Bahasa dan Bangsa dari Sudut ‘Ilmu Jiwa
- Wan Mohd Aimran Wan Mohd Kamil

- Oct 15
- 4 min membaca
Updated: Oct 15

Pernahkah kita memahami sedalam-dalamnya slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” yang selalu disebut-sebut, khususnya ketika Bulan Bahasa Kebangsaan diraikan pada setiap bulan Oktober?
Apakah maksud sebenar “Bahasa Jiwa Bangsa”? Apakah slogan ini semata-mata merujuk kepada ikatan bangsa terhadap bahasanya ataupun ikatan bahasa terhadap bangsanya?
Menurut Yusoff Zaky Yacob (1925-1999), antara ahli ilmu jiwa (psikologi) Melayu yang terawal dan ilmuwan yang banyak berkarya dalam bidang persuratan dan terjemahan, slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” mengandung maksud yang sangat mendalam dan besar ertinya kepada kita.
Siapakah Yusoff Zaky Yacob?
Yusoff Zaky Yacob lahir dalam kalangan keluarga yang kuat pegangan agama di Kota Bharu, Kelantan pada 13 Jun 1928. Selepas tamat pelajaran di peringkat rendah, Yusoff Zaky menyambung pengajian di American University at Cairo (AUC), sebuah universiti yang berprestij di Kaherah antara tahun 1949 dan 1955. Di sana, beliau menguasai bahasa Arab dan English dengan baik selain giat mengarang dan menterjemah dalam pelbagai bidang. Sebaik tamat pengajian, Yusoff Zaky pulang ke tanah air dengan keazaman untuk terus melibatkan diri dalam bidang penulisan dan penerbitan.
Yusoff Zaky kemudian mengasaskan syarikat penerbitan dan percetakan yang dikenali sebagai Pustaka Dian. Salah satu penerbitan utama Pustaka Dian ialah daiges atau majalah bulanan berjudul “Dian Daiges” yang amat terkenal sekitar 1960-an hingga 1970-an. “Dian Daiges” menghimpunkan tulisan yang membicarakan perihal sosio-politik yang ketika itu berdiri sebaris dengan majalah “Mastika” yang diterbitkan oleh syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. Pustaka Dian turut menerbitkan surat khabar “Mingguan Kota Bharu”, dan buku-buku hasil tulisan Yusoff Zaky sendiri yang merentasi pelbagai bidang seperti psikologi, falsafah dan agama. Antaranya judul buku tersebut ialah “Saikologi Rumaja”, “Saikologi Kanak-kanak”, “1001 Masalah Jiwa Manusia”, “Falsafah Revolusi”, dan “Menuju Revolusi Islam” yang dicetak sama ada dalam Jawi mahupun rumi.
Tafsiran Yusoff Zaky Yacob dari sudut ilmu jiwa
Oleh keahliannya dalam bidang ilmu jiwa, Yusoff Zaky telah membuat tafsiran mendalam terhadap slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Perbahathan beliau terhadap slogan ini disampaikan dalam satu ceramah radio yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1957. Kami simpulkan lima perkara yang menjadi teras utama syarahan radio Yusoff Zaky.
Pertama, slogan ini menggambarkan satu kesepakatan antara ilmu jiwa dan bahasa yang tidak dapat dipisahkan daripada insan (bangsa) yang menuturkannya:
“Cogan kata Dewan Bahasa dan Pustaka sekarang yang berbunyi "Bahasa Jiwa Bangsa" dan pepatah lama orang tua-tua kita yang berbunyi "Bahasa Menunjukkan Bangsa" adalah keduanya merupakan kata-kata hikmat yang mengandungi suatu tafsir yang tepat dan sesuai dengan pendapat ilmu jiwa tentang perhubungan bahasa dengan suatu bangsa dan tentang kepentingan bahasa kepada suatu bangsa.”
Kedua, slogan ini tidaklah sewenang-wenangnya menggambarkan kualiti bangsa adalah bergantung kepada kualiti bahasanya, sebaliknya mengandungi kesan yang lebih luas dan mencapah:
“Bahasa jiwa bangsa bukanlah sekadar bererti bahawa menjadi tinggi atau rendah darjat suatu bangsa itu adalah terhenti di atas tinggi atau rendah darjat bahasanya, tetapi maksud cogan itu adalah lebih dalam dan lebar lagi dari pengertian yang tersebut.”
Ketiga, slogan ini merupakan hakikat dan kebenaran yang sangat mendalam, bahawa bahasa melambangkan jiwa dalaman insani, pemikirannya dan peradaban insan yang menuturkannya.
