top of page

Cita-cita Za‘ba yang Terpadam

Gambar Za’ba pada hari terakhir di English College sebelum berangkat ke Kuala Kangsar pada sebelah malamnya
Gambar Za’ba pada hari terakhir di English College sebelum berangkat ke Kuala Kangsar pada sebelah malamnya

Selepas lulus cemerlang dalam Peperiksaan Darjah Lima pada Oktober 1909, Za‘ba perlu menduduki Scholarship Examination pada bulan November.


Peperiksaan ini ialah medan pemilihan bagi murid-murid untuk memasuki sekolah Inggeris seperti Malay College Kuala Kangsar atau Christian Brothers (yang menguruskan St Paul Institutions) di Seremban ataupun menjadi guru pelatih.

Za‘ba menuruti pesanan ayahnya dengan memilih untuk menjadi guru pelatih. Apabila keputusan diumumkan, ternyata Za‘ba lulus cemerlang, yang di luar dugaannya. Za‘ba menyesali pilihannya untuk menjadi guru pelatih kerana dia sebenarnya lebih layak memasuki MCKK. Namun oleh kerana sekolah Inggeris bukan dalam pilihannya, maka Za‘ba terlepas peluang itu. Ditambah pula dengan tempat yang terhad di MCKK.


Za‘ba membuat rayuan dan diluluskan untuk memasuki di St Paul Institutions, Seremban. Keputusan ini menimbulkan kemarahan ayahnya yang mahukan Za‘ba menjadi guru supaya boleh terus belajar agama.


Za‘ba belajar selama enam tahun di sekolah ini sehingga lulus cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge pada 1915. Dia menjadi anak Melayu Negeri Sembilan yang pertama lulus cemerlang dan mendapat sijil. Ketika ini Za‘ba berusia 20 tahun.


Atas kejayaan ini, Za‘ba memasang impian yang besar untuk melanjutkan pelajaran. Za‘ba bercita-cita untuk menjadi doktor dan menghantar permohonan untuk memasuki The Medical School di Singapura. Permohonan dibuat melalui Pejabat Residen British Negeri Sembilan, namun ditolak kerana tiada peruntukan biasiswa untuk membiayai pengajiannya.


Kemudian Za‘ba memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sastera di United Kingdom yang dihantar kepada Pengarah Pendidikan British. Permohonan ini juga ditolak atas alasan yang sama.


Za‘ba menyedari impian melanjutkan pelajaran tidak lagi terbuka buatnya, lalu mula mencari kerja yang sesuai dengan kelayakan yang ada. Antara jawatan yang cuba dipohon ialah Settlement Officer, Sanitary Inspector dan Forest Ranger. Semuanya tidak berhasil.


Za‘ba kemudian ditawarkan jawatan guru sementara di St Paul Institutions, Seremban dan meninggalkan jawatan ini selepas empat bulan berkhidmat. Dia masih memendam rasa kecewa kepada kerajaan British Negeri Sembilan yang tidak memberi peluang selayaknya buat dirinya.


Selang beberapa bulan, Za‘ba diberitahu kekosongan jawatan guru di Johor Bahru yang amat memerlukan guru Melayu. Za‘ba menghantar permohonan dan terus diterima.


Maka bermulalah langkah Za‘ba sebagai guru di Government English School Bukit Zaharah yang mengajar bahasa Inggeris. Sebulan kemudian, Za‘ba dipindahkan ke Johor Government English College. Dia berkhidmat selama tiga tahun dari 1916 hingga 1918.


Di Johor Bahru inilah Za‘ba menghidupkan kembali cita-cita yang pernah dihasratkan sewaktu di bangku sekolah dahulu, iaitulah menjadi ahli karang-mengarang. Maka bermulalah perjalanannya yang serius dalam karang-mengarang, melibatkan kajian yang mendalam pada setiap persoalan yang ditimbulkan. Kedudukan Johor Bahru yang dekat dengan Singapura memudahkan Za‘ba mendapatkan bahan bacaaan penting dari luar negara, berpeluang melanggan akhbar dan majalah dan terdedah dengan pemikiran yang lebih terbuka.


Karangan yang dihantar ke surat khabar dan majalah berupa rencana, ruangan surat kiriman dan terjemahan yang muncul terutamanya dalam Lembaga Melayu dan Utusan Melayu menjadi medan Za‘ba mengasah kemahiran karang-mengarang seiring dengan cita-cita menjadi ahli dalam karang-mengarang. Maka usaha ini juga adalah pemula kepada Za‘ba untuk menjadi ahli bahasa dan bergelar Pendeta kira-kira empat puluh tahun selepas itu.


Karangan ini adalah pandangan peribadi pengarang. Ia tidak semestinya mencerminkan pandangan dan pegangan Akademi Jawi Malaysia.

 
 
 

Komen

Dinilai 0 daripada 5 bintang.
Belum ada penilaian

Tambah penilaian
bottom of page