Dalam sesi tela‘ah, Selasa bersama Mulaqa pada 30 Januari 2024 di Akademi Jawi Malaysia baru-baru ini, saya ada mengupas perso’alan mengenai aliran bahasa untuk Risalah untuk Kaum Muslimin yang diwakili oleh Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas. Jika ditelusuri, bahasa Melayu kita, maka kita akan menemukan dua aliran – iaitulah aliran Melaka dan aliran Pasai. Adapun Bahasa Melayu yang ‘umum digunakan sekarang, yang menjadi arusperdana melalui jalan perlembagaan dan pendidikan Malaysia, ialah aliran Melaka itulah.
Aliran Melaka ini, terasnya ialah bahasa percakapan; gunanya untuk pengaruh kuasa istana dan politik; bicaranya ialah pada cerita-sastera; wibawanya ialah pada penulis lipurlara, hikayat, kemudian untuk novel dan warta; orang pentingnya ialah antaranya Tun Sri Lanang, Munshi ‘Abdu’Llāh, Sayyid Shaykh al-Hadī, kemudian kini menjelma menjadi sasterawan-sasterawan negara; dan “karya agung” mereka contohnya seperti Sulālat al-Salātin atau Sejarah Melayu; Hikayat ‘Abdu’Llāh, Faridah Hanum, Salina dan sebagainya.
Salang kepada aliran Melaka ini, adalah aliran Pasai. Adapun Bahasa Melayu aliran Pasai ini ialah aliran pengarangan para ‘ilmuwan kita – yang kesemuanya terangkum dalam tradisi ke‘ilmuan Bahasa Jawi. Sebagai ringkasan, sha‘ir di bawah mengungkapkan sejarah, ‘ilmuwan dan karangan aliran Pasai ini:
Aliran Bahasa Jawi
Bahasa kita alirannya dua
Satu ulama satu istana
Berlainan ia pada asalnya
Satunya Pasai, duanya Melaka
Yang Pasai ini kenali tuan
Hamzah Fansuri bapa suratan
Pertama mula maktub karangan
Bahasa sekarang jadi panduan
Di Aceh ia menjadi pasak
Tempat pelbagai ilmu ditegak
Bahasa Melayu dipilik lagak
Menyurat segala kalam ulama’
Raniri Singikili dibilangkan nama
Dua pemuka Aceh utama
Pelbagai ilmu dikarang sama
Terjemah Qur’an tafsirnya semua
Bila berjalan ‘adat masanya
Berpindahlah tempat utamanya
Ke Makkah mereka sekaliannya
Mengarang kitab bangsa empunya
Termashhur seorang dari Faṭānī
Kitabnya banyak ‘ilmunya ghanī
Tasawwufnya tinggi Manhal al-Ṣāfi
Namanya Dawud, hendaklah ingati
Di Makkah tempat ‘ulama hadiri
Baik Palembang juga Banjarī
Sayr al-Sālikīn engkau pelajari
Sabīl al-Muhtadīn engkau mahiri
Dari Makkah ke Riau pula
Berpindah pusat karangan pusaka
Kitab bernama Pengetahuan Bahasa
Raja Ali Hajilah tuan miliknya
‘Ilmu bahasa terkarang sudah
Jadi panduan tiada gundah
Jurutulis mendapat fa’idah
Menetap surat gaya nan indah
Bila sampai zaman bahari
Jentera cetak telah direngkahi
Suatu kitab bila dicetakki
Beribu naskhah siap sehari
Ahmad Zayn ‘alim nan bijak
Kumpul sahabat membuat cetak
Melaras bahasa sehabis segak
Kitab tersebar berguna kelak
Tok haji bertahun belajar
Jadilah ‘alim berbangsa besar
Balik negeri, jiwa berkobar-kobar
Kitab Jawi merekalah sebar
Sebelum bertukar huruf tulisan
Ahli Pakatan dilupa jangan
Di Johor ia membina pasukan
Menjaga bahasa menjadi tujuan
Pakatan Belajar-Mengajar Bahasa
Mendapat restu nama Diraja
Mejar Sulaiman dialah pemuka
Dalam Peredar ‘ilmunya semua
Ahmad Ya‘qub memaktub jasa
Lidah Melayu hadiah bangsa
Hejaan, tanggaman, jalan bahasa
Balaghah, sha‘ir semua diusaha
Seorang lagi mashhur namanya
Zayn al-Abidin, ringkasnya Za’ba
Dari pondok belajar asalnya
Lalu ke Barat khatam ilmunya.
