top of page

5 Ciri Penterjemahan Pendeta Za‘ba

Updated: 7 hari lalu


Pendeta Za‘ba berkhidmat sebagai penterjemah lebih 20 dekad lamanya.
Pendeta Za‘ba berkhidmat sebagai penterjemah lebih 20 dekad lamanya.

Harapan dan cita-cita kami untuk memperkenalkan semula karya-karya dan ketokohan Pendeta Za‘ba baru-baru ini nampaknya mula perlahan-lahan mendapat perhatian para pembaca tanah air. 


Wacana seputar Pendeta Za‘ba dan perbahathan yang dibawa beliau mula kelihatan di media sosial dan di ruang-ruang perbincangan awam. 


Shukurlah! Tiada yang paling menggembirakan bagi penerbit buku melainkan buku-buku terbitannya dapat dibaca dan dimanfaatkan lebih ramai orang. 


Niat kami untuk mengangkat kembali wacana Pendeta Za‘ba ini menjadi tekad yang kuat selepas menyedari betapa banyaknya karangan beliau yang masih belum dikenali dan dibaca generasi masa kini. 


Apatah lagi selepas ditekuni, buah-buah fikiran beliau masih wajar dan banyak dipakai pada zaman kita sekarang. Ianya turut terkandung dalam harapan Pendeta Za‘ba terhadap anak bangsanya. Justeru, atas sebab-sebab inilah kami bertekad untuk mempersembahkan kembali karya-karya dan ketokohan Pendeta Za‘ba dengan lebih giat. 


Antara sisi beliau yang jarang-jarang diketahui orang adalah sebagai seorang penterjemah. Kerja-kerja penterjemahan beliau adalah saksi bagi kemahiran berbahasanya––gaya bahasa yang halus nan indah dan pemindahan ma‘nanya bertepatan dengan sasaran pembaca Melayu.


Kecekapan beliau menterjemah ini dapat kita saksikan sendiri dalam dua judul terbitan semula, Ribut di Laut dan Rosalind: Cinta dalam Samaran


Bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh supaya kita dapat benar-benar menghargai usaha penterjemahan beliau ini, perlu diingat cabaran-cabaran yang dihadapi beliau bagi menterjemah karya William Shakespeare ini. 


Pertama, penterjemahan Pendeta Za‘ba kepada ringkasan kisah William Shakespeare oleh Charles dan Marly Lamb ini menghadapi cabaran perbezaan budaya dua tamadun. Pada satu sisi, nilai-nilai yang terkandung dalam kisah-kisah William Shakespeare itu mengakar pada peradaban Barat, dan Za‘ba kini mahu memperkenalkan karya ini kepada nilai-nilai budaya orang Melayu yang berlainan pula dalam sisi yang lain. 


Kemudiannya, para pembaca Melayu yang pada ketika itu–––sekitar 1930-an––masih belum biasa dan meluas bahan bacaannya kepada bentuk genre yang pelbagai. Sastera persuratan orang Melayu pada ketika itu sedang mengalami fasa peralihan; daripada kebiasaan kisah-kisah hikayat kepada bentuk-bentuk pengarangan yang lebih beraneka macam, khususnya dibawa masuk dari Barat. 


Justeru, dengan bayangan cabaran di atas, ayuh kita teroka bersama 5 sisi penterjemahan Za‘ba di dalam kedua-dua judul ini; Ribut di Laut dan Rosalind: Cinta dalam Samaran


  1. Pendeta Za‘ba memasukkan suasana kehidupan Melayu pada zamannya 

 

Bagi mempersembahkan buat pertama kali kepada pembaca Melayu, Pendeta Za‘ba telah mencuba sehabis mungkin untuk menyulam ciri-ciri budaya Melayu dalam penterjemahan beliau itu. 


Terjemahan Pendeta Za‘ba dalam Ribut di Laut, antara lain menggunakan perkataan '‘ilmu sihir', 'hikmat guna' dan 'kepandaian pawang' bagi menggantikan perkataan 'magic' dalam bahasa Inggeris. Jelas, maksud-maksud bagi perkataan inilah yang dimengerti dalam lingkungan kehidupan orang-orang Melayu pada waqtu itu.


