, adanya haqiqat yang lebih rahsia dan seni.


Ia tidak terlihat atau terupa, hanya tergambar dengan kata-kata sahaja.


روح قلب عقل نفس

Ruh, Qalbu, ‘Aqal dan Nafsu


Ialah segugus kata yang menjadi akar mengenali diri kita ini.


***


Betapa besarnya gugusan kata ini kerana sehinggalah kurang lebih 1000 tahun kemudian, kata-kata itu menjadi benih yang menumbuhkan pohon bahasa kita.


Ia subur dengan batang, dahan dan daun segar yang membesar dengan nama Bahasa Jawi.


Bahkan berbuah pula kata baharu, menuruti gubahan akar ma‘nanya itu.


هاتي، ديري, ڤراڠيْ دان بودي

Hati, Diri, Perangai dan Budi.


Kata-kata itu sehingga kini menjadi bualan dan bincangan.


Dan bulan ini adalah masa yang tepat untuk menguak tabir tubuh kita, mengenali rahsia seni diri kita.


Mengenali diri, pada ruh, qalbu, ‘aqal dan nafsu.

Mengarang diri, pada hati, diri, perangai dan budi.


Komen

Dinilai 0 daripada 5 bintang.
Belum ada penilaian

Tambah penilaian
bottom of page