‘Ilmuwan utama Bahasa Jawi, diringkaskan daripada kandungan buku Tradisi Ke‘ilmuan Bahasa Jawi, Muhammad Syukri Rosli (2022)
Selepas negara bangsa Indonesia dan Persekutuan Tanah Melayu terbentuk pada pertengahan abad ke-20, aliran bahasa Pasai ini menjadi terpinggir kerana beberapa hal berkaitan dengan perkembangan dan cabaran ke‘ilmuan zaman. Ini disebabkan, bermula pada abad ke-19, bukan seqadar ‘ilmuwan jati Melayu sahaja yang menyumbang kepada ke‘ilmuan bahasa dan persuratan Melayu-Jawi, bahkan pada masa yang sama, para orientalis Barat yang berbangsa Belanda, Inggeris dan Perancis turut sama menjadi “guru baharu” yang menyumbang kepada perkembangan ‘ilmu ini.
Para orientalis ini bukan sahaja menyelidik dan meraqamkan ‘ilmu bahasa dan persuratan, bahkan turut melibatkan diri dalam susunan kandungan pendidikan bahasa ini. Antara mereka yang terkenal dari kalangan bangsa Inggeris ialah Stamford Raflles, William Marsden, RJ Wilkinson dan RO Winstedt. Penting juga untuk dimaktubkan di sini, bahawasanya para orientalis ini, khususnya RO Winstedt dalam karya A History of Classical Malay Literature, menentukan aliran bahasa Melayu Melaka sebagai teras pendidikan bahasa Melayu moden yang menjadi asas pendidkan bahasa sekarang – dan dengan jelas dan terang menentang aliran Bahasa Melayu-Jawi yang bergaluran daripada Pasai (yang digelarnya “aliran kitab”).
Selanjutnya, pada pertengahan abad ke-20, aliran ini dikuatkuasakan pula oleh sarjana daripada kalangan anak-anak bangsa yang telah diijazahkan oleh para orientalis daripada gedung ke‘ilmuan mereka. Mereka inilah yang kemudiannya menjadi pensharah bahasa, budaya dan sastera yang kemudian menerapkan pula falsafah, bentuk dan caragaya pendidikan, yang dilembagakan atau diinstitusikan dalam akademi pengajiannya, dewan bahasanya dan kurikulum pendidikan guru serta sistem sekolahnya.
Bahkan, dalam penghujung abad ke-20, iaitulah bermula dari tahun 80-an hingga kini, aliran bahasa Melayu Melaka bercampur Barat ini dikuatkuasakan lagi dengan para sarjana bahasa yang pulang daripada luar negara (baik dari negara Eropah, Amerika atau Indonesia) yang membawa teori dan bentuk “lebih moden” untuk bahasa Melayu, yang langsung tidak lagi meruju‘ wibawa tradisi ke‘ilmuan bahasa Melayu-Jawi sebelumnya.
Terpinggirnya tradisi ke‘ilmuan Bahasa Melayu aliran Pasai ini apabila muncul pula skim sasterawan lantikan negara yang akhirnya merebut dan mendudukki takhta wibawa bahasa Melayu kini – yang telunjuknya semua dinanti dan diikuti oleh “pejuang” bahasa masakini. Dalam keadaan serba-serbi perubahan demi perubahan yang cuba dilakukan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu, nyata kelihatan hayatnya semakin tenat dan mengesalkan. Perihal keda‘ifan bahasa Melayu kini dirangkumkan dalam sha‘ir pembuka dalam Risalah untuk Kaum Muslimin yang dimaktubkan di sini rupa Jawinya:
Penerbitan Risalah untuk Kaum Muslimin
Gambar Prof al-Attas sewaqtu sharahan Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, yang diterjemahkan ke bahasa Perancis oleh Denys Lombard. Sumber: https://www.persee.fr/doc/arch_0044-8613_1972_num_4_1_1020
Risalah untuk Kaum Muslimin ialah sebenarnya sebuah khutbah lisan Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang disuratkan oleh setiausahanya pada tahun Mac 1973, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – iaitulah pada tahun-tahun awal penubuhan universiti ini. Istimewanya antara tujuan utama penubuhan UKM ialah untuk menjadi madrasah besar yang khusus membawa bahasa watan, iaitulah bahasa Melayu, sebagai bahasa pengantar ‘ilmu. Cita-citanya ialah supaya Bahasa Melayu diangkat dalam bidang ke‘ilmuan tinggi juga sebagai wadah penyatuan warganegara terpelajar Malaysia. Pada waqtu itu, Prof al-Attas ialah Dekan Fakulti Sastera UKM, ya‘ni salah satu daripada tiga fakulti awal dan penting dalam penubuhan UKM, (selainnnya ialah Fakulti Sains dan Fakulti Pengajian Islam).
