5 Tangga Perlu Didaki untuk Jawi: Mengarang Masa Hadapan
- Akademi Jawi Malaysia
- 9 jam lalu
- 5 min membaca
Pendahuluan

Apabila kita menoleh ke belakang, ya‘ni ke arah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, cogan yang dipilih adalah sebuah iqrar akan keteguhan akar kita, iaitu "Jawi: Still Here, Still Ours."
Ia adalah sebuah pernyataan bahawa Jawi belum mati, Jawi masih milik kita, dan Jawi tetap sesuai dan berguna. Pun begitu, Jawi tidak pernah terhenti pada seqadar apa yang "ada" di balik masa nan silam sahaja. Ialah potensi atau bakat yang boleh membawa kita ke masa hadapan.
Jika ingin di‘ibaratkan, Jawi ialah buah daripada pohon besar tamadun Islam, di dalam taman yang dijaga oleh para anbiya’ dan awliya’. Sebagai buah, yang juga padanya ialah biji benih, ia menyimpan bakat untuk berkembang, bertumbuh, menyegar, mengawang ke angkasa ‘alam raya.
Sejajar dengan haqiqat pergerakan masa, Jawi harus dima‘nai sebagai jentera batin untuk membawa kita ke hadapan, apatah lagi ke ‘alam baqa yang masa hadapannya kita akan kekal selama-lama di sana.
Seperti kata Pendeta Za‘ba dalam Asuhan Budi,
Buatlah baik ayuhai rakan
Ke dalam laut engkau campakkan,
Jika tidak dikenal ikan
Tuhanmu tahu iakah bukan.
Maka, dalam menghala ke PBAKL 2026, Akademi Jawi Malaysia mahu mengajak tuan puan yang budiman bersama-sama kita mengarak cogan "Mengarang Masa Hadapan."

Mengapa Istilah "Mengarang"?
Sebelum kita petakan apakah tangga-tangga ke masa hadapan ini, kami ingin mengupas kenapakah cogan Jawi, diletakkan dengan "Mengarang" dan dipasangkan untuk “Masa Hadapan”?
Daripada persuratan Melayu-Jawi, "mengarang" mempunyai siratan ma‘nawi yang luas dan berlapis. Menurut Pendeta Za'ba dalam ‘Ilmu Mengarang Melayu, mengarang itu bukan seqadar menyusun kata-kata pada kertas.
Ialah sebuah seni menyusun dengan benar dan tepat—sebagaimana seseorang mengarang permata pada seutas kalung, atau mengarang bunga menjadi sebuah gubahan yang indah.
Ialah juga “...menggubah, mengukir, membunga-bungakan, mereka dan mengeluarkan sesuatu yang cantik dengan susunan yang baharu yang belum pernah diadakan orang.”
Ialah juga “curation”, jika ingin dicari padanan terjemahan Inggerisnya.
Shahdan, apabila kami memilih cogan “Jawi: Mengarang Masa Hadapan”, kami memaqsudkan:
Susunan indah berakarkan khazanah Jawi untuk kebaharuan pada masa hadapan.
Maka untuk kita mengarang masa hadapan ini, kami merencanakan lima anak tangga utama yang menjadi suatu peta strategik dalam melaksanakan misi peradaban ini.

Tangga 1: Mengarang Diri
Arakian, permulaan perjalanan kita membawa Jawi ke Masa Hadapan ini dimulakan dengan langkah yang paling aqrab, iaitulah dengan diri kita sendiri.
Barang sudah tentu kita tidak dapat mengarang masa hadapan, jika kita belum selesai mengarang akan diri ini.
Kami merencanakan supaya pada tangga Mengarang Diri ini, kita mengindah dan menggubahkan akhlaq dan perangai kita sebagai insan yang sejati.
Bertepatan pulalah dengan masa tangga ini dilalui iaitu pada bulan penyucian jiwa, iaitulah bulan Ramadan, yang jatuh pada pertengahan Februari 2026.
Kami merencanakan dalam bulan Ramadan yang mulia ini pada tangga pertama ini, kita akan menumpukan perbicaraan kepada dua terbitan yang kaya dengan pengislahan ruhani:
Asuhan Budi oleh Pendeta Za‘ba, sebagai sumber mengarang budi dan diri.
Suluhan Falsafah Surah Al-Fatihah oleh Kiyai Zuhri: sebagai sumber pemahaman wahyu, khusus daripada Umm al-Kitab.
Inilah tangga pertama. Mengukuhkan dalaman, menyusun ma‘na diri, sebelum kita mendaki ke takah seterusnya.

Tangga 2: Mengarang Budaya
Setelah akhlaq dan perangai kita disempurna, maka kita akan melangkah ke anak tangga kedua, iaitulah Mengarang Budaya.
Sesungguhnya budaya ialah penyata bangsa yang memiliki lagak, segak dan kacaknya sendiri.
Maka, sebelum datangnya Hari Raya, iaitulah memasuki bulan Mac 2026, kami bakal mempersembahkan hasil kerjasama kami dengan Malai Kencana dalam memperkenalkan seni tradisi Ragam Hias Melayu.
Adapun tumpuan utama kami adalah untuk menyerlahkan seni Jawi dan Ragam Hias Melayu sebagai kegembiraan kita menyambut Hari Raya, hari besar bangsa kita menzahirkan ni‘mat dikurniakan Tuhan.
Nantikan karya seni halus yang menggabungkan kilauan emas pada bunga dan corak Melayu:
Sampul Raya Jawi: Cetakan mewah sampul untuk hadiah bagi yang dikasihi.
Surah Al-Fatihah dengan Ragam Hias: Hiasan ayat suci dengan kehalusan tradisi
Pada tangga ini, kita bersama-sama mahu menyatakan bahawa Jawi ialah budaya yang hidup dan dira‘i, bukan sekadar beku terkaku dalam simpanan gedung sejarah.

