top of page

Meneroka Sastera Alam dalam Alam Sastera

Oleh Siti Nur Farahin Binti Sukhaily, Editor Pelatih 


 


Pada hari Ahad, 5 Julai 2026, telah diadakan webinar “Sastera Alam dalam Alam Sastera” bertempat di Studio Akademi Jawi Malaysia. Webinar ini dipengerusikan oleh Rebecca Ilham bersama tiga orang ahli panel yang pakar dalam bidang masing-masing, iaitu Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang merupakan penulis buku Sastera Alam dalam Alam Sastera, Profesor Madya Dr. Norhayati Ab Rahman dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan Dr. Wan Izar Haizan Wan Rosely dari Kementerian Ekonomi yang berpengalaman luas dalam pengurusan, perancangan dan pembangunan infrastruktur air. Webinar ini diadakan bertujuan membahas kandungan buku Sastera Alam dalam Alam Sastera yang merupakan karya baharu Ir. Dr. Zaini Ujang.


Penulis menyatakan bahawa penerbitan buku ini adalah bersempena Syarahan Keris Mas yang kelima yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Tujuan syarahan ini adalah untuk menampilkan tokoh atau individu yang mempunyai kepakaran merentas disiplin ilmu sastera. Menerusi syarahan ini, Ir. Dr. Zaini Ujang memerihalkan konsep sastera alam (eco-literature) dan puisi alam (ecopoetry) dengan menjadikan alam sebagai perkara utama yang dibincangkan dalam karya. Pengertian ini berbeza dengan karya sastera yang menjadikan alam sebagai salah satu unsur dalam tema dan persoalan yang melatari pengkaryaan.


Menurut beliau lagi, tema alam sekitar ini tidak diangkat ke tempat yang sewajarnya. Karya-karya sastera alam yang bertemakan perubahan iklim, kelestarian sungai dan sebagainya kurang digembar-gemburkan dalam masyarakat, khususnya di Malaysia. Beliau menyebut sebuah buku yang ditulis oleh moderator, iaitu sebuah novel remaja yang berjudul Bumi Lestari. Novel ini memenangi tempat kedua dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada tahun 2010 yang bertemakan alam sekitar, namun kurang dibicarakan. Justeru, Ir. Dr. Zaini Ujang berharap dengan penulisan buku Sastera Alam dalam Alam Sastera, kesedaran tentang pelestarian alam sekitar akan meningkat serta dapat menyemarakkan penulisan dalam sastera alam.


Dr. Norhayati Abd Rahman menyatakan kekagumannya terhadap wajah fizikal buku Sastera Alam dalam Alam Sastera. Beliau berpendapat bahawa buku ini cantik secara zahirnya dengan pemilihan warna kulit buku yang senada. Beliau memberi pandangan bahawa dari segi anatomi, rupa luaran buku ini boleh disempurnakan lagi keadaannya. Beliau juga menyebut bahawa konsep sastera alam dalam buku ini tidak lari dari apa yang kita sedia tahu dalam konteks sastera Melayu, persis dengan apa yang terdapat dalam sastera Melayu. Apa yang membezakan ialah pemusatan fokusnya, kerana jika sebelum ini unsur alam sering dijadikan sebagai latar, perlambangan atau pelengkap kepada penceritaan dalam sesebuah karya, buku Sastera Alam dalam Alam Sastera pula meletakkan alam sebagai teras perbincangan dan unsur utama yang dianalisis.


Menurut Dr. Norhayati lagi, dengan kata lain, alam tidak lagi dilihat sekadar elemen sampingan dalam karya sastera, sebaliknya diberi perhatian khusus sebagai medium yang membawa nilai, pemikiran, falsafah dan kesedaran tentang hubungan manusia dengan alam sekitar. Beliau juga berpendapat bahawa sastera alam patut dijadikan sebagai wahana yang menyediakan dimensi kemanusiaan supaya kelestarian alam ini tidak dipandang remeh. Misalnya, mengangkat isu-isu seperti pencemaran alam, kemusnahan hutan dan perubahan iklim dalam karya sastera yang mampu menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab mereka untuk memelihara kelestarian alam.


Seterusnya Dr. Norhayati menyimpulkan bahawa buku Sastera Alam dalam Alam Sastera telah memberikan panduan atau kerangka yang boleh dijadikan sebagai alat pandu kepada para penulis, khususnya dalam bidang kesusasteraan Melayu untuk berfikir di luar kotak. Beliau memetik beberapa karya sastera yang bertemakan alam sekitar seperti novel Bima Sakti Menari oleh Sri Rahayu Mohd Yusop, Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (Keris Mas), Desir Angin di Pergunungan (S. Othman Kelantan), Transgenesis: Bisikan Rimba (Nazry Salam), cerpen-cerpen hasil karya Fatimah Busu misalnya Lambaian Tanah Hijau dan Anak-anak dari Kampung Pasir Pekan dan lain-lain lagi. Dr. Norhayati berpendapat bahawa buku-buku ini boleh menjadi pencetus kepada kesedaran terhadap alam sekitar dalam kalangan khalayak yang membaca.


Dr. Wan Izar Haizan selaku penyunting buku ini berharap agar buku ini mempunyai unsur mengajak untuk menggerakkan masyarakat pelbagai kumpulan mengambil tindakan bagi melestarikan alam sekitar. Beliau menyebut bahawa telah “jatuh cinta” dengan naratif yang disusun oleh penulisnya yang dipersembahkan secara berstruktur. Beliau menyatakan bahawa beliau belum lagi pernah membaca buku yang mempunyai elemen “what next”. Baginya, penegasan “what’s next” ini penting supaya anak muda yang hendak berjuang untuk alam sekitar ini tahu apa yang perlu mereka lakukan pada masa akan datang untuk menyelamatkan dunia dan alam sekitar secara khusus.


Selanjutnya, Ir. Dr. Zaini Ujang menyatakan bahawa individu yang tidak mempelajari ilmu hidrologi khususnya secara formal di mana-mana institusi pendidikan akan memperoleh serba sedikit ilmu tentang alam sekitar dengan membaca buku Sastera Alam dalam Alam Sastera. Maka beliau berharap agar buku ini dapat memberikan pendedahan kepada khalayak tentang ilmu alam sekitar terutama sekali isu pelestarian alam sekitar yang sudah menjadi kritikal sejak akhir-akhir ini.


Sehubungan itu, beliau berharap agar pemilihan tajuk Sastera Alam dalam Alam Sastera dapat menarik minat lebih ramai para sasterawan untuk lebih memahami akan keperluan sastera alam. Menurut beliau, karya sastera ini berperanan penting dalan meningkatkan kesedaran, kefahaman dan keprihatinan masyarakat terhadap alam sekitar. Usaha ini juga diharapkan dapat membentuk pemikiran dan budaya masyarakat yang lebih menghargai alam sekitar sekaligus menyumbang kepada pengurangan risiko krisis alam sekitar yang boleh mendatangkan bencana kepada kehidupan.



 

*******


Marilah kita bersama-sama menyemarakkan kesedaran terhadap pelestarian alam sekitar melalui pembacaan. Miliki naskhah Sastera Alam dalam Alam Sastera dan hayati perspektif baharu yang menghubungkan sastera, kemanusiaan serta kelestarian alam. Jadilah sebahagian daripada usaha membina masyarakat yang lebih cakna terhadap alam sekitar dengan memiliki buku ini.

Sastera Alam dalam Alam Sastera
MYR 50.00
Beli Sekarang

Komen

Dinilai 0 daripada 5 bintang.
Belum ada penilaian

Tambah penilaian
bottom of page