Nota yang Terselit pada sebuah Manuskrip al-Qur'an Emas
- Syamsul Anwar Shamsuddin

- 3 hari lalu
- 3 min membaca

Pada 16 Jun 2026, saya berpeluang menyertai pasukan dari Muzium Negeri Terengganu untuk meneliti sebuah manuskrip al-Qur’an di Masjid Padang Air, Kuala Nerus. Manuskrip ini dikatakan sudah tersimpan lama di masjid tersebut, namun sehingga kini, maklumat terperinci mengenainya masih menjadi tanda tanya.
Semasa meneliti naskhah ini, naluri saya sebagai penyelidik mengatakan ada sesuatu yang berbeza. Ia tidak seperti manuskrip al-Qur’an lain yang pernah saya temui di Terengganu sebelum ini. Berdasarkan pemerhatian, pada kertas tera air (watermark) naskhah ini dianggarkan berusia lebih 100 tahun.
Catatan ini saya rakamkan sebagai perkongsian kajian, agar keunikan manuskrip ‘alam Melayu ini dapat dini‘mati dan diketahui oleh masharakat umum.

Keadaan Zahir
Dari pandangan mata kasar, kulit naskhah ini seperti gaya Pantai Timur Terengganu—menggunakan kulit binatang dengan teknik lapisan kain yang tipis. Sayangnya, keadaan kulitnya kini agak meruncing; jahitan penjilidannya sudah terbuka, tulang bukunya hilang, dan kulitnya sendiri sudah hampir terpisah dari naskhah utama.

Walau bagaimanapun, manuskrip ini kelihatan seperti pernah dijilid semula. Ini dapat dilihat melalui beberapa petunjuk:
Ada halaman yang tertanggal, termasuk tiadanya surah al-Fatihah.
Susunan halaman yang agak bercelaru dan tidak mengikut urutan.
Halaman berhias penuh tidak disusun sebagaimana sepatutnya dalam manuskrip asal.
Hiasan Penuh
Lazimnya, manuskrip al-Qur’an alam Melayu mempunyai tiga halaman berhias penuh:
Umm al-Qur’an,
Nisf al-Qur’an; dan
Khatm al-Qur’an
Namun, kerana naskhah ini mungkin pernah dijilid semula, susunannya sudah tidak teratur. Apa yang tinggal hanyalah bahagian permulaan surah al-Baqarah (Umm al-Qur’an) serta surah al-Falaq dan al-Nas (Khatm al-Qur’an).
Secara keseluruhannya, naskhah ini perlu segera dirawat. Keadaannya membimbangkan, terutamanya tindak balas dakwat yang mengandungi asid. Bahagian tengah manuskrip merupakan kawasan paling meruncing iaitu dakwat telah menyebabkan kertas berlubang halus. Jika ia tidak dikawal, kerosakan ini akan menjadi lebih parah.



Gaya Tulisan
Saya membahagikan penemuan tulisan pada manuskrip ini kepada tiga kategori:

Tulisan Ayat:
Keseluruhan teks menggunakan khat Nasakh yang kemas. Namun, pada bahagian kepala surah, gaya penulisannya lebih unik—ia menggabungkan khat Melayu dan bunga-bungaan alam Melayu.
Nota Tepi:
Terdapat nota di bahagian margin yang ditulis dengan sangat halus dan cantik. Ia kelihatan hampir mirip dengan koleksi manuskrip di Muzium Negeri Terengganu (LMNT.21.14.UI 2).
Nota Terselit:
Ini yang paling menarik. Saya menemukan sekeping nota yang terselit di muka hadapan yang tertulis:
“..daripada kekanda Encik Mamat kepada adinda... minta tolong beri salam... itu daripada antara kedua bibir kedua... Hasan al-Qari...”.
Penemuan kecil ini memberikan sentuhan manusiawi yang sangat berma‘na buat naskhah ini.

Seni Hias atau Zukhruf
Seni hias (zukhruf) pada naskhah ini agak berbeza dengan gaya Pantai Timur yang biasa saya kaji. Apabila mengimbau kembali lawatan saya bersama mantan Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Tuan Haji Che Muhammad Azmi bin Ngah ke Gunung Daik dan Pulau Penyengat, saya teringat akan persamaan identiti dengan koleksi di Masjid Raya Sultan Riau.
Datuk Dr. Annabel Teh Gallop, Ketua Kurator British Library, juga bersetuju mengenai kemiripan ini. Beliau menyatakan bahawa:
“Keistimewaan mushaf ini ialah garis luar (outline) gunung-gunungannya tidaklah garis jelas sebagaimana biasa ternampak pada mushaf Terengganu, tetapi gunung-gunungan itu terbuat dari sulur daun dan bunga sendiri.”
Saya berpandangan bahawa identiti terkuat pada manuskrip ini adalah pada struktur luar daripada format dalaman iaitu terdapat sulur menjadi struktur gunungan serta daunan yang lebar.
Usia Manuskrip
Berdasarkan tera air (watermark) 'Propatria' and 'C&I HONIG' yang terdapat pada kertas, kita boleh menganggarkan naskhah ini berusia antara 1730 hingga 1869. Ini adalah bukti sejarah yang sangat berharga.



“C&I HONIG mula dikesan pada kertas buatan sekitar tahun 1730 hingga 1869”
Teknik Pengemasan
Berdasarkan kualitinya yang setara dengan koleksi Muzium Negeri Terengganu, saya berpendapat naskhah ini menggunakan perada emas tulen 24 karat. Teknik tampalan yang digunakan juga menunjukkan ketelitian tinggi, walaupun kini banyak yang sudah mula tertanggal.

Harapan
Saya sangat berharap pihak Masjid Padang Air memberi kepercayaan kepada Muzium Negeri Terengganu untuk menjalankan proses pendigitalan. Ini adalah langkah kritikal bukan sahaja untuk menyelamatkan maklumat di dalamnya, tetapi juga sebagai rujukan buat para pengkaji dan pencinta budaya pada masa hadapan.
Manuskrip al-Qur’an Masjid Padang Air ini adalah satu khazanah yang perlu dipelihara. Usaha pendigitalan ini bukan sekadar tugas teknikal, tetapi satu tanggungjawab untuk menyelamatkan sejarah seni serantau alam Melayu. Semoga kerjasama antara pihak masjid dan muzium ini akan membuahkan hasil yang memberi manfaat kepada masyarakat luas.

Tentang Penulis - Syamsul Anwar Shamsuddin
Penulis sering dipanggil oleh pelbagai organisasi untuk meneliti sesebuah manuskrip dari segi identiti, kualiti, kondisi (keadaan) dan sebagainya. Pada masa yang sama, penulis juga merupakan salah seorang 'tukang' dalam membina manuskrip ‘alam Melayu secara tradisi.

ما شائ الله سموݢ اوسها اين دبركاتي الله سبحانه وتعالى.