Akademi Jawi Malaysia telah menyertai program khidmat antarabangsa, Pengabdian Internasional: Cultural and Scientific Exploration of Aceh Utara and Lhokseumawe Local Heritage anjuran Prodi Sejarah dan Kebudayaan Islam, Fakultas Adab dan Humaniora, UIN Ar-Raniry dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah Flagship Project Malay Medical Manuscripts, Kulliyyah of Allied Health Science dari 27 Februari hingga 2 Mac 2023.
Program ini juga disertai oleh peserta dari pelbagai institusi seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Persatuan Pendidikan Falsafah & Pemikiran Malaysia dan Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu & Islam.
Sambutan
Setibanya di bumi Aceh, wakil Malaysia disambut mesra oleh Bapak Dr. Ajidar dan Bapak Hermansyah dari UIN Ar-Raniry. Selepas makan malam di Banda Seafood, rombongan dibawa ke acara mengopi di Solong Coffee bersama Bapak Dr. Syarifuddin, dekan Fakultas Adab dan Humaniora.
Ke Lhoksuemawe
Pada 27 Februari 2023 sehingga 2 Mac 2023, perwakilan dari Malaysia, wakil kampus UIN bersama mahasiswa dari tiga prodi Fakultas Adab dan Humaniora telah melakukan pengabdian atau khidmat masyarakat di tapak sejarah kerajaan Samudera-Pasai di Lhoksuemawe.Sambutan dan pelepasan untuk program Pengabdian Internasional telah dibuat bersama Pak Mujiburrahman, Rektor UIN Ar-Raniry sebelum bertolak ke sana.
Kompleks Sejarah Kerajaan Samudera-Pasai
Khidmat masyarakat dimulakan dengan lawatan ke Kompleks Makam Sultan Malik al-Salih. Kompleks ini menempatkan 2 makam utama iaitu makam Sultan Malik al-Salih dan Sultan Malik al-Zahir dan makam lain sekitarnya. Penerangan berkenaan sejarah mereka telah dibuat oleh Persatuan Centre for Information of Sumatra-Pasai Heritage atau CISAH.
Aktiviti diteruskan dengan lawatan ke Kompleks Makam Batee Balee. Kompleks ini menempatkan makam 11 orang sultan kerajaan Samudera-Pasai. Khidmat dibuat secara bergotong-royong dengan membersihkan kawasan pemakaman. Para peserta didedahkan cara yang betul untuk membersihkan bahan sejarah juga cabaran yang dihadapi dalam pemuliharaan tapak sejarah.
Perjalanan diteruskan dengan melawat Muzium Islam Samudra Pasai. Muzium ini menempatkan bahan bersejarah yang berkaitan dengan kerajaan Samudera-Pasai seperti maklumat para sultan, replika batu nisan yang dihiasi dengan ukiran tempatan yang cantik, senjata tradisional masyarakat Aceh dan sebagainya. Lawatan ini meliputi perbincangan mengenai sejarah dan bahan sejarah kerajaan ini juga melihat kegigihan pihak CISAH bekerjasama dengan kerajaan dalam menjaga warisan sejarah mereka.
Dayah Pulo dan Pengajian Agama Tempatan
Program diteruskan dengan ziarah Dayah Pulo. Dayah ini dipimpin oleh Teungku Mustafa Muhammad Isa. Rombongan disambut mesra oleh para pengajar, santri dan santriwati. Di sini, khidmat dibuat meliputi kerja penjagaan manuskrip seperti membersihkan dan pemuliharaan manuskrip dan tatacara penkatalogkannya.
Dayah di sini tumbuh bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Perkembangan mereka sangat diambil berat oleh bahagian Direktorat Jenderal Pendidikan Islam, Kementerian Agama Republik Indonesia kerana Dayah merupakan benteng terakhir aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah di Aceh. Sukatan pelajaran mereka juga teratur mengikut peringkat pengajian daripada umum sehinggalah yang tertinggi sebelum menyambung pelajaran ke universiti.
Wakil Akademi Jawi Malaysia, Muhammad Farid Akram sempat menemuramah Teungku Mustafa berkenaan sejarah Dayah dan manuskrip yang disimpan di situ. Beliau menyatakan Dayah ini diasaskan oleh datuknya dan manuskrip itu diterima secara turun-temurun. Ia juga terkenal dengan pengajian ilmu falak dan Teungku sendiri ada mengarang penulisan berkaitan hal ini dengan judul Fiqih Falakiyah.
Muzium Lhoksuemawe
Muzium Lhoksuemawe menjadi tempat tuju terakhir rombongan sebelum pulang ke Banda Aceh. Sambutan dari pihak Majlis Adat Aceh Lhoksuemawe, Dinas Pariwisata dan Muzium Lhoksuemawe sangat meriah dan hangat. Rombongan diiringi dari pintu masuk hingga ke muzium dengan iringan kompang dan diadakan majlis peusijuek. Pihak muzium membawa tetamu melihat koleksi artifak yang tersimpan.
Banda Aceh tempat bersejarah
Pada 3 Mac 2023, perwakilan dari Malaysia dibawa melawat dan ziyarah ke beberapa tempat yang penting sekitar Banda Aceh. Tempat pertama dilawati ialah Muzium Tsunami Aceh. Muzium ini dibangunkan bagi memperingati peristiwa Tsunami yang melanda pada 26 Disember 2004. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai pusat penerangan dan pusat perlindungan bencana. Rombongan diiringi oleh bapak Syahrial Dee Lingom yang bertugas di muzium ini.
