top of page

5 Pesan Penting Berkenaan Puasa, Za‘ba



Tokoh Bahasa Melayu Pendeta Zaba


Za‘ba – adalah nama yang tidak asing lagi dalam negara kita.

Sumbangan beliau yang besar kepada perkembangan bahasa itulah yang telah memasyhurkan namanya dalam lakaran sejarah.

 

Sebenarnya beliau tidak hanya menumpukan tenaga pada hal bahasa sahaja. Haqiqat ini dapat kita temui dalam karangan-karangannya yang membahathkan bermacam jenis masalah. Khususnya yang berkaitan dengan kemajuan bangsa Melayu.

 

Sebabnya, memang latar dan suasana pada zaman itu – khususnya pada era dekad 30-an sehingga 50-an –rata-rata cenderung untuk membicarakan perihal kebangsaan.

 

Jadi, banyak perbicaraan Za‘ba pada waqtu itu yang dapat kita manfaatkan sebagai renungan pula terhadap keadaan bangsa kita sekarang ini.


Apa yang menariknya, garapan buah fikiran beliau itu turut menyentuh perihal keagamaan.

 

Iaitulah seperti yang boleh dibaca dalam judulnya, Asuhan Budi.

 

Namun, bicara agama beliau ini tidak mengupas perihal halal haram, melainkan lebih kepada nasihat dan teguran terhadap cara bangsanya beragama – renungan dan gaya bahasanya dalam menyampaikan pesan itulah yang amat menggoncang jiwa.

 

Kita renungkan bersama, 5 pesan penting berkenaan puasa yang terkandung dalam buku yang berjudul Asuhan Budi yang dikarang oleh Za‘ba: 1.Tujuan berpuasa

 

Beliau telah menyimpulkan beberapa tujuan yang utama bagi berpuasa.

Bahawasanya berpuasa bukan seqadar menahan lapar semata-mata tetapi tidak memahami tujuan suruhan berpuasa.

 

"Pendeknya, puasa itu dikehendakkan ialah supaya meringankan hati dan badan berhadap kepada Tuhan; supaya mencederungkan diri yang di sebelah dalam itu kepada perasaan yang lebih bersih dan lebih hening jernihnya; supaya dengan demikian orang yang berpuasa itu lebih mudah berlatih mengingat Allah dan mengingat perkara-perkara yang lebih tinggi dan mulia daripada hal-hal dunya yang tiada kekal ini sahaja, dan akhirnya supaya dengan ingatan demikian, dapat tertarik dirinya ke atas naik kepada darjat kesempurnaan yang lebih tinggi dan lebih mulia pula. Itulah tujuan berpuasa yang terutamanya sekali."  – m/s 186, Asuhan Budi

 

Beliau mengingatkan lagi bahawa berpuasa itu adalah bagi mengasuhkan taqwa dan membaiki keadaan ruhani diri.

Seperti yang beliau katakan;

 

"Malangnya banyak orang-orang kita berpuasa hanyalah dengan fahaman yang tidak mengendahkan tujuan membaiki ruhani ini. Mereka pentingkan dengan sekeras-kerasnya pihak kulit-kulit puasa, dan tiada mereka ambil tahu tentang isinya ya‘ni kesempurnaan tujuan-tujuan yang dikehendakkan 0leh Tuhan itu." –  m/s 190, Asuhan Budi

 

2. Pesan tentang kelebihan berpuasa

 

Selain membicarakan tujuan-tujuan berpuasa itu, beliau turut merenungkan faedah-faedah dan kelebihan-kelebihan suruhan berpuasa.

 

Dan menariknya, dalam renungannya itu telah diselitkan sekali teguran yang tajam.

 

"Kemudian ada pula kebajikannya pada pihak badan yang berdaging darah ini. Orang yang tak pernah berpuasa dengan suka hatinya itu, ghalibnya tiada tahu menyekat tekak dan seleranya. Ia selalu hendak makan minum hingga sekenyang-kenyangnya sahaja baharu berhenti, dan seboleh-bolehnya pula sentiasa hendak makan makanan yang sedap-sedap sahaja. Maka perbuatan demikian apabila diikutkan selalu-selalu, tetaplah mudarat kepada perut, kepada badan, dan kepada kesihatan." – m/s 187, Asuhan Budi

3. Pesan meninggalkan ‘adat yang bukan agama

 

Beliau juga telah memuatkan beberapa teguran terhadap ‘adat masyarakat pada waqtu itu yang menurutnya, bukanlah berasal daripada dalil agama.

