داسر دان فلسفه

مڠنالي كرڠک فكر دان بنتوق تراديسي كعلموان بهاس جاوي

Dasar dan Falsafah

Mengenali kerangka fikir dan bentuk tradisi ke‘ilmuan Bahasa Jawi

ڤڠنالن

بهاس جاوي تله براكر دان برڤرانن بسر دالم ممبنتوق دان منچيريكن ڤرادبن ملايو. بهاس جاوي سباݢاي بهاس ڤرسورتن ملايو تله مڠمبيل كسموا ڤرانن ڤرادبن دان كبوديأن اورڠ ملايو.

اي بوكن سقدر دݢوناكن دالم كتاب٢ كعلموان، بهكن اي دݢوناكن دالم اوڠكاڤن شعر دان ݢوريندم يڠ اينده، سرة ورقه٢ يڠ برسجاره. ڤرسورتن بهاس ملايو جاوي يڠ مماكاي حروف عرب اين جوݢ دݢوناكن اونتوق هياسن٢ يڠ اينده.

كلواسن دان كرنچامن ڤڠݢونأن جاوي دالم سلوروه اسڤيق كهيدوڤن دان ڤڠلامن ڤرادبن ملايو اين سبنرڽ دبنتوق دان دڤاچو اوليه سبواه تراديسي كعلموان بهاس يڠ چڠݢيه دان سيستماتيق. تراديسي كعلموان بهاس يڠ دمقصودكن دسيني اياله تراديسي كعلموان بهاس جاوي.

Pengenalan

Bahasa Jawi telah berakar dan berperanan besar dalam membentuk dan mencirikan peradaban Melayu. Bahasa Jawi sebagai bahasa persuratan Melayu telah mengambil kesemua peranan peradaban dan kebudayaan orang Melayu.

 

Ia bukan seqadar digunakan dalam kitab-kitab ke‘ilmuan, bahkan ia digunakan dalam ungkapan sha‘ir dan gurindam yang indah, serta warqah-warqah yang bersejarah. Persuratan Bahasa Melayu-Jawi yang memakai huruf ‘Arab ini juga digunakan untuk hiasan-hiasan yang indah.

 

Keluasan dan kerencaman penggunaan Jawi dalam seluruh aspek kehidupan dan pengalaman peradaban Melayu ini sebenarnya dibentuk dan dipacu oleh sebuah tradisi ke‘ilmuan bahasa yang canggih dan sistematik. Tradisi ke‘ilmuan bahasa yang dimaqsudkan di sini ialah tradisi ke‘ilmuan Bahasa Jawi.