Pengetahuan mengenai sejarah bukanlah berma‘na mengetahui setiap rinci dan butir setiap perkara yang berlaku pada masa silam. Ini tidak sahaja kerana mustahilnya pengetahuan yang terperinci sebegitu, tetapi juga sifat ‘ilmu itu sendiri yang melibatkan ma‘na dan keberma‘naan sesuatu yang diketahui.
Butir dan rinci pada sukatan yang sesuai perlu disusunatur dan dihubungjalinkan sehingga dapat menjelmakan gambaran ma‘na yang jelas dan tekal. Begitulah halnya dengan orang yang sedang menempuh sejarah.
Walaupun dia sedang meng‘alami dan menyaksikan setiap butir-rinci hal yang bakal menjadi “fakta” sejarah pada masa hadapan itu, dia mungkin tidak menyedari langsung bahawa dialah yang sedang menempuh suatu peristiwa bersejarah. Iaitulah pada masa hadapannya akan diraqamkan dalam sejarah peradaban yang panjang – sebagai suatu mercu tanda ketamadunan insan.
Hanya insan yang dianugerahkan baṣīrah dan ḥikmah serta ilhām Ilahi sahajalah yang dapat menyaksikan haqiqat ini dengan sejelas-jelasnya; berupaya bertindak sewajarnya; dan seterusnya berkemampuan untuk menerangkannya pula kepada orang lain untuk terlibat sama dalam pembentukan sejarah yang sedang berlaku itu.
Risalah dan Islam and Secularism
Risalah Untuk Kaum Muslimin oleh Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, ialah karangan seorang tokoh ‘ilmuwan terkemuka tanah air dan antarabangsa yang menepati ciri yang disebutkan secara ringkas tadi.
Keistimewaan karangan ini terkandung pada isinya yang meliputi perbahathan dan ma‘na yang sejagat (universal) sifatnya; bahkan pada masa yang sama ditujukan kepada khalayak yang khusus pula, iaitulah untuk kalangan pembaca dan penutur bahasa Melayu.
Prof. al-Attas terkenal di persada antarabangsa terutama sekali daripada karangan agungnya yang berjudul Islam and Secularism, yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1978. Dalam catatan penulis untuk penerbitan edisi pertamanya, Prof. al-Attas menyatakan bahawa,
“The present book is the development of ideas contained in the many paragraphs of another book in Malay entitled: Risalah Untuk Kaum Muslimin, which I wrote and completed during the first few months of 1974. Due to many circumstances which demanded my attention at home and abroad, however, the Risalah has not yet been sent to the press.”
Risalah yang dimaqsudkan ini akhirnya diterbitkan pada tahun 2001 atas anjuran bersungguh-sungguh Profesor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dan penerbitannya diuruskan oleh para sarjana dan felo penyelidik di ISTAC pada waktu itu yang nama-nama meraka tercatat dalam prakata Risalah ini:
“Kata-kata ini telah saya mulai pada awal tahun 1973 dan akhiri dengan perenggan 74 pada bulan Mac tahun itu, dibiarkan sahaja tanpa terusan. Ini disebabkan oleh perasaan saya dewasa itu bahawa banyak perkara yang dihurai serta dibincangkan dalam Risalah ini bukan sahaja penting bagi bangsa kita, bahkan bagi Kaum Muslimin sedunia, kerana permasalahan yang terhurai dalamnya itu mengenai masalah kekeliruan mendalam yang sama sedang dideritai oleh Kaum Muslimin di merata dunia. ... Ternyata sekali kepada saya bahawa faham-faham yang terkandung serta terbayang dalamnya, yang merangkumi saujana luas yang terumus di situ dan yang belum pernah terlintas dalam renungan dewasa itu dan yang lampau, telah jauh mendahului masanya sehingga pelaksanaan kefahaman serta kesedaran mengenai kenyataannya memang luput dari pencapaian.” (penegasan oleh saya sendiri)
Jelas sekali bahawa khalayak pembaca berbahasa Melayu, seharusnya mengamati dan menginsafi akan beberapa keistimewaan yang ada pada mereka, iaitulah yang terkait dengan Risalah ini.
