Seperti biasa, apabila kami di Akademi Jawi Malaysia menyiarkan sesuatu tentang Jawi, khususnya yang "lain daripada yang lain" - maka banyaklah komen yang akan masuk dan menyatakan itu dan ini.
Satu perkara yang menarik untuk diperhatikan ialah takat pemikiran yang menjadi dasar komen-komen yang dicatatkan itu.
"Eh, salahlah ejaan itu!"
"Mana ada bahasa Jawi, yang ada hanya tulisan Jawi!"
"Nama sahaja Akademi Jawi, tetapi mengeja Jawi pun tak reti!"
Sebenarnya komen-komen begini membayangkan suatu cara fikir yang ada haqiqat sejarahnya.
Apa ceritanya?
Semenjak Kongres Persuratan dan Bahasa Melayu ke-3 pada tahun 1956, faham dan konsep "Jawi" sudah disempitkan kepada faham "tulisan" semata-mata - atas alasan bahawa Melayu meminjam tulisan Arab, kemudian untuk maju, kenalah diganti dengan tulisan Rumi (seperti Turki dan Indonesia).
Hujah mereka, "tulisan" Jawi itu hanya kulit sahaja, kalau diganti dengan "tulisan" lain pun, tetaplah ia Melayu juga. Maka, Jawi hanya "tulisan", tetapi "bahasa" ialah Melayu. Daripada detik inilah, istilah "Bahasa Jawi" menjadi semakin asing; diganti dengan satu istilah baru, iaitu "TULISAN JAWI".
Hasil keputusan kongres untuk menukar "tulisan" rasmi bahasa Melayu daripada Jawi kepada Rumi inilah kemudian menjadi dasar kepada perihal Bahasa Melayu dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (kemudian Malaysia); yang kemudian diterjemahkan dalam semua dasar kerajaan, termasuklah dasar pendidikan kebangsaan.
Maka, bermula pada tahun 1960-an, Jawi terpinggir daripada dunia pendidikan Bahasa Melayu arus perdana Malaysia, baik peringkat pendidikan sekolah rendah, menengah atau pengajian tinggi.
Angkatan pada zaman ini, yang melalui pendidikan arus perdana itu, biasanya "buta Jawi". Yang tahu Jawi pun, mungkin daripada budaya keluarga yang membaca penerbitan Jawi (seperti akhbar Utusan); atau memang berlatarbelakangkan keluarga yang mengaji pondok; atau datang dari negeri Johor yang bersekolah Agama Johor.
Hinggalah tahun 1980-an, terdapat "kesedaran" lepasan siswazah pengajian Islam untuk mengembalikan Jawi dalam pendidikan arus perdana. Pun begitu, disebabkan "pejuang" Jawi ini dari kalangan guru lepasan agama, maka mereka telah menjadikan subjek Jawi di bawah pengajian agama Islam.
Menariknya (atau malangnya), para lepasan agama ini kebanyakannya tidak pernah pun belajar ‘ilmu bahasa Melayu bersumberkan khazanah persuratan Jawi.
Sungguhpun diketahui Jawi itu hasil daripada pengislaman, tetapi ialah pengislaman bahasa dan amat wajar dikembalikan dalam mata pelajaran "bahasa", bukan "agama". Kesnya samalah seperti ingin menguasai Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bukan belajar betul-betul bahasa Inggeris dengan disiplin bahasanya itu.
Apa yang ada pada mereka hanyalah semangat yang seqadar semangat, tanpa gagasan, ‘ilmu dan kerangka fikir yang benar dan tepat. Jadi, apabila Jawi hendak digubal dalam pelajaran, maka mereka tidak meruju‘ kepada sumber asli ‘ilmu bahasa Melayu dalam Jawi, sebaliknya terus merencanakan sistem "Jawi Baru".
Seperti semua sedia tahu, "Jawi Baru" inilah yang terputus daripada tradisi - yang membuatkan pelajar-pelajarnya canggung untuk membaca kitab, manuskrip atau apa-apa karangan Jawi abad ke-20 dan ke bawah.
