top of page

Kajang-Kajang Karangan Pendeta

Writer: Norziati Mohd RosmanNorziati Mohd Rosman

Sisi Pengarangan Pendeta Za‘ba

Tulisan Tangan Za'ba
Tulisan Tangan Pendeta Za‘ba

Peluang beberapa kali berulang-alik ke Arkib Negara Malaysia bagi membuat carian kepada koleksi Pendeta Za'ba selalu mendatangkan kesedaran yang mendalam pada diri. Melihat sendiri karangan yang dihasilkannya dan memegang kertas-kertas yang terkandung tulisan halusnya, terasa seolah-olah melihat sosok dirinya berada di hadapan mata, sedang menukilkan kalam-kalam berharga kepada anak bangsanya.


Koleksi Pendeta Za'ba tersimpan dengan baik di Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Universiti Malaya, khususnya di Perpustakaan Peringatan Za'ba ( Za‘ba Memorial Libary ). Di ANM, kita akan berpeluang melihat dokumen-dokumen bersifat peribadi yang cermat disimpan sepanjang hayatnya.Daripada koleksi ini, kita dapat mengesan beberapa perihal yang tersirat tentang keperibadian Pendeta Za'ba yang kurang diceritakan kepada khalayak khususnya kesungguhan beliau dalam usaha karang-mengarang.


Pertama, ketekalan Pendeta Za'ba dalam karang-mengarang begitu memberansangkan. Beliau menulis dalam pelbagai ruang majalah dan surat khabar, selain berutus surat ke ruangan pembaca bagi menjawab dan membalas karangan dan pandangan yang diutarakan. Dalam Majalah Guru misalnya, karya Za'ba tersiar hampir setiap bulan dari tahun 1925 hingga 1931, dikatakan sebanyak 143 karangan dihasilkan sepanjang 72 bulan. Menariknya, hanya dalam beberapa bulan, terdapat lebih dari satu karangannya yang disiarkan.


Terlintas di dalam hati, dari manakah datang daya tenaganya menghasilkan karangan-karangan sebanyak ini pada berkajang-kajang kertas?


Kedua, penguasaan Za'ba dalam pelbagai bidang cukup menyerlah. Karangan beliau bukan semata-mata berkait dengan bahasa Jawi, tetapi juga menyentuh keadaan ekonomi orang Melayu, bahasa dan perbahasaannya, kemajuan pendidikan, sejarah tanah air dan tokoh-tokohnya, perbahasan agama, falsafah dan pemikiran. Jika diteliti dengan sebaiknya dalam Majalah Guru, kami dapat mengesan Pendeta Za'ba juga menghasilkan karangan berbentuk cerita buat kanak-kanak, yang terdapat dalam beberapa keluaran. Keupayaan menghasilkan karangan dalam laras bahasa yang berbeza-beza ini suatu kelebihan yang jarang terdapat pada para ilmuwan masa kini.


Ketiga, selain penguasaan pada bahasa ibundanya, Pendeta Za'ba juga fasih berbahasa Inggeris dan bahasa Arab. Beliau bukan sekadar meletakkan asas kepada nahu bahasa Jawi malah menyusun nahu bahasa Melayu, menulis dengan lancar dalam bahasa Inggeris dan memahami nahu Arab dengan baik hasil dari pembelajarannya di sekolah. Natijahnya, beliau berkemampuan menterjemah karya-karya oleh pujangga besar dunia seperti William Shakespeare dan Mark Twain, juga sarjana kolonial seperti R.O Winstedt dan O.T Dussek. Ada kalanya Pendeta Za'ba menterjemah karangannya sendiri dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu atau dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris untuk bacaan pelbagai lapisan masyarakat. Dalam Majalah Guru, beliau menterjemah tulisan Shaykh al-Tantawi dari bahasa Arab ke bahasa Jawi dan tersiar dalam dua siri.


Keempat, kemahiran dalam bahasa Inggeris memberi peluang Pendeta Za'ba mendapat tempat dalam The Journal of Malayan Branch of the Royal Asiatic Society (JMBRAS), satu jurnal terampil yang selalunya menyiarkan karangan-karangan oleh sarjana yang bukan calang-calang kepakarannya. Terdapat lapan karangan beliau yang dikesan tersiar dan sebahagiannya berkenaan bahasa dan

persuratan. Kejayaan menerbitkan karangan tentang bahasa Melayu kepada kelompok sarjana dan pembaca bukan Melayu dalam JMBRAS menjadi satu ruang yang dapat dimanfaatkan dengan sesungguhnya oleh beliau.


Kelima, melihat tulisan tangan Pendeta Za'ba yang halus, kemas namun jelas dibaca melambangkan beliau seorang yang cermat dan berjimat-cermat. Paling ketara ialah pada cara Pendeta Za’ba menukilkan karangannya, yang semua dihasilkan dengan menulis tangan. Gaya tulisannya meskipun halus namun dapat dibaca dengan baik. Sekecil-kecil noktah pun akan jelas pada penglihatan pembaca. Beliau akan menggunakan hampir keseluruhan halaman kertas untuk

mengarang buah fikirnya; supaya dapat menulis dengan panjang lebar dengan memaksimumkan penggunaan ruang agar penyampaiannya difahami dengan lebih sempurna. Malah gaya tulisannya juga konsisten dari ayat pertama hingga ayat terakhir, tidak berubah-ubah seperti orang yang kelelahan menulis tangan.


Hasil pemerhatian kepada karangan-karangan Za'ba ini menyerlahkan hakikat terhadap satu bidalan nukilannya yang menggambarkan kekayaan tinggalan karangan-karangannya yang diwariskan kepada anak bangsa:


Harta saudagar di uncang-uncang emas.


Harta pujangga di keping-keping kertas.


Semoga dapatlah kita menekuni dan menelaah dengan hemat karangan-karangan Pendeta Za'ba yang masih elok tersimpan supaya dapat difahami nilaian "harta" yang tersimpan pada keping-keping kertasnya.



Rujukan:

Abdullah Hussain & Khalid M. Hussain, Pendeta Za'ba Dalam Kenangan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000)


Adnan Hj. Nawang, Za'ba dan Melayu Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd, 1998)


Siti Hawiyah Manan, "Koleksi Surat Persendirian Zainal Abidin Bin Ahmad (Za’ba) Dalam Simpanan Arkib Negara Malaysia," dalam MUNSYI, Jurnal Pengajian Sejarah, Vol. 2 No. 1, 2024 (21-36)


Zainal Abidin bin Ahmad, Ringkasan Riwayat Hidup al-Khulafa’ al-Rashidin (Kuala Lumpur: Akademi Jawi Malaysia, 2024)


 

Karangan ini adalah pandangan peribadi pengarang. Ia tidak semestinya mencerminkan pandangan dan pegangan Akademi Jawi Malaysia.









Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page