Seperti perbandingan dua teks ini:


Tales From Shakespeare, The Tempest, Charles dan Mary Lamb, 1807

(Teks Asal): 


“They lived in a cave or cell, made out of a rock; it was divided into several apartments, one of which Prospero called his study; there he kept his books, which chiefly treated of magic, a study at that time much affected by all learned men: and the knowledge of this art he found very useful to him…”

Terjemahannya dalam Ribut di Laut:


“Mereka dua beranak ini diam dalam sebuag gua atau lubang yang diperbuat dalam batu. Di sebelah dalam gua itu terbahagi kepada beberapa petak dan ceruk seakan-akan bilik….Maka di situlah disimpannya segala surat dan kitab-kitabnya, iaitu kebanyakannya membicarakan fasal ‘ilmu sihir dan hikmat guna serta segala kepandaian pawang, kerana pada zaman itu, inilah ‘ilmu yang sangat dimuliakan orang…”


Misalan lain yang dapat kita petik adalah, beliau mengalihkan makna bagi 'love-sonnets' kepada 'rangkap sha‘ir dan pantun yang menyebut-nyebut ‘ashiq dan cinta'. Sememangnya kita sedia tahu, yang lebih dekat dengan kebudayaan lisan orang Melayu adalah pantun dan sha‘ir.


Tales From Shakespeare, As You Like It, Charles dan Mary Lamb, 1807

(Teks Asal):


"Orlando arrived in the forest not many days after Ganymede and Aliena came there, and (as has been before 'elated) bought the shepherd's cottage.
Ganymede and Aliena were strangely surprised to find the name of Rosalind carved on the trees, and love-sonnets, fastened to them, all addressed to Rosalind; and while they were wondering how this could be, they met Orlando, and they perceived the chain which Rosalind had given him about his neck."

Dan diterjemahkan di dalam Rosalind:Cinta dalam Samaran


“ …‘ajaib keduanya apabila dilihatnya pada merata-rata pokok kayu itu terukir nama “Rosalind”, iaitu bekasnya seperti ditebuk atau ditores dengan pisau, bersama-sama nama itu adalah pula ditampalkan dua tiga rangkap sha‘ir dan pantun yang menyebut-nyebut ‘ashiq dan cinta, semua ditujukan kepada Rosalind.” 

  1. Perluasan ma‘na 


Bagi memudahkan perpindahan ma‘na dan kejelasan pemahaman terhadap kisah-kisah ini, Pendeta Za‘ba telah menambah huraian pada beberapa perenggan bagi mendapatkan gambaran ma‘na yang jelas kepada pembaca. 


Misalnya seperti petikan di bawah ini, perenggan asalnya yang cuma beberapa baris ayat telah dilanjutkan huraiannya oleh Pendeta Za‘ba menjadi perenggan yang lebih panjang pula. 


Pun begitu, kelancaran gaya bahasa dan kejelasan ma‘na pada jalan ceritanya menjadi lebih jelas terbayang. 


Teks asal, As You Like It:


“Orlando arrived in the forest not many days after Ganymede and Aliena came there, and (as has been before 'elated) bought the shepherd's cottage.
Ganymede and Aliena were strangely surprised to find the name of Rosalind carved on the trees, and love-sonnets, fastened to them, all addressed to Rosalind; and while they were wondering how this could be, they met Orlando, and they perceived the chain which Rosalind had given him about his neck.”

