Sebuah Catatan Tentang Keadaan Seni Warisan Kebangsaan

Sepanjang ingatan 14 tahun bersekolah di Kuala Lumpur dan kemudiannya 10 tahun belajar di universiti tempatan dalam bidang sains sosial, tidak pernah sekalipun saya didedahkan dengan ilmu seni ragam hias Melayu. Tidak di sekolah, tidak di universiti, tidak juga ditemukan dalam mana-mana wacana rasmi anjuran pusat pengajian saya.
Pun begitu, corak dan motif ragam hias Melayu tidak pernah asing dan terasa begitu aqrab dengan diri. Setiap kali pulang ke kampung di Melaka, corak ukiran pada jendela dan lubang-lubang angin di rumah moyang saya itulah yang menjadi objek renungan. Lenggokan dan rupa motif dedaun itu selalunya menarik perhatian.
Saya terfikir, kenapakah pelajaran tentang kesenian bangsa ini tidak ditemukan dalam arus pendidikan perdana?
* * *
Kunjungan saya ke pameran-pameran seni di galeri dan beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur – khususnya tahun-tahun selepas COVID-19 melanda – memberikan petunjuk bahawa di kalangan generasi baharu, semacam ada gelora rasa cinta yang baharu terhadap seni warisan bangsa.

Anak-anak muda ini cuba mempersembahkan ciri dan sifat seni kebudayaan Melayu dalam setiap karya dan usaha seni mereka. Misalnya, semangat ini boleh kita temukan dalam perkumpulan seperti Keretapi Sarong, Pasar Seloka, Pasar Saloma, dalam pameran-pameran seni di galeri-galeri, kedai-kedai kopi, kedai cendera mata, jualan atas talian, jenama-jenama pakaian atau produk dan banyak lagi. Ini semua benar-benar telah menghidupkan daya kreatif anak muda.
Ada yang mengambil inspirasi daripada motif warisan ini dan memberi nafas baharu dalam karya seninya. Ada pula yang menerapkan ragam hias Melayu ini pada produk-produk harian seperti buku, buku nota, corak pakaian, dan pelbagai lagi. Kita juga menyedari ragam hias ini juga diterapkan pada binaan dan reka bentuk bangunan-bangunan baharu sejak beberapa tahun kebelakangan.
Usaha yang ditunjukkan masing-masing pihak ini memang selayaknya dipuji kerana menjadi satu cara bagi menghidup dan memelihara seni warisan bangsa.
Tetapi, entah kenapa banyak daripada penzahiran seni itu terasa canggung dan seperti ada yang tidak kena. Lebih-lebih lagi, apabila terdapat beberapa bentuk serlahan yang digandingkan dengan suasana moden.
Jika saya perhatikan pada banyak binaan bangunan moden semasa (khususnya tempat-tempat pelancongan); bentuk awan larat, tunjuk langit dan motif ukiran seperti tiada harmoni letak duduknya. Terkadang, rupa seni warisan setempat ini diserlahkan bersekali dengan elemen-elemen peradaban luar; ada diselitkan watak adiwira fantasi daripada komik, bingit lagu-lagu popular asing, arca simen-besi moden, dan entah segala macam lagi. Serlahan beginilah yang menambahkan kejanggalan sekaligus memberikan nilai tambah kepada kehodohan wajah peradaban bangsa kita pada masa kini.
Ada masanya, setengah usaha itu terasa macam dibuat dengan ala kadar saja; hanyalah untuk mendapatkan keuntungan semata-mata. Bahkan dalam beberapa keadaan, terasa macam ada sesuatu yang kurang dan terlepas hilang daripada rupa-rupa bentuk komersil yang kononnya dipasarkan sebagai kecantikan dan keaslian sebenar motif-motif Melayu itu.
Dalam renungan diri ini, kebanyakan serlahan terkini rupa seni ragam hias Melayu bagaikan tiada nyawa. Ia menambahkan rasa resah-gelisah dalam diri saya apabila melihatnya semakin gah diperagakan sedemikian rupa.
* * *
Akhirnya, kali pertama saya didedahkan dengan mendalam tentang falsafah ilmu, seni dan ragam hias Melayu ini ialah pada 14 & 15 Februari 2025, dalam Kursus Pengenalan Seni Jawi Tradisi dan Ragam Hias Melayu di Balai Jawi.

Perkongsian selama dua hari ini ternyata membuka mata hati saya akan hakikat sebenar seni ragam hias Melayu ini. Sekaligus, menambahkan pemahaman tentang keadaan kita sekarang.
Dalam kursus ini, peserta diperkenalkan dengan pelbagai jenis ragam hias Melayu dan motif-motifnya. Malah yang menjadikannya lebih berma‘na ialah apabila jenis-jenis ragam hias ini diungkap sekali bersama falsafah dan maksud di sebalik rupanya. Apatah lagi apabila ma‘na itu dilengkapi dengan pengalaman melukis dan mewarnainya sendiri.
Rupa-rupanya gaya perhurufan Jawi kita pun ada cara gayanya yang tersendiri. Sungguh, ini satu ‘ilmu baru untuk saya.