Jika digalurkan masa penerbitan Risalah ini, maka diperhatikan bahawasanya ia betul-betul setahun selepas sharahan profesor “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu” pada tahun 1972 – yang antara kandungan ialah penjelasan mengenai aliran Bahasa Melayu Pasai – yang digelar sebagai aliran “baharu”, berbanding aliran Melaka yang “lama”.
Seperti kata Prof al-Attas:
Aliran baru ini mempunyai sifat dan bawaan yang singkat serta kemas gayanya; menggunakan perbendaharaan kata serta istilah2 Islam; menyatakan dirinya sebagai bahasa bertata-lojika, bahasa pemikiran akliah yang mengutamakan analisa serta perbicharaan saintifik, bahasa yang banyak mengandung kesan pengaruh para penulis penggunanya-ahli2 tasawwuf, ulama dan golongan ilmiah lainnya dan para penterjemah dan pensharah-yang kesemuanya membayangkan pengaruh Al-Qur’an dalam menyanjung nilai penjelasan dan sifat akliah dalam pembicharaan, pertuturan, dan penulisan.
Adapun intipati utama falsafah aliran bahasa Melayu Pasai ini ialah gerak daya pengislaman kaum Muslimin di rantau Asia Tenggara yang menatijahkan sebuah bentuk bahasa baharu, beserta dengan tradisi persuratan dan ke‘imuan yang baharu. Prof al-Attas menjelaskan dengan panjang lebar bahawasanya Islam-lah akar-punca utama pertumbuhan peradaban Melayu baharu yang setara perkembangannya jika dibandingkan dengan perkembangan pemikiran di Eropah.
Shahdan, mengetahui dan meyaqini haqiqat sejarah ini, maka Prof al-Attas bercita-cita untuk membina sebuah institusi pendidikan tinggi persuratan, kebudayaan dan persuratan bangsa yang dimashhurkan namanya sebagai Institut Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu (IBKKM). Institut ini bakal menjadi pusat pengajian tinggi Melayu yang ulung seperti yang diungkapkan oleh beliau pada perenggan akhir sharahannya:
“Andaikata renungan yang terbayang di hadapan mata ilmiah saya ini dapat wujud menjelma sebagai suatu kenyataan yang benar ada, maka tiada mustahil bagi kita mewujudkan semula di sini, di Kuala Lumpur, suatu pusat ilmiah yang dahulu berkisar-kisar cahayanya menerangi Kepulauan Melayu-Indonesia; pertamanya di Pasai, dan kemudiannya di Melaka, di Ampel, di Acheh Andaikata ini benar berlaku kelak, maka dengan demikian kita telah mencamtumkan semula sejarah baru dan lama, mengikat dan mempererat semula tali perhubungan terus-menerus antara sejarah lama dan sejarah baru yang telah terputus itu.”
Menarik untuk diperhatikan tempoh masa antara sharahan Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972) dan khutbah lisan Risalah untuk Kaum Muslimin (1973) hanya berselisih satu tahun sahaja ini. Pada hemat saya, Prof al-Attas berjaya menzahirkan bakat sejati ke‘ilmuannya serta menatijahkan aliran bahasa Melayu dalam bentuk karangannya. Beliau telah menzahirkan renungan sejarahnya yang mendalam dalam bentuk tradisi ke‘ilmuan karang-mengarang ‘ilmuwan kebesaran bangsa.
