top of page

Za'ba Sebagai Pendeta

Updated: 3 Mei


Songkok 'Pendeta' dimahkotakan oleh Cikgu Mohd Noor Ahmad sebagai wakil kongres, kepada Zainal ‘Abidin bin Ahmad sewaqtu pengishtiharan gelar Pendeta kepada beliau. Sumber: Mastika
Songkok 'Pendeta' dimahkotakan oleh Cikgu Mohd Noor Ahmad sebagai wakil kongres, kepada Zainal ‘Abidin bin Ahmad sewaqtu pengishtiharan gelar Pendeta kepada beliau. Sumber: Mastika

Nama Zainal ‘Abidin bin Ahmad atau yang lebih mahshurnya, Za‘ba, adalah satu nama besar di dalam tanah air kita. Selalunya nama beliau ini lebih dikenali bersekali dengan gelar 'Pendeta' di hadapannya.


Sesungguhnya memang gelar 'Pendeta' itu amat wajar diberikan kepada beliau sebagai penghormatan terhadap ‘ilmu, jasa dan bakti beliau kepada perkembangan bahasa Melayu di tempat kita.


Lebih-lebih lagi, suasana zaman sewaqtu awal abad ke-20 itu benar-benar suatu masa yang mustahaq bagi perkembangan bahasa Melayu. Keadaan zaman yang deras berubah dengan himpitan pengaruh-pengaruh asing sewaqtu itu telah mewujudkan keadaan resah-gelisah dalam masyarakat Melayu untuk turut memajukan bangsanya dalam segenap penjuru, termasuklah bahasanya.


Justeru, dalam latar yang sedemikian itulah yang telah menjadi medan perjuangan Pendeta Za‘ba. Buah-buah fikiran dan usaha-usaha beliau dalam memajukan bangsa dengan jalan bahasa pada waqtu itu mendapat perhatian rakan-rakan seperjuangan yang lain.


Di dalam perhimpunan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang ketiga pada tahun 1956, pengi‘tirafan terhadap kewibawaan beliau telah diikrarkan oleh ratusan ahli kongres yang hadir pada waqtu itu.


Kami petik kembali ucapan bersejarah pengishtiharan tersebut seperti di bawah;


Di saat kita menutup Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang bersejarah ini, bertemulah kita dengan titik baru dalam sejarah perkembangan Bahasa dan Persuratan Melayu.
Dengan Kongres ini, sampailah kita kepada suatu kemuncak dari perjuangan yang dimulakan oleh nenek moyang kita, sejak zaman Tun Seri Lanang membawa kepada zaman Abdullah Abdul Kadir Munshi dan lalulah kepada zaman Syed Shaikh al-Hadi, menjelang pula kepada zaman Abdul Rahim Kajai.
Sekalian mereka ini merupakan lambang dari perjuangan Bahasa dan Persuratan Melayu di Tanah Air kita yang amat kita junjung tinggi ini.
Sekarang ini bermulalah kita dengan suatu zaman baru – zaman Bahasa dan Kesusasteraan Melayu bertumbuh dan berpadu, berdaulat dan dijunjung tinggi pula oleh lapan puluh juta saudara dua sebaya kita, bangsa Indonesia dari Sabang sampailah ke Mareuke.
Setelah melalui zaman-zaman ini, lambang itu tumbuh semula membawa semangat dan perjuangan yang sudah didukung oleh pahlawan-pahlawan Bahasa kita yang sulah hilang itu. Lambang itu kita dirikan pada hari ini, ditengah-tengah semangat seluruh bangsa Melayu yang menghendaki Bahasa dan Kesusasteraannya tinggi dan berdaulat.
Dan ini sesuai pula dengan kebulatan azam bangsa Melayu untuk berdiri sebagai suatu bangsa yang merdeka dan berdaulat.
Di antara deruan angin di Selat Melaka, di antara kocakan ombak dan air yang memisahkan kita dengan kepulauan Indonesia, maka dengan ini Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Malaya yang ketiga menganugerahkan kehormatan dengan meletakkan lambang dan tonggak Bahasa dan Kesusasteraan Melayu kepada tuan Haji Zainal Abidin Ahmad (ZA'BA).
Bahawa dengan ini diistiharkan gelaran PENDETA kepada yang mulia Tuan Zainal Abidin Ahmad (ZA'BA).
Istana Besar, Johor Bahru,
21 September 1956 bersamaan 16 Safar 1376

Pendeta Za‘ba tidak dapat menahan sebak dan terharu sewaqtu beliau dianugerahkan gelaran Pendeta. Sumber: Mastika
Pendeta Za‘ba tidak dapat menahan sebak dan terharu sewaqtu beliau dianugerahkan gelaran Pendeta. Sumber: Mastika

Yang berikut pula adalah suasana sewaqtu di dalam dewan:

Ketika perisytiharan anugerah gelaran Pendeta kepada Tuan Za’ba dibacakan oleh pengerusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, suasana dewan istana yang besar tempat upacara menutup Kongres Bahasa itu sunyi sepi.
Para hadirin tunduk dan khusyuk mendengar dan setelah pengisytiharan itu selesai dibacakan, sebuah songkok Pendeta disarungkan ke kepala Tuan Za’ba yang sudah bergelar Pendeta itu. Ketika menghadapkan wajahnya ke hadapan pada hadirin untuk menyampaikan rasa terima kasihnya, Pendeta Za’ba tak dapat berkata-kata lagi. Kerongkongnya tersekat, dadanya sebak, yang dapat dilahirkannya, hanya air mata sahaja, sedu sedan sebagai pernyataan rasa terharunya oleh ucapan penghormatan yang begitu mulia yang dianugerahkan oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang Ketiga itu.
Peristiwa ini sangat mengharukan air mata dan sedu-sedan Tuan Za'ba mengusik-usik pula perasaan halus pada hadirin di dewan Istana Besar itu, banyak pula yang mengesat-ngesatkan air matanya, banyak pula yang menahan sebak dadanya, banyak pula yang terasa tersekat kerongkongnya. Peristiwa ini juga dirasakan benar oleh para utusan rasmi dari pemerintah Republik Indonesia, Tuan Amin Singgih kelihatan menyapu matanya yang kelihatan basah oleh air yang bening dari lubuk hati yang tulus ikhlas, yang terasaterusik oleh peristiwa yang mengharukan itu.
Di saat itu pula terdengar suara guruh mendayu-dayu dan dituruti pula dengan hujan rintik-rintik. Sejenak sesudah menekan rasa terharunya, barulah Tuan Za'ba dapat mengeluarkan kata-kata di antara sedu-sedannya. Beliau menyatakan terharunya dan menyatakan pula ada banyak lagi orang yang layak untuk menerima anugerah yang mulia ini. "Mudah-mudahan Tuhan melanjutkan umur saya dan dapatlah saya berkhidmat terus untuk bahasa, tanah air dan bangsa saya ..."
Mastika, Oktober 1956

Dengan mengimbau kembali peristiwa ini, wajarlah kita renung-kenangkan kembali sewaqtu detik-detik bersejarah dalam perkembangan bahasa kita. Kita hormati dan tela‘ah kembali segala jasa dan bakti tokoh-tokoh kita. Dan terlebih wajar lagi, ialah untuk kita insafi keadaan kita pada masa kini.


Sumber artikel asal : Mastika

Simpanan naskhah asal: Arkib Negara Malaysia




Istimewa bagi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025, Akademi Jawi Malaysia bakal mempersembahkan kembali beberapa judul Pendeta Za‘ba yang menarik yang tidak didapati dalam pasaran sebelum ini. Nantikan!


 
 
 

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page