top of page

Bengkel Kefasihan Jawi di Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM


Pada 21 dan 22 Jun 2023, Akademi Jawi Malaysia telah mengadakan Bengkel Kefasihan Jawi di Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL), Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor.


Bengkel ini merupakan salah satu bentuk kerjasama yang baharu antara Akademi Jawi Malaysia dengan Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM. Matlamat utama bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan awal tentang qa‘idah menangani Koleksi Jawi yang tersimpan di PTSL.


Seramai 25 orang peserta telah menyertai bengkel ini, yang terdiri daripada pustakawan Perpustakaan Tun Seri Lanang, pustakawan dari perpustakaan cabang dan Muzium Warisan Akademik.


Pada hari pertama, peserta didedahkan dengan pengetahuan sejarah tradisi ke‘ilmuwan Bahasa Jawi dan pengenalpastian bahan-bahan Jawi. Mereka diberi peluang untuk merasai pengalaman mengendalikan naskhah-naskhah Jawi dengan melakukan pengkatalogan terhadap koleksi Jawi.


Adapun bahan yang dipilih untuk dikaji dalam bengkel ini adalah naskhah-naskhah Jawi dalam simpanan Koleksi Arkib dan Khas khususnya Koleksi Peribadi Harun Aminurrashid.


Pada hari kedua pula, para peserta diperkenalkan dengan huruf-huruf Jawi dan bentuk ejaan serta tanggamannya. Pengenalan ini penting bagi membolehkan mereka membaca naskhah Jawi tradisi dengan lebih sempurna.


Setelah para peserta didedahkan dengan kemahiran-kemahiran Jawi di atas, mereka perlu merencana beberapa bentuk pemasaran bagi setiap bahan yang dikendalikan sepanjang bengkel berlangsung. Rencana ini penting bagi memastikan karya-karya Jawi ini dapat diketengahkan dalam masharakat kini.


Semoga bengkel ini menjadi permulaan dan pemangkin kepada kelestarian tradisi Bahasa Jawi.





91 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page