Apatah lagi kandungannya yang diolah semula dalam bahasa Inggeris dengan buku Islam and Secularism itu yang kini menjadi karangan besar yang amat berpengaruh dalam kalangan sarjana dan pemikir pelbagai bidang. Bahkan daripada karya Islam and Secularism ini, gagasan “universiti Islam” telah mendapat pengi‘tirafan pelbagai pihak, seperti The Cranlana Programme di Australia yang menyenaraikan Profesor al-Attas sebagai salah seorang sarjana dunia yang menyumbang kepada pembentukan idea-idea besar dan berpengaruh dalam membentuk masharakat yang bertamadun.
Oleh itu, amatlah janggal dan meng‘aybkan sekiranya penghargaan dan pengi‘tirafan seumpama ini hanya datang daripada pihak luar, sedangkan masharakat yang sebangsa, sebahasa, sebudaya dengan tokoh ini seakan-akan mengabaikan sahaja keberadaan beliau di sini serta tidak ketahuan dalam memberikan pengi‘tirafan yang ‘adil dan benar.
Pengi‘tirafan
Pengi‘tirafan yang sebenar-benarnya, bukanlah semata-mata dengan memberikan anugerah-anugerah dan mera‘ikan beliau seperti biduan terkenal layaknya, akan tetapi iaitulah dengan menekuni, menela‘ah dan memahami buah-buah fikiran beliau daripada pelbagai karangan beliau itu menerusi para sarjana yang sekian lama berdamping bersuhbahan, dan terbentuk daripada didikan beliau.
Malah, perlu difahami juga bahawa gagasan yang besar seperti ini tidak seharusnya ditela‘ah dengan terburu-buru, tetapi dengan kesabaran berdikit-dikit dalam menyelam lautan ma‘na yang terkandung dalam buah-buah fikiran beliau; bermuhasabah dalam memahami keadaan diri dan realiti zaman yang sedang dihadapi; seterusnya meletakkan diri pada tempat yang sewajarnya dalam meneruskan usaha menzahirkan niat dan tujuan yang dihuraikan dan dibayangkan beliau dalam karangan-karangannya itu.
Sesiapa yang biasa menela‘ah dan menekuni karya-karya Prof. al-Attas ataupun biasa mengikuti sharahan-sharahan beliau dengan ikhlas, tentu dan pasti dapat menyaksikan betapa huraian dan ungkapan kata, hujah dan penjelasan yang dihidangkan itu amatlah sarat ma‘na.
Ada kalanya satu petikan sahaja dapat menyimpulkan rantaian buah-buah fikiran yang baharu yang jaringannya bertali-temali menayangkan segenap rangkaian ma‘na. Rantaian, tali-temali dan jaringan ini menyalut dan menenggelamkan kita ke dalam saujana lautan faham, hikmah dan keberma‘naan. Celupan faham, hikmah dan keberma‘naannya pula menggubah keadaan diri dan kehidupan kita masing-masing – baik dalam peringkat peribadi mahupun peringkat kerjaya.
Semua ini tidak dapat diteroka dengan cara mendengar sharahan semata-mata, tetapi memerlukan kepada perbincangan dan pewacanaan yang lebih anjal dan bebas dengan caragaya yang tertentu, tetapi berterusan dan berdisiplin.
Maka atas asas inilah acara bulanan Selasa Bersama Mulaqa ini diusahakan. Semoga berkat iltizam dan keikhlasan para tetamu yang budiman di Akademi Jawi Malaysia ini, Allāh Ta‘ālā terus mengurniakan kita Tawfīq serta senantiasa melindungi kita semua dalam Raḥmat dan Kasih-SayangNya.
Selasa Bersama Mulaqa
Selasa Bersama Mulaqa adalah sebuah acara perkumpulan belajar-mengajar - yang menggunakan qa’idah perbincangan terpimpin.
Siri ini akan memanfa‘atkan karya agung Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin sebagai teras utama pembelajaran.
Jika anda berminat untuk mengambil bahagian dalam tela’ah ini, sertai siaran Telegram dengan menekan butang bawah:
Risalah untuk Kaum Muslimin Jawi akan diterbitkan semula oleh Akademi Jawi Malaysia tidak lama lagi.
Untuk ma‘lumat lanjut, klik butang di bawah:
Untuk menempah, klik pautan di bawah:
Comments