top of page

Gubahan Ma‘na "Kucing Bertanduk" • "ݢوبهن معنى "كوچيڠ برتندوق

Updated: 14 Feb 2023



دالم مذاكرة جاوي يڠ لالو، كامي منروک تعريف ”ڬوباهن“ دان ”معنى“ دڠن مڠڬالور فهم اتو كونسيڤ ”كوچيڠ“ اتو ”ككوچيڠن“.


دالم ڤربينچاڠن كامي، كامي مڠنل ڤستي دالم فهم اتو كونسيڤ ”كوچيڠ“ ايت، ڬمباران عقلي كيت ممبايڠكن سوات مخلوق يڠ بربولو، برتليڠا، برميساي، برامڤت كاكي، برتاريڠ دان ستروسڽ.


ڤون بڬيتو، دالم سلوروه كونسيڤ ”ككوچيڠن“ ايت، كيت تيدق داڤت ممبايڠكن بهاوا ترداڤتڽ اڤ٢ جنيس كوچيڠ دالم دنيا اين يڠ ”برتندوق“.


شهدان، اڤبيل ترداڤت ڤڤاته ملايو ”منوڠڬو كوچيڠ برتندوق“، مک معناڽ ساڠت تڤت دان ساࢨنتيفيک، دسببكن حاصل ڤمرهاتين جيتو يڠ تله منڠڬاڤي بهوا كوچيڠ برتندوق تيدق دكساني وجود دالم دنيا اين (ستاكت اين).



ملالوࢨ ڤنروكأن علم ڬوباهن معنى، كيت داڤت مڠنل ڤستي بنتوق دان بينأن ڤلباڬاي بنتوق قياسن، ڤڤاته، بيدالن دان سؤمڤماڽ. اين كامي بينچڠكن منروسي كتاب ڤرِيَنْباس اوليه ميجر محمد سعيد سليمان (و. 1955م).


ايكوتي سدوتن رقمن مذاكرة جاوي اين دان كوڠسيكن ڤنداڠن اندا تنتڠ داي ريڠكه هيبة اورڠ ملايو سڤرت يڠ ترظاهر دالم ككيأن ڤرين بهساڽ.


 

Dalam Mudhakarah Jawi yang lalu, kami meneroka ta‘rif "Gubahan" dan "Ma‘na" dengan menggalur faham/konsep "kucing" atau "kekucingan".


Dalam perbincangan kami, kami mengenal pasti dalam faham/konsep "kucing" itu, gambaran ‘aqali kita membayangkan suatu makhluq yang berbulu, bertelinga, bermisai, berempatkaki, bertaring dan seterusnya.


Pun begitu, dalam seluruh konsep "kekucingan" itu, kita tidak dapat membayangkan bahawa terdapatnya apa-apa jenis kucing dalam dunia ini yang "bertanduk".


Shahdan, apabila terdapat pepatah Melayu "menunggu kucing bertanduk", maka ma‘nanya sangat tepat dan saintifik, disebabkan hasil pemerhatian jitu yang telah menanggapi bahawa kucing bertanduk tidak dikesani wujud dalam dunia ini (setakat ini).


Melalui penerokaan ‘Ilmu Gubahan Ma‘na, kita dapat mengenal pasti bentuk dan binaan pelbagai bentuk qiyasan, pepatah, bidalan dan seumpamanya. Ini kami bincangkan dari kitab Perianbasa oleh Mejar Muhammad Sa‘id Sulayman (m. 1955M).


Ikuti sedutan raqaman Mudhakarah Jawi ini dan kongsikan pandangan anda tentang daya rengkah hebat orang Melayu seperti yang terzahir dalam kekayaan perian bahasanya.








28 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page