Adapun bagi pembaca yang teliti, bahasa Melayu Prof al-Attas ialah bahasa yang istimewa ungkapannya kerana ialah buah yang tumbuh daripada akar tradisi ke‘ilmuan bahasa yang hampir hilang dalam perjalanan peradaban bangsa kita ini. Bahkan, jika ditimbang daripada bidang ‘ilmu bahasa Jawi, Prof al-Attas telah memanfa‘atkan banyak sekali juzu‘-juzu‘ ‘ilmu bahasa Jawi yang tidak lagi digunakan dalam tatabahasa Melayu moden. Bahkan, jika pembaca tidak terdedah dengan pembacaan naskhah Jawi tradisi, barangkali bahasa Risalah Jawi ini agak janggal.
Shahdan, setelah 40 tahun semenjak ia pertamamula diungkapkan, Risalah untuk Kaum Muslimin kini diperkenalkan kepada para pembaca budiman dengan rupabentuk tradisi ke‘ilmuan Bahasa Jawi (ringkasnya: Risalah Jawi). Istimewanya untuk penerbitan Risalah Jawi ini, Akademi Jawi Malaysia mencarakan bentuk hejaan Jawi Tradisi. Sesungguhnya, penerbitannya semula dalam tradisi ke‘ilmuan bahasa Jawi sangat penting pada sa‘at kini kerana ia diyaqini menjadi pemangkin kepada hayat kehidupan tradisi persuratan dan penyuratan Jawi yang hampir pupus diganti dengan aliran “lama” Melaka dan ditimbuni pula dengan tulisan Rumi yang dewasa ini menjadi penyata dirinya masakini.
Tradisi Ke‘ilmuan Bahasa Jawi dalam Risalah
Salah satu sifat bawaan aliran bahasa Risalah Jawi yang paling ketara ialah juzu’ kata bandungan dalam ‘ilmu gubahan ma‘na (balaghah) Jawi, yang gunanya untuk menggubah tebal dan quwwatnya ma‘na suatu kata, iaitu dengan menggabungkan dua kata yang semaqsud dan seerti, contohnya seperti yang telah dijawikan di bawah:
Jadual Kata Bandungan
yang diungkapkan dalam Risalah Jawi
Rumi | Jawi |
Keruh-kelam | کروهکلم |
Samar-keliru | سامر کليرو |
Dirubah-ganti | دروبهݢنتي |
Ditokok-tambah | دتوکوقتمبه |
Berpecah-belah | برڤچهبله |
Mencampur-adukkan | منچمڤورأدوقكن |
Bisik-pujukkan | بيسيقڤوجوقكن |
Pucuk-bibit | ڤوچقبيبية |
Meremuk-redamkan | مرموقردمکن |
Dikusut-kasaukan | دکوستکاسوکن |
Dalam jalan perbahasaan Risalah Jawi ini juga, Prof al-Attas menggunakan qa‘idah pengulangan dalam satu ayat bagi menegaskan beberapa ungkapan, contohnya seperti:
بتاڤ کرڤڽ،بتاڤ مسراڽ، بتاڤ مطلقڽ
Betapa kerapnya, betapa mesranya, betapa mutlaqnya...
هاروس تمڤق، هاروس جلس
Harus tampak, harus jelas...
Pengulangan ini jika diperhati, nescaya amat rapat dengan lagak bawaan bahasa Jawi tradisi. Lagak ulangan ini, amat menepati dengan segak dan kacak bahasa Melayu yang kadangkala menuntut pengulangan bagi menegas dan menyatakan maqsud yang ingin disampaikan. Daripada timbangan perbahasaan pula, pengulangan ini senghaja digunakan dengan bijaksana pada beberapa tempat untuk menarik pengamatan pendengar dan pembaca.
Penerbitan suatu kata menjadi bentuk pelbagai perkataan dengan gubahan tanggaman ialah satu lagi sifat istimewa yang digunakan oleh Prof al-Attas dalam jalan bahasa Risalah Jawi ini. Tidak salah kalau kita bandingkan dengan keteguhan ma‘na akar kata ‘Arab yang dijelaskan oleh ‘ilmu taṣrif, yang dalam tuntutan ke‘ilmuan, digunakan sebagai hujah bahasa dalam menghuraikan sesuatu faham oleh para ‘ilmuwan Islam.