Daripada tahun 1980-an itu hinggalah sekarang, perbahathan ‘ilmu Jawi (kalau sampai tahap ‘ilmu sekalipun) hanyalah seqadar bentuk ejaan, sistem ejaan dan qa‘idah ejaan. Untuk memperbanyak tenaga pengajar "Jawi Baru" ini, maka Dewan Bahasa mengadakan program Munsyi Jawi Dewan untuk menyemarakkan Jawi berdasarkan kerangka fikir "Jawi Baru" - yang balik-balik bercakap tentang ejaan, ejaan, ejaan.
Kini tahun 2024, abad ke-21, zaman dengan segala kerencaman teknologi dan cabaran pemikiran, "pejuang-pejuang" Jawi hidup-mati mereka dengan kerja "ejaan, ejaan, ejaan". Maka, keberhasilan "perjuangan" mereka ini adalah sepertimana tuan-tuan saksikan dalam komen yang mereka tinggalkan seperti dalam gambar itulah.
Jika ditanya mereka tentang apa gunanya Jawi untuk angkatan sekarang dan masa hadapan, maka jawapannya hanya berlegar tentang paksi kuasa ketuanan Melayu dan kekalutan menjaga identiti bangsa.
Jika ditanya siapa antara ‘ilmuwan Jawi dan apakah karangan besar mereka - ya‘ni perbincangan yang lebih bermanfa‘at dan menyumbang kepada keberlangsungan peradaban – maka tiadalah jawapan yang memuaskan.
Balik-balik, yang menjana kudrat perbincangan mereka ialah tentang "sistem ejaan, qa‘idah ejaan, pedoman ejaan." Sesama sebangsa mereka akan cakap "kena jaga Jawi sebab ketuanan Melayu, bla, bla bla."
Saya merenung kenapakah daripada tahun 1960-an hingga abad ke-21 ini mereka berdaya dalam perbincangan Jawi yang begitu hampa?
Rupa-rupanya, tenaga untuk berbincang perkara yang sempit dan bosan itu kerana itulah sebenar-benarnya kerja mereka! Ternyata untuk melakukan kerja itu, mereka telah dijamin gaji bulan-bulan untuk bercakap, berseminar dan mengajar demi mempertahankan status quo "tulisan Jawi" dalam bentuk "Jawi Baru" itu. Bahkan, jika ada peluang, naik pangkat dan bila sudah sampai usia, boleh meni‘mati pencen pula dengan segala bahana "kerja" yang telah dilakukan!
Jurang pemikiran begini semakin hari semakin tebal, kerana mereka bukan sahaja bekerja sepenuh masa dengan gaji yang terjamin, bahkan menjadi tukang ajar pula untuk menda‘yah meratib kononya "Jawi itu tulisan, bukan bahasa".
Tidakkah mereka ingin berkeringat walau sedikit, membelanja beberapa kupang daripada keterjaminan gaji mereka itu untuk menyelak kitab Jawi tua, membaca satu persatu qalam ‘ulama dan menyaksikan bahawasanya para ‘ilmuwan dahulu benar-benar mengam‘allaksanakan Jawi sebagai sebuah bahasa?
Entahlah.
*****
Berbekalkan asuhan mahaguru bangsa dan gagasan pemikiran yang dibawanya, kami di Akademi Jawi Malaysia - Klasika Media cuba memperkenalkan semula sejarah, falsafah dan ‘ilmu asli yang menjadi haqiqat batin Jawi ini. Kami percaya, dengan akar yang cengkam mendalam ke masa nan lampau, maka puncak dan pucuk pohonnya akan jauh menjulang ke angkasa masa nan hadapan.
Oh ya, seperkara lagi yang penting untuk disedari, bahawasanya kami ini badan swasta - yang mengambil risiko wang, tenaga dan masa untuk melakukan sesuatu yang bernilai untuk manusia. Kami ini, badan bebas daripada meshuwarat karipap dan teh tarik, yang juga kalau nak beli kerusi untuk kelas, tidak perlu tunggu 8 bulan baru hendak buat.
Cergas dan ligat kami bersilat di pentas cabaran semasa berbekalkan daya rengkahan orang muda. Sentuhan dan seni persembahan kami ini menegapkan tradisi yang dahulu dan bakal menggubah masa yang akan datang.
Shahdan kami kini membawa cogan "Memasahadapankan Jawi, Jawi Redivivus" - suatu rencana penting untuk setiap seorang daripada kita dapat terlibat untuk mendayakan Jawi bagi angkatan mendatang.
Comments