top of page

سڤولوه ڤمولا علم بهاس جاوي

Updated: 22 Dis 2022

Sepuluh Pemula ‘Ilmu Bahasa Jawi


كتاهوࢨ اوليهمو هاي ڤنونتوت، اداله بهاس جاوي ايت سبواه بيدڠ علم.


شهدان، سباݢاي سبواه بيدڠ علم، اداله اي سڤولوه ڤركارا يڠ مولا٢ ڤرلو دكتاهوࢨ.


١. نماڽ

علم بهاس جاوي، كران ڤربيچارأنڽ مڠناࢨ سلوروه بيدڠ علم بهاس، بوكن سقدر هيجا مڠهيجا اتاو توليس منوليس.


٢. تعريفڽ

يعني علم يڠ منرڠكن جالن بهاس ڤرسورتن ملايو يڠ دسورتكن دڠن حروف عرب يڠ دملايوكن.


٣. چابڠڽ

انم بيدڠڽ، ياࢨت برمولا درڤد ١) فلسفه دان سجارهڽ؛ ٢) حروفڽ؛ ٣) تڠݢامنڽ؛ ٤) جالن بهساڽ؛ ٥) ݢوباهن معناڽ؛ ٦) مڠارڠڽ


٤. فائدهڽ

دڠن ڤڠتاهوان علم اين، مک كراڠن بهاس ڤرسورتن ملايو اكن منجادي لبيه سجاتي دان سجادي؛ دان فاࢨدهڽ جوݢ داڤت مننتوكن بچأن يڠ تڤت باݢي كراڠن بهاس ملايو جاوي.


٥. كدودوقكنڽ

اياله ڤمولا اونتوق مڠتاهوࢨ كسموا كندوڠن يڠ ترداڤت دالم كراڠن بهاس ملايو جاوي


٦. كلبيهنڽ

داڤت مڠنلكن سسؤرڠ اكن معنى ديري، فلسفه دان كعلموان بڠسا ملايو يڠ دبينا برترسكن تمدُن إسلام.


٧. ڤڠاسسڽ

برمولا اي درڤد حمزة الفنصوري (أبد كسڤولوه هجره\كأنم بلس مسيحي) يڠ ترأول مڠارڠ بهاس جاوي سڤرتي يڠ دكتاهوي كيني دان درڤد راج علي حاج (أبد كتيݢ بلس هجره\كسمبيلن بلس مسيحي) يڠ ڤرتام مڠاتورڽ منجادي سبواه بيدڠ كعلموان.


٨. ڤرلو تيدق بلاجرڽ

بهكن اياله كڤرلوان اونتوق ڤنونتوت علم بهاس، سجاره دان تمدُن ملايو.


٩. سومبر٢ڽ

سومبر٢ڽ اياله كتاب٢ كعلموان بهاس جاوي سرة بهاس عرب دان ݢالوران درڤد ڤرتوتوران اورڠ ملايو.


١٠. ڤڠأخيرانڽ

علم اين أخيرڽ اكن مڽمڤرونا كراڠن دان ڤمبچأن بهاس ملايو جاوي.


Ketahui olehmu hai penuntut, adalah Bahasa Jawi itu sebuah bidang ‘ilmu.


Shahdan, sebagai sebuah bidang ‘ilmu, adalah ia sepuluh perkara yang mula-mula perlu diketahui.


1. Namanya

‘Ilmu Bahasa Jawi kerana perbicaraannya mengenai seluruh bidang ‘ilmu bahasa, bukan seqadar eja-mengeja atau tulis-tulisan sahaja.


2. Ta‘rifnya

Ya‘ni ‘ilmu yang menerangkan jalan bahasa persuratan Melayu yang disuratkan dengan huruf ‘Arab yang dimelayukan.


3. Cabangnya

Enam bidangnya, iaitu bermula daripada 1) falsafah dan sejarahnya; 2) hurufnya; 3) tanggamannya; 4) jalan bahasanya; 5) gubahan ma‘nanya; 6) mengarangnya


4. Fa‘idahnya

Dengan pengetahuan akan ‘ilmu ini, maka karangan bahasa persuratan Melayu akan menjadi lebih sejati dan sejadi; dan fa‘idahnya juga dapat menentukan bacaan yang tepat bagi karangan Melayu-Jawi.


5. Kedudukannya

Ialah pemula untuk mengetahui kesemua kandungan yang terdapat dalam karangan Bahasa Melayu-Jawi.


6. Kelebihannya

Dapat mengenalkan seseorang akan ma‘na diri, falsafah dan ke‘ilmuan bangsa Melayu yang dibina berteraskan tamaddun Islam.


7. Pengasasnya

Bermula ia daripada Ḥamzah al-Fanṣūrī (Abad ke-10 Hijrah/ke-15 Masihi) yang terawal mengarang Bahasa Jawi seperti diketahui kini dan daripada Raja ‘Alī Ḥāji (Abad ke-13 Hijrah/ke-19 Masihi) yang pertama mengaturnya menjadi sebuah bidang ke‘ilmuan.


8. Perlu-Tidak Belajarnya

Bahkan ialah keperluan untuk penuntut bahasa, sejarah dan tamadun Melayu.


9. Sumber-sumbernya

Sumbernya ialah kitab-kitab ke‘ilmuan Bahasa Jawi serta Bahasa ‘Arab dan galuran daripada pertuturan orang Melayu.


10. Pengakhirannya

‘Ilmu ini akhirnya akan menyempurna karangan dan pembacaan bahasa persuratan Melayu-Jawi.

154 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page