Memerhatikan bakat bawaan bahasa Melayu yang sifat bawaannya memiliki rupa ‘ilmu taṣrif bahasa ‘Arab (dalam ‘ilmu bahasa Jawi dikenali ‘ilmu tanggaman, morphology), maka Prof al-Attas mengacukan bawaannya untuk menghurai faham “religion” Barat dengan perkataan “ايكة, ikat” dalam bahasa Melayu, seperti kata beliau:
.اصطلاح ريليڬيون (religion) برأصل دري ڤركتأن لاتين ريليڬيو (religiō) يڠ مڠندوڠ أُصول معنى
« مڠيكة »، دان ترهادڤ سيكڤ يڠ
« دإيكة » دان داسر٢
« ڤڠيكاتن » ايت سموا تيادا جلس تركندوڠ دالم اصطلاح ترسبوة. اكنتتاڤي دالم سجاره اڬام بارة، يڠ منجلسكن صفة اڬماڽ سبڬيمان دعالميڽ،
مک « ڤڠيكاتن » ايت دلاكوكن دڠن سچارا ڤقسأن اوله ساتو ڬولوڠن (ڤادري) ترهادڤ خلايق رامي يڠ سسڠڬوهڽ تيادا مريلاࢨڽ.
Nilai ‘aqliyyah yang menjadi teras aliran bahasa yang diwakili oleh Prof al-Attas ini tampak jelas dengan bentuk pengarangan “tanya-jawab” dan “jika-maka” pada beberapa bahagian Risalah Jawi ini. Bentuk pengarangan “tanya-jawab” dan “jika-maka” boleh di‘ibaratkan sebagai bentuk dialog dalam pengertian ‘ilmu Falsafah atau ‘ilmu Kalām. Mithalan di bawah sangat memadai untuk menzahirkan hal ini:
جكلو ادا يڠ برتاڽ، مڠڤاكه كامو مڠاكو بهوا ڤنچيڤتا ايت تيادا سام سڤرت چيڤتأنڽ، اتو خالِق ايت تيادا سام سڤرت مخلوقڽ،
مک كيت اكن جواب بهوا انديكات خالِق سام سڤرت مخلوقڽ نسچاي تنتوله دي ڤون كنا منمڤوه ڤراوباهن سام سڤرت يڠ دنيسبهكن كڤد مخلوقڽ، باࢨقڤون دالم سموا ڤركارا اتوڤون دالم سبهاݢين سهاج.
Sifat bawaan ‘aqliyyah aliran bahasa Melayu ini dapat dibuktikan lagi apabila Prof al-Attas banyak menghuraikan ta‘rif-ta‘rif penting sama ada dalam bentuk ḥaddī ataupun rasmī. Perkara ini dapat diperhatikan pada salah satu contoh di bawah iaitu, apakala Prof al-Attas menta‘rifkan istilah “manṭiq, منطق”:
...المنطق، ايت تيمبول دري ڤركتأن الناطق يڠ ممباوا معنى: « چارا مڽيمق دان مڽوسن دڠن ترتيب كات٢ حجة دالم سسوات ڤمبيچرأن مڠيكوة باوأن عقلية » دان ممڤوڽاࢨ توجوان باݢي «مڠموكاكن ڤنداڤة انتوق ممبوقتيكن صحڽ ڤنداڤة يڠ دكموكاكن ايت دري سݢي علميّة. »
Tidak lengkap jika hanya sifat ‘ilmiyyah itu sahaja yang ditonjolkan, kerana dalam Risalah Jawi ini, Prof al-Attas juga berhasil menunjukkan tauladan karangan yang indah yang mempunyai nilai tata-lojika yang tinggi jika diperhatikan sebagai tamthilan-pengajaran. Salah satu cerita yang mashhur ialah mengenai perihal Cintawan Handal.
Dalam perihal Cintawan Handal ini, “tata-lojika” bahasa dipersembahkan dalam rupabentuk sha‘ir yang dengan timbangan nahu yang hebat, sungguhpun diungkapkan dalam ayat lepas – nathar atau prosa. Untuk menzahirkan timbangan ini, lihat ungkapan cerita apabila dihaturkan dalam bentuk bentuk penyuratan di bawah:
چينتاوان هندل:
تكون بربقتي كڤد كاسيهسايڠڽ
مڠيكة ديري ڤد ڤرجنجين مورني
تڬوه برجنجي هيدوڤ برسام دالم سوک دان دوک
دمي مڠعملكن چينتاڽ سجاتي ايت.