Terjemahan dan huraian Za‘ba dalam Rosalind: Cinta dalam Samaran


“Shahdan pada suatu hari, Genymede dengan Aliena keluar berjalan-jalan pula tiada jauh di keliling-keliling rumahnya itu. Maka sangatlah ‘ajaib keduanya apabila dilihatnya pada merata-rata pokok kayu itu terukir nama “Rosalind”, iaitu bekasnya seperti ditebuk atau ditores dengan pisau, bersama-sama nama itu adalah pula ditampalkan dua tiga rangkap sha‘ir dan pantun yang menyebut-nyebut ‘ashiq dan cinta, semua ditujukan kepada Rosalind.
Maka sambil mereka kedua berjalan dengan hayrannya memikirkan bagaimana hal yang demikian itu telah jadi dan siapakah agaknya yang telah mengukirkan nama Rosalind dan menuliskan pantun-pantun ‘ashiq berahi yang tersebut di pokok-pokok kayu itu, lalu mereka terjerempak dengan Orlando. Maka dilihat mereka ada lagi rantai emas yang diberi oleh Rosalind dahulu terbuai-buai pada leher Orlando. Maka tetaplah fikiran merekea mengatakan tiada lain lagi yang telah menulis pokok-pokok itu melainkan Orlando inilah juga.”  

  1. Memasukkan ciri istimewa bahasa Melayu


Dalam kerja penterjemahan beliau ini, kita akan temui di beberapa tempat, Za‘ba memuatkan simpulan bahasa, bidalan atau pepatah orang Melayu. 


Petikan Rosalind: Cinta dalam Samaran di bawah ini menjadi contoh, : 


“Kerana Genymede pura-pura melakukan dirinya keras dan ceroboh bagaimana yang biasa kita lihat pada orang-orang muda laki-laki tengah naik tatkala ‘umur mereka perantaraan… – iaitulah yang dikatakan orang Melayu masa ‘orang muda julung berkeris’...”

Dan lagi di dalam Ribut di Laut:


“ Kerana dengan sebab perjumpaan kita sekalian di dalam pulau padang tekukur ini, anak raja yang mulia itu telah jatuh hati kepada anakku, Miranda.”

  1. Penggunaan istilah-istilah Islam


Usaha pendeta Za’ba menggunakan beberapa istilah dalam agama Islam juga adalah salah satu ciri penterjemahan beliau yang cuba untuk menyesuaikannya kepada pembaca Melayu yang sememangnya Muslim. 


Perhatikan antaranya dalam Rosalind: Cinta dalam Samaran


“ … lidah lawan bercakap pada pokok-pokok kayu, kitab pada anak-anak sungai, khutbah daripada batu-batu yang bertimbun, dan kebajikan pada segala benda.”

Petikan lain:

“Celia berqawl-qawl di dalam hatinya biarlah orang muda yang tiada dikenal orang ini jangan beroleh kerosakan apa-apa.” 

Adakalanya penggunaan istilah-istilah ini sehingga menggunakan istilah-istilah kunci dalam Islam seperti kata ‘God’ diganti dengan Allah.


Dalam Ribut di Laut


“Ya Allah! Jikalau aku ada kuasa nescaya aku tenggelamkan laut ini di bawah bumi, jangan kapal yang cantik ini rosak binasa dengan segala nyawa di dalamnya yang tiada ternilaikan harganya itu.”

Selainnya: 


“Maka apabila Pospero mendengar perkataan Miranda ini, ia pun tersenyum lagi serta menganggukkan kepalanya seolah-olah berkata, “Alhamduli‘Llah! Ini sebetulnyalah telah berlaku seperti kehendak hatiku, anakku akan jadi permaisuri negeri Nablus.” 

Barangkali usaha beliau ini adalah cubaan beliau sendiri untuk menyadurkan teks dengan ciri Islam seperti yang pernah diusahakan pemuka-pemuka sastera Melayu sebelumnya yang telah menyadurkan sastera Hindu-Buddha kepada sastera Islam, ratusan tahun dahulu. 


Malah, Pendeta Za‘ba turut menyesuaikan nama tempat Naples di Itali kepada Nablus, sebuah daerah di Palestin. Perubahan ini mungkin sengaja dibuat supaya dapat disesuaikan dengan kebiasaan orang-orang Melayu pada waqtu itu yang lebih aqrab dan biasa dengan dunia Islam. 


Seperkara lagi tentang penterjemahan beliau yang cukup menakjubkan; bilamana istilah-istilah Arab ini digunakan, ma‘na yang hendak disampaikan itu menjadi lebih halus dan terkesan. Justeru kerana, sesuatu konsep ma‘na di dalam bahasa Arab, mempunyai beberapa istilah bersangkutan yang meluas.


