Dekad ini menyaksikan kemudahan komunikasi yang serba canggih, dengan segala-segalanya boleh berlaku dengan sekelip mata di hujung jari. Kita bahkan boleh berbicara dengan sesiapa dari segenap ceruk penjuru dunia, sambil langsung melihat gerak badan dan raut rupa wajah mereka; berurus niaga merentasi benua, negara dan bahasa hanya dengan satu klik serta mengetahui serbaneka ma‘lumat daripada pelbagai jenis laman sosial yang terdapat di ‘alam maya.
Semua ini tidak terbina dengan mudah dan apabila kita amati pensejarahan panjang kecanggihan teknologi yang kita ni‘mati kini, ternyata ia adalah hasil kesungguhan dan kebijaksanaan generasi yang terdahulu. Usaha mereka ratusan tahun dahulu dalam menyambungkan talian; memasang peralatan dan jentera komunikasi merentasi lautan dan belantara akhirnya memungkinkan perhubungan dan komunikasi antara satu tempat ke satu tempat dapat dicapai.
تيليݢراف ادا بوليه بركات * برچاكڤ بوليه سكرليڤ مات
سيڠاڤورا اتو كوالا لمڤور سرة * توانكو برسنڠ دودق برتختا
Telegraf ada boleh berkata,
bercakap boleh sekerlip mata;
Singapura atau Kuala Lumpur serta,
Tuanku bersenang duduk bertakhta.
Sha‘ir Tawarikh Zainal Abidin yang Ketiga,
(Singapura: Al-Ahmadiah Press, 1918)
Riwayat pahit dan getir membina salah satu keajaiban dunia moden ini tersurat dalam pelbagai catatan bersejarah dan dikaji oleh pengkaji-pengkaji sejarah telekomunikasi. Pun begitu, daripada kajian yang dibuat sebelum ini, tidak kelihatan perkaitan dan sumbangan besar tradisi Bahasa Jawi dalam pembangunan telekomunikasi di tanah air.
Ini disebabkan kebolehan membaca dan memahami sumber-sumber Bahasa Jawi yang nadir ini agak terbatas dan di luar bidang pengkaji sejarah telekomunikasi. Bahkan, sudah terbiasa pula dianggap bahwa warisan Bahasa Jawi tidak berkaitan dan tidak menyumbang kepada perkembangan teknologi telekomunikasi di Malaysia.
Jika sebelum ini para sarjana hanya menggunakan sumber-sumber bahasa Inggeris daripada sumber British, tetapi dalam terbitan ini, kami akan memanfa‘atkan sumber-sumber Bahasa Jawi pula bagi memberi gambaran baharu pensejarahan telekomunikasi di Malaysia.
Oleh itu, kami memulakan pengkisahan telekomunikasi di Tanah Melayu dengan memperihalkan usul asal Jawi dan bentuk disiplin ke‘ilmuan bahasannya – supaya dapatlah pembaca mengetahui tentang bentuk dan kecanggihan ‘ilmu bahasa persuratan rasmi di rantau ‘Alam Melayu ini.
Kemudian kami mempersembahkan bagaimana salah satu cabang ‘ilmu Bahasa Jawi, iaitu kemahiran mengarang warqah, bertugas menjadi perantara perhubungan antara peradaban Melayu dengan seluruh dunia. Adapun warqah Jawilah yang menjadi medium penting komunikasi meskipun antara bumiputera dengan bangsa asing, sebelum berlakunya perubahan besar dalam kaedah perhubungan.
Or 16126, Warkah Jawi Temenggung Johor, Daeng Ibrahim kepada Maharaja Perancis, Napoleon III, bertarikh 17 Sha‘bān 1273H/12 April 1857M, British Library, http://www.bl.uk/manuscripts/Viewer.aspx?ref=Or_16126_f001r
Mengenali Tradisi Bahasa Jawi
Mengetahui apakah kandungan utama ‘ilmu bahasa Jawi
dan bagaimanakah warqah menjadi wadah komunikasi sebelum perkembangan teknologi.
Akan
Datang
Dengan adanya disiplin ke‘ilmuan bahasa yang mantap dan kecelikan huruf (literacy) yang meluas, maka bangsa Melayu lebih mudah menerima perkembangan teknologi komunikasi ini. Kita melihat terdapatnya kemantapan bahasa apabila terdapat beberapa istilah telekomunikasi digunakan – seperti yang terdapat dalam sumber-sumber Bahasa Jawi yang kami lampirkan dan rumikan dalam penerbitan ini.
Peranan Kesultanan Melayu pada penghujung abad ke-19 dan ke-20 dalam menyokong dan mempermudah pembinaan prasarana telekomunikasi juga dapat disaksikan melalui beberapa dokumen kerajaan yang disuratkan dengan Bahasa Jawi. Istimewa dalam penerbitan ini, kami tampilkan peta-peta ‘Alam Melayu dari abad ke-19 hingga abad ke-20 – sebuah pentas sejarah perkembangan telekomunikasi dunia.
Perkembangan teknologi telekomunikasi pada awal abad ke-20 telah membuka banyak peluang kerjaya – lebih-lebih lagi kepada anak tempatan. Peluang ini telah dimanfa‘atkan oleh kerajaan negeri masing-masing untuk menempatkan beberapa jawatan penting dalam Jabatan Pos & Telegraf kepada bangsa Melayu dan pelbagai urusan berkaitan kerjanya dicatatkan dalam Bahasa Jawi. Kami lampirkan dan rumikan catatan-catatan penting ini untuk melihat bagaimana anak tempatan, yang meskipun menggunakan Bahasa Jawi dalam urusan harian, nescaya boleh dan mampu menjalankan tugas-tugas teknikal seperti menyambung kabel, menjalankan jentera dan mengeoperasikan alat telekomunikasi.
Sejarah Perkembangan
Teknologi Telekomunikasi
Ketahui asas sains dan teknologi dalam perkembangan teknologi komunikasi di Eropah dan bagaimanakah ia diterima di ‘Alam Melayu
Akan
Datang
Sejarah Telekomunikasi
dalam Bahasa Jawi
Lihat dokumen bersejarah telekomunikasi dalam Bahasa Jawi
Kandungan digital Telekomunikasi dalam Dekad Bahasa Jawi ini
disasarkan untuk masharakat ‘umum dan kami tidak memasukkan perdebatan sejarah yang rumit dan rinci.
Semoga penerbitan kandungan digital ini akan membuka lembaran baharu dalam pengkajian sejarah telekomunikasi di Malaysia khususnya dan ‘Alam Melayu ‘amnya - dengan memanfa‘atkan sumber-sumber tempatan yang tidak diselidiki sebelum ini.
Penting juga untuk pengkaji akan datang melihat peranan besar anak negeri dalam menerima dan mengembangkan teknologi telekomunikasi di tanah airnya. Setiap kemudahan yang kita ni‘mati pada zaman moden ini, sudah tentu ada jejak dan tinggalan orang yang terdahulu.
Untuk mengetahuinya, tidak dapat tiada kita perlu melihat khazanah persuratan yang mereka tinggalkan - yang tentunya disuratkan dalam Bahasa Jawi.