top of page

Sendikata Jawi

Writer: محمد شكري روسليمحمد شكري روسلي


Satu petua untuk membaca kitab Jawi yang ayatnya panjang berjela-jela ialah dengan mencari sendikata-sendikata (dalam Lidah Melayu, disebut sebagai ḥuruf).

Ini salah satu contoh perbahasaan kitab Jawi yang kita pecahkan untuk mendapatkan apakah yang ingin dikatakan pengarang:


Bi'smi'Llāh al-Raḥmān al-Raḥīm [Bermula] Puji-pujian itu bagi Allah yang mengelokkan susunan bahasa dengan tartīb yang ṣaḥīḥ. [Dan] ṣalawat dan salām atas kekasihNya yang mempunyai lidah yang faṣīḥ. [Dan] atas sekalian ahlinya dan ṣaḥābatnya yang menyelakkan segala lapisan tabir kesamaran pada Qur'an dan Ḥadīth, [hingga] terang cahaya segala mutiara maqṣūdnya di sisi ḥukamā' dan ‘ulamā' menghabisi mereka itu dengan dia akan dada tenteranya hingga bermegah-megah mereka itu atas tangga kemenangan [yang] tiada sunyi daripadanya beberapa tingkat hingga kepada lapisan langit kemuliaan yang tertaburan padanya segala bintang kepandaian. [Maka] sebesar-besar keuntungan bagi mereka yang sampai ke atasnya [dan] bersuka-suka ia dengan barang yang ada di dalam kawasannya – [ialah] perhinggaan yang dituntuti akandia oleh sekalian hulubalang dan pahlawan bahasa; [kerana] ia persandaran faham yang tak dapat tiada dengan dia menyampaikan segala kehendak [dan] menyuluhkan segala ma‘na yang gelap daripada kandungan kitāb-kitāb mereka itu;[istimewa pula] titah Allah dan sabda RasūlNya yang mengandungi keduanya dengan berbagai-bagai ḥikmah yang tiada dapat dihimpunkan semuanya oleh hujung qalam mereka itu hingga kesudahan masa sekalipun.

*****

Saya pecahkan dalam bentuk senarai Wacana dan Berita untuk mudah kita menuruti percambahan perbicaraaannya:



Wacana 1: [Bermula] برمول

Puji-pujian itu bagi Allah yang mengelokkan susunan bahasa dengan tartīb yang ṣaḥīḥ


Wacana 2: [Dan] دان

ṣalawat dan salām atas kekasihNya yang mempunyai lidah yang faṣīḥ.


Wacana 3: [Dan] دان

atas sekalian ahlinya dan ṣaḥābatnya yang menyelakkan segala lapisan tabir kesamaran pada Qur'an dan Ḥadīth


Berita 3.1: [hingga] هڠݢ

terang cahaya segala mutiara maqṣūdnya di sisi ḥukamā' dan ‘ulamā' menghabisi mereka itu dengan dia akan dada tenteranya hingga bermegah-megah mereka itu atas tangga kemenangan


Berita 3.1.1: [yang] يڠ

tiada sunyi daripadanya beberapa tingkat hingga kepada lapisan langit kemuliaan yang tertaburan padanya segala bintang kepandaian.


Berita 3.1.1.1: [Maka] مک

Sebesar-besar keuntungan bagi mereka yang sampai ke atasnya


Berita 3.1.1.2: [dan] دان

bersuka-suka ia dengan barang yang ada di dalam kawasannya


Berita 3.1.1.3: [ialah] اياله

perhinggaan yang dituntuti akandia oleh sekalian hulubalang dan pahlawan bahasa


Berita 3.1.1.4: [kerana] كران

ia persandaran faham yang tak dapat tiada dengan dia menyampaikan segala kehendak


Berita 3.1.1.5: [dan] دان

menyuluhkan segala ma‘na yang gelap daripada kandungan kitāb-kitāb mereka itu


Berita 3.1.1.6: [istimewa pula] استميوا ڤول

titah Allah dan sabda RasūlNya yang mengandungi keduanya dengan berbagai-bagai ḥikmah yang tiada dapat dihimpunkan semuanya oleh hujung qalam mereka itu hingga kesudahan masa sekalipun.


****


p.s. Petikan daripada kitāb "Jambangan Melayu pada ‘Ilmu Isti‘ārah" yang dikarang oleh Ḥāji Enche' ‘Umar bin Ismā'īl dan diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam dan Isti‘ādat Melayu Kelantan Dār al-Na‘īm (tahun 1342H | 1923M)


p.s.s. Kitāb Balaghah Jawi.

 
 
 

Comentarios

Obtuvo 0 de 5 estrellas.
Aún no hay calificaciones

Agrega una calificación
bottom of page