Al-salām ‘alaykum,
Berdasarkan lampiran jadwāl Penghejaan dan Perumian AJM, huruf ( ة ) ini akan dirumikan sama ada ( -ah ) ataupun ( -at ) dan kemudian dinyatakan dalam kurungan bahawa perumian ( -at ) itu terjadi bila (dalam bentuk penuh). Jadi apakah yang dimaqsudkan (dalam bentuk penuh) itu? Lebih jelas jika ada contoh baginya. JazākumuLLah Khair.
Waalaykumussalam.
Huruf (ة) akan dirumikan sebagai (-at) apabila berada dalam keadaan iḍāfah (إضافة, sandaran), khususnya apabila perkataan itu ialah muḍāf (مضاف, yang disandarkan).
Contohnya pada هداية السالكين (Hidāyat al-Sālikīn), إعانة الطالبين (I‘ānat al-Ṭālibīn), dan فريدة الفرائد (Farīdat al-Farā’id). Ketiga-tiga perkataan هداية, إعانة dan فريدة itu merupakan muḍāf.
Lihat pula صلاة الجماعة (ṣalāt al-jamā‘ah). Perhatikan perkataan صلاة dirumikan sebagai (-at) kerana ia muḍāf, manakala الجماعة pula dirumikan sebagai (-ah) kerana ia muḍāf ilayh (مضاف إليه, yang disandarkan kepadanya). Muḍāf ilayh tidak mengikut ketetapan ini.
Lihat pula كيفية قراءة القرءان (kayfiyyat qirā’at al-Qur’ān). Perhatikan قراءة walaupun ia menjadi muḍāf ilayh kepada كيفية, tetapi ia juga merupakan muḍāf kepada القرءان, maka (ة) nya itu tetaplah dirumikan sebagai (-at), kerana keadaannya sebagai muḍāf diutamakan berbanding sebagai muḍāf ilayh.
Selain suatu perkataan itu muḍāf ilayh, huruf (ة) juga akan dirumikan sebagai (-ah) pada keadaan yang lain. Contohnya apabila dalam keadaan na‘t (نعت, sifat), seperti الجامعة الإسلامية (al-Jāmi‘ah al-Islāmiyyah); ataupun dalam keadaan nama biasa (bukan muḍāf) seperti البداية والنهاية (al-Bidāyah wa al-Nihāyah), فاطمة (Fāṭimah), ولاية (wilāyah), dan sebagainya.
Dari sudut pandang seorang penyunting, andai diragukan bacaan contoh-contoh muḍāf di atas dan dirumikan saja sebagai "Hidāyah al-Sālikīn", "I‘ānah al-Ṭālibīn", "Farīdah al-Farā’iḍ", "ṣalāh al-jamā‘ah", dan "kayfiyyah qirā’ah al-Qur’ān" juga bukanlah menjadi suatu kesalahan, asalkan ejaannya seragam hingga ke akhir teks. Hal ini supaya dapat memudahkan penyunting menyunting teks tersebut seperti ingin "find" dan "replace" contohnya. Namun sangatlah dituntut jika dapat mengikut qa‘idah muḍāf sepertimana yang telah dijelaskan.
Sekian dahulu, harap ianya jelas.
Amir Ashraf
al-HamduliLlah .. Masha Allah, penjelasan & dasar yang kukuh .. #Bahasa_Jawi_Kembali! 😊