Tangga 3: Mengarang ‘Aqal
Hati yang hampa tiada mengandung Sejarah Bangsa,
Tiadakan dapat tahu menilai hidup yang mulia;
Penyimpan Khabar zaman yang Lalu menambah lagi,
Pada umurnya umur berulang berkali-ganda.
–– Syed Muhammad Naquib al-Attas
Maka, setelah kita merayakan budaya, maka kami merencanakan tangga ketiga untuk kita Mengarang ‘Aqal pula.
Inilah tangga kita menajamkan pemikiran dan kebijaksanaan. Inilah takah yang kita bakal memanfa‘atkan Jawi untuk berfikir dengan halus, jitu dan tekal - sebagai seorang ‘ilmuwan sejati.
Oleh itu, dalam kita menakah tangga ini, kami bakal menyerlahkan 2 judul daripada geligawan bangsa, Pendeta Za‘ba, iaitulah
Empat Karangan, dan
judul Za‘ba yang masih dirahsiakan oleh pasukan editorial kami

Tangga 4: Mengarang Bangsa
Jika hendak mengenal orang berbangsa,
Lihatlah kepada budi dan bahasa.
–– Raja ‘Ali Haji
Apabila seorang anak bangsa itu dihiasi akhlaq, diserikan budaya dan disediakan ‘aqalnya, maka mampulah ia dewasa menjadi pemimpin bangsa.
Maka di tangga ini yang masuk ke bulan Mei 2026, kami rencanakan persuratan baharu yang mengarang bangsa, negara dan peradaban.
Di sini, tangga ini, kami merencanakan sebuah karya baharu penasihat ke‘ilmuan dan strategik kami, Profesor Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, Pohon Kebaikan Peradaban Fadilah yang menampilkan puisi pemikiran, kepimpinan dan peradaban.
Bulan ini juga kami bakal menyerlahkan karangan rencana daripada pengarang dan pengkritik tajam persuratan Melayu, Mohd Affandi Hassan, Membina Semula Warisan Persuratan.

Tangga 5: Mengarang Masa Hadapan
Akhirnya, pada penghujung bulan Mei dan permulaan bulan Jun 2026, maka kita akan sampai ke kemuncak pendakian, iaitu tangga kelima, Mengarang Masa Hadapan.
Pada hari itu nanti, kita akan diperkenalkan lagi pelbagai judul, koleksi dan aktiviti pengarangan bagi mema‘nai hari kemuncak yang telah kita rencanakan awal dari sekarang.
Tentunya ia akan menjadi ingatan dan kenangan untuk kita terus mara ke masa hadapan.
Bukankah ia berakar daripada tradisi ke‘ilmuan kita sendiri, yang menjadi sumber mengarang diri, budaya, ‘aqal dan bangsa kita?
Sertai Kami Setiap Hari: Sesi LIVE Jawi Tengahari
Kami di Akademi Jawi Malaysia tahu bahawa pendakian ini tidak boleh dilakukan bersendiri. Oleh itu, kami mahu anda merasai pendakaian tangga-tangga ini bersama kami.
Oleh itu, kami membawakan sesi
LIVE Jawi Tengahari
Dari 1.00 petang hingga 2.00 petang, Isnin hingga Khamis untuk kita berbual, belajar-mengajar, dan berkongsi dalam rencana mengarang diri, budaya, ‘aqal, bangsa dan masa hadapan ini bersama.
Adapun pengisian utama setiap hari yang direncanakan itu ialah:
Isnin: Isu Semasa Jawi
Selasa: Baca Cerita Jawi
Rabu: Apa Boleh Buat dengan Jawi?
Khamis: Dari Meja Editor Jawi
Untuk mengikuti LIVE Jawi Tengahari ini, anda boleh sertai kami di platform pilihan anda:
Tiktok: akademijawimy
Facebook: Akademi Jawi Malaysia
Youtube: Saluran Akademi Jawi
Sekiranya anda menjadi pengikut rapat sesi ini, tetapi khuwatir terlepas masa siaran langsungnya, maka kami sarankan anda untuk mendaftar emel anda kepada kami untuk kami kongsikan raqaman dan rangkuman mingguan kepada anda.
Penutup: Mari Melangkah!
Mudik ke hulu mendayung kolek,
Penat mendayung sampai ke seberang;
Yang bulat takkan datang bergolek,
Yang pipih takkan datang melayang.
Kami menyeru anda untuk mengikut rapat perkembangan kami di Akademi Jawi Malaysia, sama ada di saluran rasmi laman web kami www.akademijawi.my atau media sosial kami.
Marilah kita jadikan PBAKL 2026 bukan sekadar pesta buku, tetapi pernyataan bahawa Jawi mengarang masa hadapan kita.
Satu kata, satu tangga, sejuta rahsia – untuk masa hadapan.




Komen