Rangkapan ayat ini menzahirkan bentuk sha‘ir berselang pada bentuk jalan bahasa (nahu)nya, iaitu cerita Cintawan Handal ini diselang-selikan bentuk khabar-beritanya dengan berita
Nama Sifat (baris 01: tekun, تكون; baris 03: teguh, تݢوه); dan
Nama Perbuatan me- مـ (baris 02: mengikat, مڠيكة; baris 04: meng‘amalkan, مڠعملكن).
Selain daripada cerita di atas, wajar juga dipetik sebuah lagi cerita ringkas tetapi penting yang dimaktubkan dalam Risalah Jawi, untuk pembaca menilai sendiri keindahan mutu karangan Prof al-Attas dalam bahasa Melayu.
مک سماله عبارتڽ دڠن قصة سؤرڠ مريد يڠ برتڽاكن شَيخڽ مڠاڤ تيادا دي دناࢨقكن طرفڽ كدرجة يڠ لبيه تيڠڬي، سدڠكن سوده برڤوله٢ تاهون برڬورو دڠنڽ. شيخ منجواب سمبيل باڠون منچوريتكن ببراڤ تيتيق دتيمبوق دبلاکڠڽ: « واهي انقكو، چوب بريتاهو اڤ يڠ كوْ ليهة دسيني »، كتاڽ سمبيل مننجوق كڤد تيمبوق. « همب مليهة ببراڤ چوريتن تيتيق دسيتو »، جواب سي مريد. لنتس شيخ بركات: « كوْ هاڽ مليهة تيتيق تنڤا مليهة بيدڠ لواس تيمبوق يڠڤوتيه ملڤق اين؛ كوْ هاڽ ممندڠ ڤد نودا٢ كچيل، تيادا ڤد كڤوتيهن يڠ مليڤوتي ڤنداڠنمو؛ كوْ هاڽ عشيق ڤد ممنچيلكن يڠ باطل تنڤا مڠإقراركن حقّ يڠ ڽات تربنتڠ دهداڤنمو! مک درࢨت بهترا ڤلايارانمو دلاؤتن روحاني اكن سننتياس ترڬندالا ترساؤه چيتيق ڤد ڤنتي ڤرمولأن. »
Ringkasnya, Risalah Jawi ini benar-benar telah menampilkan semula tradisi ke‘ilmuan bahasa yang dibawa oleh ‘ilmuwan terbilang bangsa Melayu, yang hampir-hampir luput ditelan cabaran zaman moden. Aliran bahasa ini berhasil dihidupkan semula oleh seorang ‘ilmuwan masakini yang bukan sahaja tepat-benar memperihalkan tradisinya, bahkan berjaya mencarakannya dalam perbahasaan dan perbicaraan masakini, lebih-lebih lagi menjuarainya pula dalam gelanggang ke‘ilmuan, falsafah dan pemikiran – yang menuntut kequwwatan dan keperkasaan bakat bahasa itu.
Sanya sesungguhnya Risalah Jawi ini wajar menjadi pedoman dan tauladan, dibaca dengan tekun dan dikaji dengan teliti. Perbicaraannya yang mencakup keperluan pemikiran umat masakini; persuratannya yang menjelaskan haqiqat sebenar diri insani; dan penyuratannya mengikut lagak, segak dan kacak bangsa Melayu sejati – yang yang bergalur dengan ajaran, asuhan dan didikan baginda Nabī Muḥammad ṣallā Allahu ‘alayhi wa sallam.
Risalah Jawi ialah sebuah ramuan yang sangat baik sempurna dalam menghidupkan peradaban bangsa untuk gagah menghadapi cabaran masa akan datang. Sebagai penutup, ditampilkan sha‘ir Prof al-Attas yang menyatakan kebangkitan semula qawm Muslimin kita:
Risalah untuk Kaum Muslimin Jawi akan diterbitkan semula oleh Akademi Jawi Malaysia tidak lama lagi.
Untuk ma‘lumat lanjut, klik butang di bawah:
Untuk menempah, klik pautan di bawah:
Ada dua aliran rupanya.
Terbaik penjelasannya tentang aliran Pasai dan duduk-letaknya bahasa.