Terdapat satu perkara yang menarik sewaktu terjadinya peristiwa ini. Pulau Simuelue, sebuah pulau yang terdekat dengan pusat gempa ketika itu cuma mencatatkan korban seramai 7 orang sahaja. Hal ini kerana mereka berpegang kepada kearifan lokal yang mengatakan jika berlaku gempa, nampak air laut kelihatan surut maka perlu berpindah ke tempat yang tinggi. Ia diwarisi secara turun-temurun berkenaan bencana Tsunami atau smong dalam bahasa mereka.
Kemudian, lawatan disambung ke Muzium Aceh. Ia didirikan pada tahun 1915 dibawah pimpinan F.W. Stammeshous. Di sini rombongan berpeluang mendengar pengisian secara ringkas oleh bahagian arkib berkenaan koleksi manuskrip yang tersimpan juga melihatnya. Seterusnya, rombongan dibawa melihat artifak bersejarah yang berkaitan dengan Aceh. Gaya pameran mereka juga sangat tersusun dan menarik.
Perjalanan diteruskan dengan melawat Bandar Publishing, salah satu penerbit yang banyak menerbitkan buku tentang Aceh. Syarikat ini telah diasaskan pada tahun 2007. Rombongan disajikan dengan pelbagai judul yang menarik untuk dijadikan koleksi rak masing-masing.
Pada waktu yang sama, 3 orang wakil dari Malaysia iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Affendi Shafri selaku ketua perwakilan Malaysia dari UIAM, Amru Khalid Sazali, Kurator Muzium Pahang dan Muhammad Farid Akram dari AJM bersama Dr. Adli Abdullah, penulis buku Ma Bain as-Salatin (Adat Aceh) juga kakitangan khas Menteri Agraria dan Tata Ruang Indonesia ditemuramah oleh Sagoe TV, platform media yang juga bersama Bandar Publishing. Perbincangan tersebut berkisar cara membina kembali jambatan Selat Melaka dari Aceh khususnya ke Malaysia. Di kesempatan ini juga, mereka dapat berjumpa pengasas Bandar Publishing, Pak Mukhlis.
MAPESA dan Pemuliharaan Sejarah Aceh
Seterusnya, rombongan dibawa melawat MAPESA-Pedir Museum. MAPESA merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 2010 dan menjadi NGO yang diiktiraf pada tahun 2012. MAPESA ini singkatan kepada Masyarakat Peduli Sejarah Aceh.Matlamat mereka ialah menyajikan sejarah bumi Aceh yang pernah menjadi salah sebuah kerajaan besar dalam dunia Islam kepada generasi muda.
Rombongan disambut oleh Bapak Mizuar Mahdi al-Asyi dan warga MAPESA yang lain. Bapak Mizuar berkongsi akan matlamat MAPESA dalam menjaga bahan bersejarah terutamanya batu nisan para sultan yang tidak terjaga dan manuskrip sebagai bukti ketinggian tamadun yang bersandarkan kepada ilmu. Selain itu, mereka juga menceritakan cabaran sebagai NGO yang berusaha dengan keupayaan yang sangat terbatas untuk mempersembahkan sejarah kepada generasi muda.
Hari Terakhir
Pada 3 Mac 2023 juga hari terakhir, Prodi Sejarah dan Kebudayaan Islam (SKI) dari Fakultas Adab dan Humaniora (FSH), UIN Ar-Raniry telah mengadakan Kuliah Umum.Tiga orang pembentang dari Malaysia telah memberi kuliah berdasarkan tajuk masing-masing. Pembentangan pertama disampaikan oleh Prof Madya Dr. Mohd Affendi Mohd Shafri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan tajuk kajiannya Sultan-Sultan Melayu Menangani Wabak: Jumpaan Baharu Dari Warkah-Warkah Diraja. Kajian ini merupakan kerjasama beliau bersama En. Izmal Karim selaku Pakar Arkib, ADNOC Drilling Abu Dhabi.
Pembetangan kedua pula disampaikan oleh Dr. Maisarah Abdullah, pensyarah Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM). Beliau membentangkan kajian yang bertajuk Kajian Ciri-ciri Falsafah Sains Malayonesia dalam Manuskrip Perubatan Tibb Azimat dan Kitab Mujarrabat Melayu.
Pembentangan terakhir pula disampaikan oleh Dr. Rizwadi Azmi, pensyarah juga pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beliau membentangkan kajian bertajuk Keistimewaan Mushaf Al-Quran Terengganu.
Perbentangan diteruskan dengan sesi soal-jawab oleh para peserta dan diakhiri dengan pemberian cenderahati dan buku yang diusahakan oleh pensyarah Prodi SKI dan mahasiswa yang telah diterbitkan oleh Perpustakaan Nasional RI di Jakarta.
Penutup
Bumi Aceh dan Malaysia mempunyai sejarah yang sangat rapat dan panjang. Bahkan, tercatat dalam sejarah terdapat kerabat sultan dari kerajaan Perak dan Pahang pernah menjadi pemerintah Kerajaan Aceh satu ketika dahulu. Semoga hubungan yang terjalin kembali melalui program Pengabdian Internasional ini tidak terhenti setakat ini sahaja, bahkan dapat menjadi jambatan antara Aceh dan Malaysia dalam pelbagai perkara pada masa hadapan.
Akhir kata,
Bumi Aceh bumi bersejarah,
Menjadi saksi pada sejarah,
Hubungan terjalin tiada pisah,
Hati gembira tiada resah.
Comments