Misalnya, kita perhatikan dalam Ribut di Laut:


"Bahkan nampaklah oleh Pospero dengan nyatanya yang mereka itu telah jatuh ‘ashiq antara keduanya dengan sekali pandang itu sahaja seperti kata orang '‘ashiq sekali pandang.' "

Berbanding dengan teks asalnya, The Tempest;


"He was well pleased to find they admired each other, for he plainly perceived they had (as we say) fallen in love at first sight: but..."

Kata ‘ashiq (عشق ) dalam contoh ini, membawa maqsud perasaan berahi yang membuak-buak. Seperti yang diertikan di dalam Qamus Hamidi (1941) – bahkan qamus ini ditashihkan sendiri oleh Pendeta Za‘ba – perkataan ‘ashiq maksudnya adalah 'yang bergantung hatinya pada sesuatu' ya‘ni 'orang yang gila berahi.'


Hasil ruju‘kan dalam kitab Raudhah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Mushtaqin, karangan Ibn Qayyim al Jawziyyah ada mengutip ulasan Ibn Sayyidah; "al-Ishq ertinya adalah keta‘ajuban orang yang berahi terhadap orang yang dicintai, sehingga dia berada di antara suatu yang terhormat dan yang hina."


Maka, kita dapat perhatikan, penggunaan kata '‘ashiq' oleh Pendeta Za‘ba berbanding kata 'cinta' yang lebih umum, telah menjadikan penyampaian maqsud di dalam teks terjemahannya menjadi lebih halus.


  1. Menambah dan mengubah suai kandungan asal kepada bentuk gaya bahasa puisi tradisi Melayu


Dalam menterjemahkan beberapa bait puisi asal dalam bahasa Inggeris, Pendeta Za‘ba dengan halus dan teliti, telah menyesuaikannya kepada bentuk puisi yang lebih dekat dengan orang Melayu seperti pantun. 


Bahkan, di dalam Rosalind: Cinta dalam Samaran, beliau telah menambah pantun-pantun Melayu sebanyak 7 rangkap ke dalam penterjemahan beliau itu, yang tiada pada teks asalnya.


Antara bait-baitnya: 


“... seraya ia tunduk bercucuran air matanya, sambil dibelek-beleknya rantai emas yang diberi oleh Rosalind itu dahulu lalu ia berpantun dalam bahasanya yang sama lebih kurang ertinya seperti pantun-pantun Melayu ini: 

Bunga cina bunga kenanga, 

Ditanam rapat tepi perigi

Tuan di mana abang di mana

Bilakah dapat berjumpa lagi?”


Di dalam Ribut di Laut pula, beliau menterjemahkan bait lagu penuh puitis.

Bandingkan dengan teks asalnya:


Teks asal (The Tempest):

 

“Full fathom five thy father lies.

Of his bones are coral made;

Those are pearls that were his eyes:

Nothing of him that doth fade,

But doth suffer a sea-change

Into something rich and strange.

Sea-nymphs hourly ring his knell:

Hark! now I hear them, Ding-dong, bell.”

 

Ribut di Laut


“Lima depa ayahmu mara 

Tulangnya jadi karang cemerlang

Matanya jadi lu‘lu‘ mutiara 

Suatu pun tiada rosak dan hilang


Hanya bertukar bertambah elok,

Menjadi mahal tiada bertolok, 

Bidadari laut setiap waqtu 

Mengoyang loceng – dengarlah itu.”


Penguasaan beliau ke atas bahasa telah menghasilkan penterjemahan dengan gaya bahasa Melayu yang halus dan tersendiri.


Demikianlah kelebihan-kelebihan penterjemahan Pendeta Za‘ba yang dapat kita amati dalam kedua-dua judul ini. 


Dengan menghayati, memerhati dan menela‘ah gaya bahasa penterjemahan Za‘ba ini, diharapkan ianya dapatlah lebih membangkitkan semangat cinta akan bahasa kita sendiri, seterusnya dapat menggerakkan daya usaha yang baik pula.


Bagi yang belum membaca dan memiliki kedua-dua judul ini, anda boleh mendapatkannya secara dalam talian di pautan: 




 
 
 

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page