Za‘ba dan Bahasa
- Norziati Mohd Rosman
- 3 hari lalu
- 3 min membaca
Updated: 2 hari lalu

Meskipun dikenali sebagai Pendeta dan menjadi tokoh ilmuwan utama yang menegakkan nahu bahasa Melayu, Za‘ba juga menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Arab dengan baik.
Za‘ba mula masuk sekolah ketika berusia 12 tahun. Sebelum itu, dia diasuh oleh bapanya mengaji di rumah sejak berumur lima tahun dan khatam al-Quran sebanyak empat kali pada usia tujuh tahun. Daripada bapanya juga Za‘ba diajar membaca dan menulis Jawi, manakala Muhammad bin Datuk Muda Linggi (saudara dua pupu kepada bapanya) membantunya membaca dan menulis dalam Rumi.
Apabila Za‘ba mula bersekolah pada sebelah pagi, sebelah petangnya dia dibawa belajar ke rumah tuan-tuan guru agama yang banyak terdapat di sekitar Linggi. Ketika ini besarlah harapan ayahnya agar Za‘ba menekuni pelajaran agama supaya dapat dihantar belajar ke Makkah dan Mesir.
Namun Za‘ba memilih jalan berbeza dan meneruskan pengajian di sekolah aliran Inggeris di Seremban yang mencetus pergeseran anak-ayah buat beberapa tahun. Di sekolah ini, Za‘ba berjaya cemerlang dalam pelajaran dan menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Minatnya dalam bacaan Inggeris menyebabkan rakan-rakannya menggelar Za‘ba sebagai ‘Shakespeare”.
Namun kecemerlangan Za‘ba dalam peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1915 tidak disambut baik oleh kerajaan British. Bagi mengubat kecewa, Za‘ba mahu meneruskan cita-cita untuk lebih maju dalam bidang karang-mengarang. Dia memulakan langkah sebagai guru di Johor Bahru dengan mengajar.
Menariknya, Za‘ba bukannya mengajar Bahasa Melayu sebaliknya, Bahasa Inggeris di Government English School Bukit Zaharah dan Johor Government English College (1916-1918).
Za‘ba seterusnya dilantik sebagai guru bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di Malay College Kuala Kangsar (1918-1924) dan dipindahkan ke Sultan Idris Training College pada 1924. Za‘ba menjadi guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, menyelia guru dan menterjemah, sebelum diminta mengepalai Pejabat Karang-Mengarang (Translation Bureau). Menjelang Perang Dunia kedua, Za‘ba berhijrah ke Singapura dan bekerja di Jabatan Penerangan. Maka tamatlah tugasnya sebagai guru bahasa dan berhijrah pula ke dunia terjemah-menterjemah.
Namun begitu kepakaran dan pengalaman Za‘ba dalam bidang bahasa terus menjadi buruan. Dia dihantar berkhidmat sebagai pensharah bahasa Melayu di SOAS, Universiti London (1947-1950) dan kemudian mengetuai Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya Singapura (1952-1958).
Ketika di Johor Bahru, Za‘ba mengambil peluang mengasah kemahiran berbahasa Arab daripada Shaykh Tahir Jalaluddin yang ketika itu bertugas sebagai guru agama. Za‘ba juga mula giat menghantar karangannya ke surat khabar berkenaan pendidikan dan kemajuan Melayu, menulis dalam kedua-dua Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Sepanjang tempoh berada di Kuala Kangsar dan Tanjung Malim pula Za‘ba menggunakan masa yang ada dengan mengambil sijil-sijil ikhtisas perguruan, melanggan majalah-majalah antarabangsa, menghadiri kelas pada hujung minggu di Taiping dan terus giat menghasilkan buah qalam bermakna.
Ketika di Pejabat Karang-Mengarang inilah Za‘ba banyak menterjemah karya pujangga besar dunia termasuklah Shakespeare dengan menghasilkan dua judul utama, Cerita-Cerita Duka Shakespeare (1929) dan Cerita-Cerita Suka Shakespeare (1930). Kedua-duanya diadaptasi daripada cerita wayang Shakespeare dalam genre “tragedy and comedy”.
Za‘ba juga menterjemah karya Mark Twain, Anak raja dengan Anak Papa (The Prince and The Pauper), disiapkan pada 1937 dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1958. Terjemahan yang disiapkan sewaqtu di Pejabat Karang-Mengarang juga amat banyak memandangkan mereka perlu menerbitkan buku-buku untuk kegunaan sekolah dan bacaan umum di bawah Malay Home Library Series dan Malay School Series.
Dalam Majalah Guru, terdapat satu terjemahan oleh Za‘ba daripada tulisan Shaykh Tantawi* dalam bahasa Arab yang diberi judul “Qur'an dengan Ulama Zaman Sekarang” dalam dua siri. Dalam karangan-karangan yang dihantar ke surat khabar dan majalah, Za‘ba banyak menukilkan ayat al-Quran dan hadis dalam bahasannya berkenaan agama.
Keupayaan Za‘ba menguasai Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab menjadi alat yang kukuh untuknya menghasilkan buku-buku dalam bidang nahu Bahasa Melayu dan menetapkan kaedah-kaedah tertentu dalam Jawi, khususnya ejaan. Selama bertahun-tahun buku-buku ini digunakan di sekolah dan menjadi rujukan kajian ilmu bahasa. Malah, karangan-karangan Za‘ba tentang ilmu bahasa Jawi masih lagi bernilai tinggi untuk dikaji oleh ilmuwan bahasa masa kini, meskipun sudah hampir 100 tahun ia ditulis.
*Shaykh Tantawi yang hidup sebelum atau sezaman dengan Za‘ba
Karangan ini adalah pandangan peribadi pengarang. Ia tidak semestinya mencerminkan pandangan dan pegangan Akademi Jawi Malaysia.
Comentarios