“Cogan ini yang sebenarnya bermaksud menyatakan kepada kita suatu hakikat yang besar iaitu bahasa itu adalah gambaran dari jiwa, akal dan akhlak suatu bangsa, kerana bahasa itu adalah himpunan atau kumpulan kata-kata yang membayangkan segala macam perasaan dan emosi yang dialami oleh jiwa suatu bangsa, segala rupa fikiran yang lalu lintas di dalam akal mereka, segala jenis pengalaman yang didapati di dalam hidup mereka, segala jenis kepandaian yang dipelajari dari masyarakat mereka, segala sikap yang didapati dalam hidup, segala sikap mereka terhadap sesuatu dalam alam ini dan segala akhlak yang dipuja dan dikutuk oleh mereka. Melihat kepada peranan bahasa yang besar inilah maka setengah ahli-ahli jiwa pernah berkata bahawa bahasa itu akal suatu bangsa.”
Keempat, oleh kerana bahasa adalah cerminan bangsanya, keluasan jiwanya dan perilakunya, maka bahasa menggambarkan sikap dan nilai seorang penulis dan apa yang ditulisnya.
“Kalau dari bahasa kita dapat mengukur darjah pemikiran, darjah keluasan jiwa dan darjah akhlak suatu bangsa, maka dari bahasa juga kita dapat mengukur peribadi dan jiwa seorang sasterawan atau seorang penulis. Kalau kita ingin mengenal peribadi seorang penulis maka carilah kata-kata yang selalu diulang di dalam tulisannya, kerana dia tidak akan mengulang kata-kata ini kalau tidak dia didorong oleh perhatiannya yang berat terhadap pengertian yang tertentu kata-kata ini. Kalau kita ingin mengenal peribadinya lebih jauh maka perhatikanlah gaya tulisannya, lenggang pengucapannya adakah dia membawa irama yang duka, gembira, lemah, bersemangat, yakin, sangsi, sombong, merendah diri, menceroboh, pengecut, pengampu, kerana seorang penulis itu tidak akan hanyut dalam satu gaya dan lenggang kalau tidak digendang dan dilagukan dari dalam jiwanya. Tegasnya, gaya tulisan seorang sasterawan itu ialah lagu pujaan jiwanya yang dinyanyikan dengan diam-diam dan sunyi.”
Kelima, untuk melihat lebih jauh lagi keluasan nilai seorang penulis, kita perlu melihat kepada dasar yang dibicarakan dalam penulisannya, yang seharusnya disampaikan dengan lunak dan sederhana, tidak dibuat-buat, lebih hidup dan dipersembahkan dengan yakin dan jujur.
“Kalau kita ingin mengenal jiwa seseorang penulis lebih luas dari tadi maka perhatikanlah mauduk atau pokok perbicaraannya yang ditulis dengan cara yang bersahaja tidak ditekan-tekan atau dipaksa, kerana dia tidak akan memilih mauduk ini kalau tidak mendapat perhatian yang berat dari jiwanya. Tegasnya, kata-kata, gaya dan mauduk yang dipilih oleh seorang penulis adalah cermin yang boleh menggambarkan warna peribadinya. Dengan ukuran inilah juga kita dapat memilih dan mengenal peribadi tiap-tiap orang yang pernah bertemu ramah dengan kita. Inilah tafsir pengertian "Bahasa Jiwa Bangsa" yang dianalisa dengan ringkas mengikut tinjauan ilmu jiwa.”
“Bahasa Jiwa Bangsa” bukanlah semata-mata sepotong ayat yang diangkat sebagai slogan. Bagi sebuah negara yang baru merdeka, slogan ini adalah satu peringatan bahawa kemerdekaan yang kita kecapi bukan semata-mata berunsur politik, sebaliknya dengan aturan kebudayaan dan kerohanian, maka dapatlah kita bebas dari belenggu dan perhambaan manusia, dan bahasa itulah yang menjadi suara penyatuan dan pintu kepada jiwa yang tidak lagi terkurung.
Tahun 2025 ini kita meraikan kelahiran ke seratus tahun Yusoff Zaky Yacob (1925–1999), dan perbahathan “Bahasa Jiwa bangsa” yang didasari oleh ilmu jiwa seharusnya membawa kita lebih dekat kepada hakikat dan jati diri kita sebagai anak Malaysia.
Baca lebih lanjut tulisan Yusoff Zaky Yacob berjudul “Bahasa dalam Tinjauan Ilmu Jiwa” yang disiarkan dalam Majalah Qalam, September 1957: Bahasa dalam Tinjauan Ilmu Jiwa
Karangan ini adalah pandangan peribadi pengarang. Ia tidak semestinya mencerminkan pandangan dan pegangan Akademi Jawi Malaysia .
Mahu mengetahui lanjut tentang bahasa?
Dapatkan Siri Pengenal: Badan Bahasa dan Persuratan



Komen