Gaya perhurufan Jawi ini sebenarnya mempunyai segak dan lagaknya yang istimewa. Ia nyata berbeza dengan rupa khat Thuluth, Diwani, Riq‘ah dan khat-khat Arab yang lain. Haqiqat inilah yang dinyatakan oleh peng‘amal seni Jawi Tradisi dan Ragam Hias Melayu yang berkeahlian dan berpengalaman, Encik Syamsul Anwar.
Dan lagi, siapa sangka di sebalik kehalusan dan kecantikan ragam hias Melayu itu ada tersimpan kecanggihan dan kehalusan pemikiran bangsanya?
Kebanyakan motif-motif ragam hias Melayu ini dilambangkan dengan cara mentajrid.
Apakah mentajrid itu?
Tajrid dalam Seni Melayu ialah memahami cita (jenis, sifat, sikap) alam yang diperhatikan, kemudian mengolahnya menjadi satu bentuk atau rupa di atas media (lazimnya pada permukaan kayu, kain dan kertas).
Di sini terserlah kehalusan cara berfikir leluhur kita; mereka bijak sekali mengolah dan menyusun atur elemen-elemen bentuk, rupa, jalinan, pergerakan, dan tekstur menjadi corak sepertimana letaknya di alam sebenar. Namun, serlahan rupanya begitu beradab sekali sebab tidak ditiru bulat-bulat daripada alam; ianya lahir daripada keinsafan dalam berkarya agar tiada persamaan dengan ciptaan agung Yang Maha Kuasa.

Contohnya, tumbuhan yang sifatnya menjalar, letaknya di bahagian bawah, manakala tumbuhan yang sifatnya memanjat, maka letaknya di bahagian sisi karya. Tetapi, rupanya itu diolah menjadi corak yang unik bagi peradaban ini.
Dengan pendedahan sebegini, baharulah saya sedar, keresahan yang dipendam sebenarnya berasas. Bahawa ramai di kalangan kita yang sudah tidak mengenali rupa motif warisan bangsa. Pengetahuan kebanyakan kita tentang ragam hias Melayu yang asli sudah dikelirukan dengan motif-motif daripada warisan peradaban lain, ditiru dan dicampuradukkan dengan apa yang dilihat daripada persekitaran mereka.
Cita seni kini rata-ratanya hanya cantik dan indah di mata, tanpa ‘ilmu dan tajrid yang sejati. Bagi saya, ia hampa rasa. Ini seperti yang dibincangkan Encik Kayrol Anwar, seorang pakar rujuk seni budaya Melayu, bahawa banyak karya kontemporari tempatan yang mahu menggunakan seni ragam hias Melayu kelihatan halai-balai susun atur motifnya.
Keadaan kita sekarang sesungguhnya mengisyaratkan bahawa masyarakat sudah hilang semangat, kearifan dan kebijaksanaan ilmu tentang ‘alam dalam kehidupan seharian.
Hakikat ini terus mengingatkan saya kepada perbincangan sejarawan Ibn Khaldun di dalam Muqaddimah, Kitab al-‘Ibar. Dalam pemerhatian beliau terhadap sejarah jatuh bangun peradaban manusia itu, telah menyimpulkan bahawa peradaban sesuatu bangsa boleh hilang dan musnah hanya dalam julat empat lapisan generasi.
Ringkasnya ia boleh terjadi begini:
Bahawa, keutuhan sesuatu peradaban itu bergantung pada semangat kesepaduan (‘Asabiyya) yang kuat di dalam anggota masyarakatnya. Semangat ini diikat dalam masyarakat dengan jalan kepercayaan, bahasa, kuasa, budaya dan pengalaman bersama. Menurut beliau, jika semangat ini luntur dan hilang, maka runtuh jugalah peradaban bangsa itu; bangsanya terjajah dan identitinya lenyap.
Kata Ibn Khaldun lagi, antara sebab semangat ini boleh menipis adalah aqibat daripada gaya hidup bersenang-lenang dengan harta. Keselesaan hidup yang mudah didapatkan telah memisahkan golongan baharu daripada semangat berjuang generasi awal yang mengasaskan peradaban itu. Mereka kini terpisah jauh daripada nilai-nilai murni generasi awal. Apakala tiada semangat bersama, maka banyaklah perkara akan diserahkan urusannya kepada agensi-agensi kerajaan berbanding menjadi diri masyarakat yang hidup dan berani berjuang sendiri bersama – masing-masing sibuk menghitung hidupnya sendiri! Lebih bahaya lagi, lemahnya semangat kesepaduan ini memudahkan sesebuah peradaban itu dijajah dan terjajah.
Apa yang dikatakan oleh Ibn Khaldun ini, bukankah ia apa yang terjadi sekarang?
Justeru, jika kita terus dalam keadaan begini tanpa membetulkan semangat dan faham yang sebetulnya terhadap kesenian bangsa, maka setiap usaha untuk menghidupkannya hanyalah tempelan palsu semata-mata.
Pada hemat saya, langkah pertama yang perlu kita mulakan adalah dengan menjernihkan kefahaman dengan ‘ilmu yang benar supaya dapat membugarkan kembali semangat percaya diri dan cintakan bangsa. Kemudian barulah dapat kita budayakan rupa seni ragam hias ini dalam gaya hidup sekarang dengan bermakna.
Hanyalah dengan mempelajari warisan ‘ilmu rupa cita seni ragam hias Melayu yang asli, dapat kita lestarikan seni kebudayaan bangsa ini untuk masa hadapan.
Terlebih penting untuk diingatkan, perihal yang kita renungkan ini berkait rapat dengan jati diri peradaban bangsa, maka tentulah ia sangat mustahaq.
Karangan ini adalah pandangan peribadi pengarang. Ia tidak semestinya mencerminkan pandangan dan pegangan Akademi Jawi Malaysia .
Comments