 

Antaranya adalah tentang ‘adat:

 

" ‘Adat memberi zakat fitrah kepada tuan guru dan orang ‘alim sahaja dan haji-haji lebai sahaja, kerana mereka lebih hampir kepada kerja-kerja agama dan oleh itu dipercayakan do‘a mereka lebih maqbul." – m/s 187, Asuhan Budi

 

 

4. Renungan ‘amalan berpuasa masyarakat pada zamannya

 

Antara kelebihan Za‘ba adalah kehalusan pemerhatian dan teguran yang dibuat ke atas bangsanya. Tegur-teguran ini disampaikan dengan begitu pedas. Ianya sudah tentu menimbulkan rasa gesaan yang kuat di kalangan pembacanya; baik itu gesaan menegur orang lain mahupun mengubah sikap dalam diri.

 

"Dalam pada itu, ada pula setengah orang yang berpuasa, tidur sahaja kerjanya pada siang hari. Bangun sembahyang Zohor, kemudian tidur lagi! Demikianlah sehingga waqtu ‘Asar dan sampai waqtu berbuka. Maka puasa yang demikian tiadalah apa kelebihannya, kerana tidak ada melalui kepayahan dan dugaan, melainkan dapat sempurna dengan tenang sahaja di dalam tidur, tak payah melawan hawa nafsu lagi. Kecualilah barangkali ada ma‘afnya jika banyak berjaga malam kerana ‘ibadat." – m/s 188-189, Asuhan Budi

 

Dan lagi, dalam pemerhatian yang beliau catatkan selepas sebulan berpuasa dan berhari raya pada tahun 1952;

 

" Dalam pada itu bagi mereka yang berpuasa pun ada juga didapati antara kita yang tidak menunjukkan shukur atas cara seperti yang diisharatkan itu; hanya shukur mereka ditunjukkan dengan bersuka-suka, tetapi biasanya bukan suka sebab telah berjaya menyempurnakan perintah Tuhan atau sebab Tuhan telah mengurniakan kekuatan bagi menyempurnakannya itu, melainkan ialah bersuka-suka sebab telah terlepas daripada rantai puasa." – m/s 197, Asuhan Budi

 

 

5. Pesan supaya tidak membazir

 

Antara pesan yang seringkali ditekankan dalam banyak karangan beliau adalah tentang sikap boros dan pembaziran sesetengah orang dalam masyarakat kita.Perhatikanlah petikan kata-kata beliau ini;

 

"Dan lagi, kerapkali makan minum bulan puasa itu melorongkan mereka bertambah banyak belanja membeli-belah dan menyediakan makanan-makanan bagi menjamu diri hingga lebih daripada patut. Maka menambah boros dan menambah peluang bagi bersedap-sedap itu bukanlah tujuan yang dikehendaki bagi berpuasa itu."  – m/s 195, Asuhan Budi

Demikian itulah sedikit sebanyak bicara Za‘ba tentang puasa dalam bukunya Asuhan budi.  

 

Pemerhatian, renungan dan teguran beliau ini seharusnya tidak kita abaikan. Bahkan lebih mustahak lagi untuk ditekuni.

 

Lebih-lebih lagi dalam suasana bangsa kita sekarang ini yang nampaknya tidak jauh beza dengan suasana sewaqtu Za‘ba menyampaikan tegurannya.

 

Dan sebenarnya, masih banyak lagi sisi-sisi dan pesan-pesan tentang keagamaan yang dibicarakan pendeta Za'ba dalam buku Asuhan Budi ini.

 

Pendeknya, buku ini mustahaq dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat supaya dapatlah ia membangkitkan kesedaran yang tinggi untuk memperbaiki diri.



Buku Za'ba


 


Dapatkan judul ini untuk mengetahui

lebih lanjut tentang

 pemikiran Za‘ba



 
 
 

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page