top of page

Mengarang Diri: Untuk Masa Hadapan yang Pasti

Bicara Tasawwuf untuk Mengarang Diri


Untuk bulan Ramadan ini, kami mengajak anda untuk "Mengarang Diri: Untuk Masa Hadapan yang Pasti." Salah satu cara ialah memegang semula tali pedoman agar tidak terjerumus ke dalam lembah kebinasaan tipu daya dunia.


Shahdan, kami aturkan Sesi Bicara Tasawwuf bersama Dr. Khairatul Aqmar Abdul Latif, pensyarah Universiti Islam Selangor (UIS). Beliau akan mengupas kitab Kompas ‘Ibadat Mu'minin, Sharah *Minhaj al-‘Abidin.* Kitab ini adalah olahan semula dalam Bahasa Jawi mengenai peringatan-peringatan Imam Ghazali. Ia memberikan panduan untuk mengelak ‘amalan kita menjadi sia-sia.


Mengarang Diri


"Mengarang Diri" ialah seni menyusun kehidupan. Hidup ini perlu dihatur rapi, umpama seorang pengarang besar menyusun setiap kata dengan penuh hemat. Begitulah seorang mu‘min wajib mengarang setiap detik hidupnya agar mengikut kompas yang menuju keridaan Tuhan. Kegagalan dalam usaha "mengarang" diri ini akan menyebabkan ma‘na kehidupannya binasa. Meskipun pada zahirnya tampak dialah paling ber‘ibadat kepada Tuhan Yang Esa.


Tujuh ‘Aqabah Mengarang Diri


Dalam mencapai cita-cita keridaan Tuhan, Imam al-Ghazali telah memetakan ‘aqabah atau gunung yang perlu didaki. Ini agar seorang Mu‘min bersedia mengarang diri menghadapi rintangan dan cabaran ruhani. Inilah yang dikupas oleh Dr. Khairatul Aqmar melalui bicara tasawwuf, kitab Kompas ‘Ibadat Mu'minin, Sharah *Minhaj al-‘Abidin* yang diringkaskan seperti berikut:


  • ‘Aqabah Ilmu [Minit 15:00 - 25:30]:

    Ilmu merupakan syarat wajib utama. Ber‘ibadat tanpa ilmu menjadikan ‘amalan kita kehilangan kompas panduan.


  • ‘Aqabah Tawbat [Minit 28:45 - 36:15]:

    Dosa yang tidak disuci dengan tawbat yang sungguh-sungguh akan menjadi tembok penghalang antara hamba dan Pencipta. Tawbat ialah langkah penyucian untuk memastikan tembok ruhani ‘ibadat dibuka.


  • ‘Aqabah Tarikan [Minit 41:20 - 52:10]:

    Empat tarikan besar dihadapi oleh seorang Mu‘min: Dunya, Makhluq, Shaytan, dan Nafsu. Kegagalan mengawal unsur ini akan menyebabkan seseorang terbelenggu dalam ‘ibadat yang tiada mutu.


  • ‘Aqabah Gangguan [Minit 56:10 - 1:02:30]:

    Kesedaran mengenai rezeki dan qada‘ (ketentuan) Tuhan menghasilkan ketenangan jiwa. Di sini, nilai penyerahan diri (tawakal) diuji agar jiwa tidak mudah goyah apabila berhadapan dengan ujian kekhuatiran.


  • ‘Aqabah Dorongan [Minit 1:06:00 - 1:12:45]:

    Keseimbangan antara rasa harapan dan ketakutan – harapan akan ganjaran Tuhan dan ketakutan hukuman Tuhan. Ketempangan antara keduanya boleh menyebabkan seseorang menjadi angkuh atau berputus asa.


  • ‘Aqabah Pencacat Amalan [Minit 1:16:30 - 1:22:15]:

    Amaran keras terhadap penyakit hati seperti bangga diri (riya’) dan mahu dipuji (‘ujub). Ini adalah kuman ruhani yang merosakkan amalan dari dalam, sehingga tiada lagi nilai di sisi Tuhan.


  • ‘Aqabah Puji dan Syukur [Minit 1:26:40 - 1:35:20]:

    Peringkat terakhir di mana hamba mengakui bahawa segala kejayaan melintasi rintangan tersebut adalah semata-mata kurniaan Allah dan perlu dishukuri.


Persuratan Jawi dalam Mengarang Diri


mengarang diri dengan khazanah Jawi
Persuratan Jawi sebagai khazanah termaju mengarang diri

Satu penekanan penting dalam bicara ini adalah peri pentingnya memelihara khazanah persuratan Jawi. Ia membentuk peribadi dan mengarang diri. Persuratan Jawi bukan sekadar lambang budaya, tetapi penyata kemajuan ruhani dan jiwa kita. Jika hendak dibandingkan dengan pelbagai peradaban dunia, tamadun Islam kitalah yang telah mencapai kemajuan ruhani dan akhlaq. Khusus untuk qawm Muslimin berbangsa Melayu, khazanah ini terkandung dalam persuratan Jawi.


Kesimpulan


‘Ibadat yang dilakukan tanpa kompas ‘ilmu yang benar merupakan kerugian yang membinasa. Kebinasaan itu kadangkala tidak disedari kerana ia berlaku di balik tabir ruhani. Sungguhpun pada zahirnya kita sudah banyak melaksanakan tuntutan agama, wajarlah kita mengenali cabaran-cabaran besar ruhani ini.


Persoalan untuk kita renungi bersama:

  • Sejauh manakah kita telah mencurahkan waktu untuk melepasi ‘Aqabah Pertama, iaitu cabaran ‘Ilmu, yang paling penting?

  • Adakah usaha mengarang diri kita hari ini mencerminkan kemuliaan budi atau sekadar dibuat-buat supaya nampak beragama sahaja?


Marilah kita menjadikan Kompas ‘Ibadat Mu‘minin, Sharah *Minhaj al-'Abidin* ini sebagai petunjuk untuk membetulkan semula kompas kehidupan. Sebelum kita melangkah ke masa hadapan yang pasti, marilah kita mengarang diri panduan sebenar ‘amal kita di sini tidak dinoktahkan dengan binasa.


Kombo Kompas Ibadat Mu'minin Sharah Minhaj al-'Abidin
MYR 50.00
Beli Sekarang

Komen

Dinilai 0 daripada 5 bintang.
Belum ada penilaian

Tambah penilaian
bottom of page